Sejak bila ADHD wujud? Jom ketahui sejarah ADHD
Asal-usul ADHD
Tahukah anda?
Pertama kali ADHD dicatat secara klinikal adalah pada dekad pertama abad ke-20.
Pada tahun 1902, seorang pakar pediatrik Inggeris bernama Sir George Frederic Still mencatatkan bahawa kanak-kanak dibawah perhatian beliau didapati memiliki ciri-ciri “kelemahan luar biasa berkaitan kawalan moral dalam kalangan kanak-kanak.”
Beliau mendapati bahawa kanak-kanak ini tidak dapat mengawal tingkah laku mereka seperti kanak-kanak biasa, tetapi mereka masih cerdas atau pintar.
Perkembangan awal
Catatan Sir George Frederic Still adalah penerangan awal tentang apa yang kini kita kenali sebagai Gangguan Kekurangan Perhatian dan Hiperaktiviti (Attention Deficit Hyperactivity Disorder, ADHD). Munurut beliau, kanak-kanak ini mengalami kesukaran dalam mengawal tingkah laku mereka, yang menjadikan mereka impulsif dan tidak dapat fokus atau menumpu perhatian. Penerangan awal ini adalah salah satu penerangan klinikal yang pertama yang telah menjadi asas penting dalam membentuk pemahaman kita tentang ADHD pada masa kini. Sejak dari pemerhatian awal Sir George Frederic Still, istilah dan kriteria diagnostik bagi ADHD telah berkembang jauh.
Tidak diiktiraf
Walaupun seorang pakar pediatrik telah membuat catatan seperti di atas, ADHD tidak diiktiraf sebagai sebuah gangguan mental (mental disorder) sehinggalah tahun 1960-an. Sekitar 1960-an, ADHD dikenali sebagai “Reaksi Hiperkinesis Kanak-Kanak” (Hyperkinetic Reaction of Childhood). Istilah ini menekankan komponen hiperaktiviti dalam gangguan tersebut tetapi tidak mencakup keseluruhan spektrum simptom yang berkaitan dengan ADHD.
Pengiktirifan pertama pada tahun 1968
APA (American Psychological Association) telah menerbit Manual Diagnostik dan Statistik Gangguan Mental (Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders, DSM) yang pertama pada tahun 1952. Manual ini menyenaraikan semua gangguan mental yang diiktiraf oleh APA pada ketika itu. Dalam edisi pertama DSM, APA tidak mengiktiraf ADHD sebagai salah satu gangguan. DSM kedua diterbitkan pada tahun 1968 dan edisi kali ini membuat pengiktirafan pertama dengan memasukkan Hyperkinetic Reaction of Childhood sebagai salah satu disorder.
Nama awal ADHD
Hyperkinetic Reaction of Childhood merujuk kepada keadaan yang dicirikan oleh pergerakan dan aktiviti yang berlebihan dalam kanak-kanak, bersama dengan kesukaran dalam memberi perhatian dan kawalan impuls. Istilah ini digunakan dalam DSM-II (Manual Diagnostik dan Statistik Gangguan Mental, Edisi Kedua) untuk menggambarkan apa yang kini kita kenali sebagai ADHD (Gangguan Kekurangan Perhatian dan Hiperaktiviti).
Pencirian asal
Makna dan ciri-ciri Hyperkinetic Reaction of Childhood adalah seperti berikut:
- Hiperkinesis: Bahagian istilah ini menekankan aktiviti motor yang berlebihan dan kegelisahan yang sering diperhatikan dalam kanak-kanak dengan gangguan ini. Ia menyoroti simptom utama iaitu ketidakupayaan untuk mengawal tingkah laku atau “being unusually active”.
- Reaksi Kanak-Kanak: Bahagian ini merujuk kepada manifestasi simptom-simptom di atas semasa zaman kanak-kanak. Ia menunjukkan bahawa tingkah laku tersebut adalah tindak balas atau reaksi yang berlaku dalam tempoh perkembangan kanak-kanak.
Secara ringkas, istilah Reaksi Hiperkinesis Kanak-Kanak digunakan untuk menggambarkan sindrom hiperaktiviti dan impulsiviti yang ekstrem dalam kanak-kanak.
Penggunaan istilah ADHD
Istilah Reaksi Hiperkinetik Kanak-Kanak digantikan dengan Gangguan Kekurangan Perhatian (Attention Deficit Disorder, ADD) pada awal 1980-an. Khususnya, perubahan ini berlaku dengan penerbitan DSM-III (Manual Diagnostik dan Statistik Gangguan Mental, Edisi Ketiga) pada tahun 1980.
Pada tahun 1987, APA menerbit semula DSM-III dan memperkenalkan istilah ADHD serta mengkategorikannya dengan kriteria diagnostik yang lebih halus, mencerminkan pemahaman yang lebih luas tentang gangguan tersebut.
Rujukan:
- Healthline. (28 Oktober 2021). The History of ADHD: A Timeline. Diperoleh pada 9 Ogos 2024, daripada www.healthline.com
- ADDitude. (29 September 2019). The History of ADHD and Its Treatments. Diperoleh pada 9 Ogos 2024, daripada www.additudemag.com




3 Responses