“Saya masih ingat semasa tempoh percubaan di sebuah syarikat fisioterapi, saya mula berasa bosan pada bulan kedua. Ketika itu, saya fikir, sampai bila saya harus terikat dengan rutin yang sama?”
Anis Tweet
Anis Shahira menerima diagnosis ADHD pada usia dewasa, pada tahun 2023, selepas mengalami beberapa episod kesihatan mental yang mencabar sejak 2022. Sebagai individu yang sentiasa mencari rangsangan dan kepelbagaian, dia mendapati dirinya kurang sesuai dengan rutin yang ketat. Keperibadiannya ini akhirnya membawa dia ke dunia keusahawanan.
Sejak kecil, Anis kurang selesa dengan struktur yang rigid. Dia menyedari bahawa pekerjaan dengan jadual tetap, seperti di hospital, bukanlah untuknya. Ketika hampir menamatkan pengajian, dia berdepan dilema besar: meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi atau mencuba dunia perniagaan. Pilihan pertama terasa membosankan, manakala pilihan kedua penuh dengan ketidakpastian. Namun, dorongan untuk keluar dari zon selesa dan mencabar diri akhirnya membawanya ke arah keusahawanan.
Keputusan ini bukanlah sesuatu yang mudah. Dia bimbang bagaimana ADHD akan mempengaruhi keupayaannya dalam mengurus perniagaan. Seorang psikiatri menasihatinya agar berhati-hati, kerana tekanan dalam dunia keusahawanan boleh memberi kesan negatif kepada emosinya. Namun, pakar psikologi klinikalnya memberikan perspektif berbeza. Banyak ciri ADHD sebenarnya boleh menjadi kelebihan dalam dunia keusahawanan.
Anis mendapati bahawa pemikiran yang pantas dan kecenderungannya untuk mengejar cabaran menjadi aset berharga dalam membina perniagaan. Setiap pencapaian, walaupun kecil, memberikan kepuasan dan mendorongnya untuk terus maju. Fleksibiliti dalam dunia perniagaan juga membolehkannya menyesuaikan usaha dan tenaga mengikut keperluan. Walaupun hasilnya tidak serta-merta, keseronokan dalam proses mengejar kejayaan menjadi motivasi utamanya untuk terus berusaha.
“Dengan perniagaan, ianya sangat fleksibel. Saya boleh mengawal sendiri berapa banyak usaha yang perlu saya berikan pada bulan-bulan yang tertentu dan ianya menarik untuk saya! Walaupun hasilnya tidak nampak terus, cukup membuat saya berasa teruja. Lagilah saya nak buat sampai dapat sebuah hasil yang gempak! Dalam bidang keusahawanan, tak ada limitasi ke mana kita boleh pergi. Maksudnya, lebih banyak usaha kita berikan, lebih banyak hasil kita dapat tuai – tidak seperti kerja biasa.”
Anis merupakan graduan fisioterapi. Namun, ketika menjalani tempoh percubaan di sebuah syarikat fisioterapi, dia mula merasa bosan hanya selepas dua bulan. Dia ingin melakukan lebih banyak perkara, tetapi had skop kerja menyekat pergerakannya. Situasi ini menyedarkannya bahawa dia tidak boleh terikat kepada sekatan yang ditetapkan oleh orang.
“Saya masih ingat semasa tempoh percubaan di sebuah syarikat fisioterapi, saya mula berasa bosan pada bulan kedua. Ketika itu, saya fikir, sampai bila saya harus terikat dengan rutin yang sama?”
Anis kemudian mengambil inisiatif bertemu pengurus besar syarikat tersebut untuk mendapatkan bimbingan dalam dunia perniagaan. Walaupun tidak mendapat mentor seperti yang diharapkan, dia mendapat cadangan untuk meneroka bidang keusahawanan dalam fisioterapi. Tidak lama selepas itu, dia mula mencari pelabur dan dalam masa beberapa bulan, berjaya mendapatkan perjanjian untuk membuka kliniknya sendiri.
Sebagai seorang usahawan, Anis perlu mengurus pelbagai tugas yang memerlukan fokus jangka panjang dan organisasi yang baik. Bagi memastikan produktiviti, dia merancang tugas harian dan menyusun keutamaan kerja, membantunya untuk mengekalkan keadaan hiperfokus. Namun, tugas yang memerlukan tenaga mental yang tinggi seperti dokumentasi selalunya memerlukannya untuk mengambil ubat bagi membantu tumpuannya.
“Tetapi, bagi tugas seperti dokumentasi, pemfailan, dan tugasan yang memerlukan tenaga otak yang banyak, saya akan mengambil ubat untuk memastikan saya boleh memberi perhatian sepenuhnya. Walaubagaimanpun, dengan ADHD, saya sering terlupa untuk mengambil ubat saya. Itulah cabarannya.”
Selain itu, Anis juga peka terhadap batasan sensori dirinya. Dia sedar bahawa suasana yang terlalu bising atau panas boleh menyebabkan overstimulasi dan menjejaskan produktivitinya. Oleh itu, dia memilih persekitaran kerja yang sesuai, seperti kafe kegemarannya, yang membantunya mengekalkan fokus lebih lama.
Anis juga kerap mengunjungi cawangan fisioterapi lain untuk berinteraksi dengan pengurus, mempelajari selok-belok perniagaan, dan mendapatkan inspirasi daripada suasana kerja yang berbeza
“Biasanya, saya hanya boleh fokus selama 20 hingga 30 minit di tempat biasa atau di klinik saya. Tetapi, kalau di cafe, saya boleh fokus sehingga dua jam, paling maksimum.”
Bagi Anis, keusahawanan bukan sekadar kerjaya, tetapi juga satu bentuk ekspresi dirinya. Sifatnya yang dinamik, cepat berfikir, dan sentiasa mencari cabaran membantunya berkembang dalam bidang ini. ADHD bukan penghalang, tetapi satu kelebihan yang membolehkannya mencipta laluan kejayaannya sendiri.
Minda Inklusif kini kembali dengan siri Chit Chat ADHD bertemakan keusahawanan. Anda boleh bertemu dengan Anis pada 8 Mac 2025 secara atas talian.
Penyertaan adalah percuma dan anda boleh mendaftar di sini. Siri Chit Chat ADHDpreneur ini adalah sebahagian daripada usaha pengumpulan dana Minda Inklusif, sekiranya anda merasakan siri ini bermanfaat pihak kami mengalu-alukan sumbangan mengikut nilai yang dirasakan sesuai.
Tunggu apa lagi, daftar sekarang untuk ketahui lebih lanjut perjalanan Anis dalam dunia perniagaan sebagai dewasa dengan ADHD.
Kami percaya mereka yang mempunyai ADHD boleh berkembang maju, memimpin, mencipta dan mentakrifkan semula kejayaan — dan kami berada di sini untuk menempuh perjalanan itu bersama anda.