Secara global, kajian mendapati 2.8-5% dalam kalangan orang dewasa mempunyai Gangguan Kurang Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD). Ini bermaksud sekurang-kurangnya 1 daripada 35 orang merupakan dewasa yang hidup dengan ADHD. Tanpa mendapat diagnosis ataupun rawatan yang betul, mereka yang mempunyai ADHD mempunyai risiko yang lebih tinggi berhadapan dengan isu kecelaruan mental, dan stigma negatif daripada masyarakat sekeliling. Mereka mungkin digelar sebagai “pemalas” atau “bodoh” gara-gara kesukaran yang dihadapi yang dikaitkan dengan ADHD.
Dengan adanya diagnosis yang betul, mereka berpeluang untuk memahami otak ADHD dan mendapatkan rawatan serta strategi daya tindak yang boleh membantu mereka menguruskan simptom dengan lebih baik. Setiap individu yang mempunyai ADHD berbeza, oleh itu kami percaya dengan mendapatkan diagnosis yang betul serta memahami isu berkait dengan lebih komprehensif, seorang individu yang mempunyai ADHD dapat menjalani hidup lebih bermakna.
Sebelum menentukan sama ada anda perlukan diagnosis ADHD ataupun tidak, anda boleh mula dengan melakukan saringan ADHD dewasa.
Maklumat Ujian ASRS-5
ASRS-5 merupakan satu alat saringan yang dibangunkan oleh World Health Organization (WHO) untuk mengesan simptom-simptom ADHD dalam kalangan orang dewasa. Ia merupakan versi yang telah dikemaskini daripada versi asal (ASRS v1.1).
Penting untuk difahami bahawa ASRS-5 bukanlah alat diagnostik, tetapi lebih kepada alat saringan yang membantu profesional kesihatan mental dalam proses penilaian awal. ASRS-5 telah direka untuk populasi dewasa berumur 18 tahun ke atas.
| Bahasa: | Inggeris |
| Jumlah soalan: | 6 |
| Tempoh durasi: | 2–5 minit |
| Jenis: | Ujian Saringan |
| Pencipta: | Ronald C. Kessler & Berk Ustun et al. |
| Tahun penerbitan: | 2017 |
| Kertas kajian: | The World Health Organization Adult Attention-Deficit/Hyperactivity Disorder Self-Report Screening Scale for DSM-5 (Ustun et al., 2017) |
Ujian saringan ini merupakan langkah pertama untuk memahami sekiranya anda berkemungkinan mempunyai ADHD. Ia BUKANLAH alat diagnostik. Terdapat banyak lagi kondisi lain yang mempunyai simptom seakan atau serupa dengan ADHD. Jadi penting untuk kita pastikan simptom yang dialami benar-benar disebabkan ADHD dan bukan keadaan yang lain atau sekiranya terdapat komorbidi. Oleh itu, penting untuk dapatkan penilaian menyeluruh untuk mendapatkan diagnosis yang bertepatan.
Sekiranya skor anda melebihi 14, kami menyarankan untuk anda mendapatkan penilaian ADHD penuh. Sebaiknya, interpretasi skor dilakukan oleh profesional terlatih dan dalam konteks penilaian yang lebih menyeluruh. Ini kerana diagnosis ADHD memerlukan pertimbangan pelbagai faktor termasuk sejarah perkembangan, simptom semasa, dan impak terhadap fungsi kehidupan seharian.
Satu aspek penting yang perlu ditekankan adalah bahawa walaupun ASRS-5 adalah percuma untuk kegunaan klinikal dan mudah ditadbir, ia perlu digunakan sebagai sebahagian daripada proses penilaian yang lebih komprehensif. Diagnosis akhir ADHD tidak boleh dibuat semata-mata berdasarkan skor ASRS-5, sebaliknya perlu melibatkan penilaian klinikal yang menyeluruh oleh pakar kesihatan mental yang berkelayakan.
Di Minda Inklusif, anda boleh melakukan penilaian ADHD dewasa bersama ahli psikologis klinikal berdaftar yang mendapat latihan untuk melakukan diagnosis ADHD serta memberikan rawatan psikoterapi yang bersesuaian.