Jika anda seorang individu dewasa yang mempunyai ADHD dan sering merasakan seolah-olah anda sentiasa berenang melawan arus, perasaan ini boleh menghakis keyakinan diri anda. Satu kajian mendapati bahawa individu yang mengalami simptom ADHD, sama ada yang belum didiagnosis atau yang sudah didiagnosis, cenderung mempunyai tahap keyakinan diri yang lebih rendah. Kekurangan tahap keyakinan diri ini bukan sahaja memenatkan, malah boleh memberi kesan besar terhadap kualiti hidup seseorang.
Berita baiknya, keyakinan diri boleh dipupuk dan ditingkatkan. Ini bukanlah sesuatu yang mustahil. Dalam blog ini, mari kita sama-sama mengenali apa itu keyakinan diri!
Menurut seorang penyelidik mengenai keyakinan diri, secara saintifik ia boleh ditakrifkan seperti berikut:
“Penilaian positif dan negatif terhadap sifat (diri)”, p. 31
Secara ringkas, keyakinan diri boleh dianggap sebagai proses atau cara kita melihat dan menilai diri sendiri. Bayangkan keyakinan diri sebagai “pembakar semangat dalaman” yang sentiasa menemani anda, memberi sokongan ketika anda berada di puncak kejayaan mahupun di saat-saat kejatuhan, terutamanya dalam menghadapi cabaran emosi dan perasaan. Apabila keyakinan diri anda berada pada tahap yang tinggi, anda lebih cenderung untuk mempercayai kemampuan diri, walaupun berdepan dengan situasi yang sukar.
Namun, bagi individu yang mempunyai ADHD, mengekalkan keyakinan diri adalah satu cabaran yang jauh lebih besar. Kenapa? Ini kerana ADHD membawa pelbagai cabaran unik yang tidak dialami oleh orang lain, dan ini boleh menyebabkan anda sering meragui kemampuan serta nilai diri sendiri.
Walaupun diagnosis ADHD dapat membantu menjelaskan cara pemikiran dan tingkahlaku seseorang, namun stigma dan cabaran yang berkaitan dengan diagnosis ADHD ini masih ada terutama di Asia.
Isolasi Sosial: Bagi individu yang membesar dengan simptom ADHD dan disahkan mempunyai ADHD, mereka sering kali di label sebagai “pelik” atau “lain dari yang lain” dan kerap disisihkan daripada rakan sebaya. Walaupun pengalaman isolasi sosial ini sering terjadi kepada kanak-kanak atau remaja yang mempunyai ADHD, tidak dinafikan, perkara ini juga dialami individu dewasa dengan ADHD.
Walaupun tempoh isolasi sosial mungkin lebih pendek bagi mereka yang menerima diagnosis pada usia dewasa berbanding mereka yang menerima diagnosis dari kecil. Namun, kesan pengalaman ini terhadap impak sebuah pengalaman terhadap ingatan dan emosi individu tidak boleh dipandang remeh. Ini kerana pengalaman tersebut akan memberikan “bekas yang tidak enak” serta kesan yang mendalam sekali gus mempengaruhi rasa keyakinan diri seperti merasa mereka tidak diterima oleh masyarakat.
Maklum Balas yang Negatif: Kajian menyatakan bahawa individu dengan ADHD sering menerima maklum balas negatif mengenai diri mereka atau hasil kerja yang dilakukan. Individu dengan ADHD terdedah dengan maklum balas seperti “awak tidak seperti mereka,” “awak seorang yang pemalas” atau “awak seorang yang tidak mempunyai motivasi,” secara terus terang.
Apabila individu dengan ADHD sering menerima maklum balas dan pandangan yang negatif daripada orang sekeliling dan masyarakat, mereka akan cenderung menganggap setiap kesalahan yang dilakukan sebagai kesalahan besar. Situasi ini meningkatkan perasaan malu, yang jelas menurunkan tahap keyakinan diri mereka untuk berinteraksi dengan masyarakat atau menangani masalah yang mungkin berlaku di tempat kerja.
Ramai individu dengan ADHD sering mengalami sindrom yang dipanggil sebagai rejection sensitive dysphoria (RSD). Sindrom ini menyebabkan mereka sangat sukar untuk menerima sebarang bentuk penolakan atau rasa kecewa daripada tindakan orang lain terhadap mereka. Perkara kecil atau komen yang tidak dianggap remeh oleh orang lain tetapi dilihat sebagai salah satu bentuk penolakan bagi individu dengan ADHD membuat mereka memberi reaksi emosional yang kuat dan menjejaskan keyakinan diri mereka.
Rejection Sensitive Dysphoria (RSD): ialah keadaan dimana individu merasakan emosi negatif yang sangat kuat apabila menghadapi penolakan atau kritikan terhadap diri mereka. Kepekaan melampau terhadap penolakan ini boleh menyebabkan rasa malu atau lebih kepada marah.
Apabila RSD bergabung dengan simptom ADHD dan pengalaman luaran yang dialami individu, hal ini akan menyebabkan mereka cenderung menghindari hubungan sosial atau situasi yang mungkin akan menonjolkan kesukaran mereka hadapi. Lama-kelamaan, sikap mengelak ini boleh meruntuhkan keyakinan diri mereka sebagai individu.
Membandingkan Diri Anda Dengan Orang Lain
Bagi kebanyakan individu dengan ADHD, salah satu cabaran utama dalam kehidupan seharian adalah merasakan bahawa orang lain lebih maju dalam pelbagai aspek berbanding diri mereka. Sebagai contoh, dalam pengurusan kewangan atau pengurusan organisasi, mereka mungkin melihat orang lain lebih tenang dan lebih berkebolehan. Membandingkan diri dengan orang lain secara berterusan boleh menurunkan tahap keyakinan diri dan menyebabkan perasaan ragu-ragu terhadap diri sendiri, malah menimbulkan soalan seperti, “Adakah saya mempunyai masalah?” atau “Adakah saya berbeza daripada orang lain?”
Merasakan Diri Anda Berbeza
Ramai individu dengan ADHD sering menggambarkan bahawa mereka merasa tidak sesuai atau tidak “ngam” walaupun dengan rakan terdekat mereka. Seorang pengkaji mendedahkan bahawa peserta kajiannya merasakan diri mereka lebih menonjol berbanding rakan sebaya berikutan komen yang diterima.
“Saya benar-benar tidak faham kenapa awak berkawan dengan mereka. Awak tidak seperti mereka; awak berbeza.”
Komen seperti diatas, walaupun kelihatan seperti tidak berbahaya, boleh memberi kesan mendalam kepada individu dengan ADHD yang sudah pun menghadapi kesukaran untuk mengawal keyakinan diri. Kata-kata seperti ini boleh mengukuhkan lagi perasaan terasing. Apabila anda diberitahu berulang kali bahawa anda berbeza, anda mungkin mula berfikir bahawa anda tidak akan pernah dapat menyesuaikan diri di mana-mana.
Melihat Kejayaan Individu Lain
Ramai individu dengan ADHD sering membandingkan diri mereka dengan kejayaan orang lain, yang membuatkan mereka merasa kecil atau tidak penting dalam dunia mereka sendiri. Dalam satu kajian, seorang peserta menyuarakan bahawa individu dengan ADHD mempunyai sentimen dimana melihat orang lain melakukan tugas dengan mudah dan berjaya melakukannya adalah sebuah realiti yang menyakitkan.
Perangkap perbandingan bagi individu dengan ADHD amat berbahaya kerana mereka menghadapi cabaran dalam fungsi eksekutif. Tugas-tugas seperti membayar bil atau memastikan ruang sentiasa kemas agak sukar bagi mereka. Namun, sekiranya mereka terus membandingkan diri mereka dengan kejayaan individu lain dalam menjalankan tanggungjawab, mereka akan terperangkap secara dalaman dan sering merasakan diri mereka tidak cukup baik.
Kecewa dengan Potensi Diri Sendiri
Antara salah satu perjuangan yang harus dilalui oleh individu dengan ADHD adalah menyedari bahawa mereka mempunyai potensi untuk berjaya melakukan sesuatu aktiviti tapi tidak mampu merelisasikannya. Ini kerana mereka merasakan bahawa potensi mereka terperangkap dalam minda mereka, seperti yang dijelaskan seorang peserta kajian.
“Saya mahu mencapai kejayaan dalam aktiviti yang saya tahu saya mampu berjaya. Saya tahu otak dan fizikal saya mampu memberikan lebih untuk berjaya, tetapi untuk melakukannya juga merupakan satu masalah bagi saya.”
Konflik dalaman dimana anda tahu anda mampu melakukan sesuatu tetapi tidak boleh menterjemahkannya dalam realiti akan mencipta kitaran kritikan diri yang berterusan. Apabila anda sering kecewa dengan diri sendiri dan terus mengkritik diri berdasarkan versi diri yang anda impikan, anda secara tidak langsung meruntuhkan keyakinan diri sendiri.
ADHD tidak mendefinisikan diri anda, ia hanyalah satu bab dalam kehidupan anda yang sedikit epik, sedikit kacau tetapi penuh keunikan. Benar, mempunyai ADHD adalah sedikit mencabar (mungkin, banyak mencabar) tetapi itu bukanlah segalanya. Anda bukan temu janji yang anda lupa atau meja makan yang bersepah. Anda lebih daripada itu.
ADHD adalah tentang melihat keindahan dalam kekacauan, keunikan dalam perbezaan, dan kekuatan dalam keberanian untuk terus mencuba setiap hari—walaupun ia sukar. Ambil langkah kecil itu dan raikan kemenangan kecil yang anda rasakan remeh.
Dan ingat, tidak kira apapun cabaran dalam menjalani kehidupan dengan ADHD, anda mampu melaluinya. Anda bukanlah sebuah radio yang rosak. Berbanggalah dengan diri anda kerana walaupun anda mempunyai kekurangan, anda juga mempunyai banyak kelebihan lain yang luar biasa!
Kami percaya mereka yang mempunyai ADHD boleh berkembang maju, memimpin, mencipta dan mentakrifkan semula kejayaan — dan kami berada di sini untuk menempuh perjalanan itu bersama anda.