"Mengarut! Zaman tok nenek kita dulu tak ada pun ADHD segala bagai ni boleh hidup elok je."
Biasa dengar tak orang cakap:
“Mengarut! Zaman tok nenek kita dulu tak ada pun ADHD segala bagai ni boleh hidup elok je.”
“Kau tu pemalas je sebenarnya, tapi nak sorok belakang label karut psikologi.”
Ini adalah antara tuduhan atau stigma lazim dalam masyarakat kita terhadap penyakit atau gangguan mental oleh kerana kekurangan pengetahuan. Kami ingin mengajak anda untuk meneroka ilmu baru untuk meluaskan pengetahuan dan membebaskan diri dari stigma yang berat sebelah.
Jadi, dari mana datang ADHD ni? Artikel sebelum ini telah menggariskan sejarah dan asal-usul ADHD secara ringkas. ADHD bukan hanya sebuah istilah canggih atau istilah moden yang diada-adakan sebagai sebuah usaha untuk mengjustifikasi tingkah laku buas, mudah terganggu, tidak cukup berusaha atau malas.
Untuk meletakkan diri anda dalam kasut seseorang yang menghidapi ADHD, bayangkan otak anda adalah sebuah televisyen dengan seribu saluran—ADHD menyukarkan penghidapnya untuk kekal di satu saluran lebih dari beberapa minit. ADHD adalah sebuah gangguan yang telah dibuktikan dengan sains dan ia bukan sebuah keadaan ketika zaman kanak-kanak yang akan bertambah baik setelah seseorang menginjak dewasa; ia kekal dan berterusan.
Maka, sebelum membuat sangkaan atau andaian tidak tepat tentang kondisi ADHD, jom kita terokai mitos-mitos ADHD untuk membezakan yang mana satu auta yang mana satu fakta.
Mitos: ADHD hanyalah masalah kurang disiplin atau malas.
Fakta: ADHD adalah sebuah gangguan perkembangan saraf (neurodevelopmental disorder) yang berasaskan neurologi. Ia melibatkan perbezaan dalam struktur dan fungsi otak yang mempengaruhi perhatian, kawalan impuls dan menyumbang kepada hiperaktiviti. Ia bukan sekadar masalah kekuatan minda atau disiplin atau tentang sifat malas dan nakal. Bayangkan seseorang yang lahir tanpa anggota tangan atau kaki; begitu juga penghidap ADHD. Mereka dilahirkan dengan kelainan pada struktur otak, dan seperti seseorang yang terjejas pergerakan fizikal kerana kekurangan pada anggota, bagi ADHD pula tingkah laku mereka terjejas kerana struktur otak yang tidak normal.
Mitos: ADHD terlalu sering didiagnos dan sebenarnya tidak wujud.
Fakta: Penyelidikan dan pengalaman klinikal menyokong kewujudan ADHD sebagai sebuah kondisi perubatan yang sah. Mungkin kadar diagnosis berbeza-beza dalam arus perubahan masa dan ia kelihatan semakin meningkat pada masa kini, tetapi ini tidak bermakna gangguan tersebut dibuat-buat. Kesilapan diagnosis boleh berlaku, tetapi gangguan ini telah didokumenkan dan diiktiraf oleh komuniti perubatan dan psikologi. ADHD tetap kondisi yang sah; kini yang berbeza cumalah pemahaman yang semakin baik tentang kondisi ini yang secara langsung menjurus kepada pengesanan (detection) yang makin baik.
Mitos: ADHD hanya mempengaruhi kanak-kanak.
Fakta: ADHD adalah kekal hingga dewasa. Walaupun ia sering didiagnos ketika zaman kanak-kanak, penghidap ADHD mengalami gejala-gelaja atau simptom ADHD sepanjang hidup mereka. Seorang dewasa yang didiagnos dengan ADHD sama ada ketika kanak-kanak atau setelah dewasa kebiasaanya menghadapi cabaran berterusan dalam pelbagai aspek kehidupan mereka, termasuk dalam pekerjaan dan hubungan.
Mitos: ADHD berpunca daripada layanan buruk dari ibubapa sejak kecil (childhood trauma) atau persekitaran tidak aman di rumah.
Fakta: ADHD mempunyai komponen genetik dan dipengaruhi oleh faktor neurobiologi. Walaupun persekitaran yang teratur boleh membantu menguruskan simptom, ADHD tidak berpunca daripada gaya keibubapaan (parenting style) atau persekitaran rumah.
Mitos: Orang dengan ADHD kuat berangan-angan dan tidak begitu cerdas.
Fakta: ADHD tidak memberi kesan kepada tahap kecerdasan (intelligence). Tahap kecerdasan bagi individu-individu yang menghidap ADHD adalah sama seperti orang normal iaitu terdapat orang yang lebih cerdas dan terdapat juga orang yang kurang cerdas. Kajian mendapati iada kaitan langsung (correlation) antara ADHD dan tahap kecerdasan penghidapnya. Gangguan ini mempengaruhi perhatian dan fungsi eksekutif tetapi tidak menentukan kapasiti intelektual seseorang.
Mitos: Ubat untuk ADHD berbahaya dan harus dielakkan.
Fakta: Apabila digunakan dengan betul dan di bawah pengawasan perubatan, ubat ADHD boleh membantu dan berkesan dalam menguruskan simptom gangguan, justeru dapat meningkatkan kualiti hidup penghidap ADHD. Ubat ADHD berupaya membantu pengurusan impuls dan kawalan emosi. Seperti mana-mana ubat, ia berpotensi untuk memberi kesan sampingan, tetapi perkara ini dipantau dan diuruskan oleh profesional kesihatan.
Mitos: ADHD adalah fenomena moden dan tidak dikenali pada masa lalu.
Fakta: Catatan sejarah menunjukkan bahawa simptom yang konsisten dengan ADHD telah diperhatikan selama berabad-abad. Pemahaman dan pengelasan (categorisation) ADHD telah berkembang dari satu masa ke masa yang lain, tetapi tingkah laku yang berkaitan dengan ADHD telah lama dikenali dan dikenalpasti.
Mitos: Orang dengan ADHD sengaja membuat kelakuan atau perbuatan yang mengganggu orang sekeliling.
Fakta: Simptom ADHD seperti impulsif dan hiperaktiviti bukanlah tingkah laku yang disengajakan, tetapi ia manifestasi kondisi tersebut. Orang dengan ADHD sering bertarung dengan diri mereka dalam mengawal tingkah laku atau tindakan dan kadangkala mereka tidak dapat mengawal tindakan mereka. Perkara ini tidak menjadi alasan untuk penghidap ADHD berkelakuan sesuka hati, tetapi perkara menunjukkan bahawa penghidap memerlukan bantuan rawatan untuk mengurus hidup mereka dan juga sokongan kuat dari orang sekeliling.
Mitos: ADHD hanya berkenaan hiperaktiviti.
Fakta: Manifestasi gangguan ADHD boleh muncul dalam pelbagai cara. Terdapat tiga manifestasi utama: spektrum dominan gangguan fokus (inattentive), spektrum dominan hiperaktif-impulsif dan gabungan kedua-dua spektrum tersebut. Tidak semua penghidap ADHD semestinya hiperaktif; mereka yang di bawah spektrum inattentive bergelut dengan penumpuan perhatian dan fokus tetapi tidak hiperaktif.
Dengan memahami bahawa kenyataan-kenyataan yang digariskan di atas adalah mitos, moga artikel ini menyumbang dalam memupuk empati dan pandangan yang lebih tepat terhadap mereka yang menghadapi ADHD.
Jika anda atau seseorang yang anda kenali menghadapi ADHD, mendapatkan sokongan daripada golongan profesional boleh membantu untuk menyusun strategi yang berkesan bagi menguruskan gangguan tersebut. Minda Inklusif menawarkan pakej intervensi (rawatan) untuk pelbagai gangguan kesihatan mental terutama ADHD. Hubungi kami di untuk maklumat lanjut.
Kami percaya mereka yang mempunyai ADHD boleh berkembang maju, memimpin, mencipta dan mentakrifkan semula kejayaan — dan kami berada di sini untuk menempuh perjalanan itu bersama anda.