Kenapa Suruh “Makan Je Kangkung Tu” Tidak Berkesan buat Individu ADHD
Sejak kecil, kita sering diberitahu bahawa memilih makan hanyalah satu “fasa” yang akan berlalu, atau hasil gaya keibubapaan yang terlalu memanjakan. Namun, apa yang sering terlepas pandang ialah, bagi individu dengan ADHD, pengalaman makan memang berbeza secara neurologi berbanding individu neurotipikal.
Tingkah laku pemakanan secara umumnya boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu:
(1) “food approach” (dorongan untuk makan, biasanya dipacu oleh pencarian dopamin) dan,
(2) “food avoidance” (dorongan untuk menolak makanan, biasanya dipacu oleh sensitiviti sensori atau keperluan rutin yang ketat).
Otak ADHD jarang berada dalam satu kategori sahaja— ia sering mengaktifkan kedua-duanya serentak. Inilah yang menghasilkan corak “makan berlebihan atau berkurangan secara selektif” yang boleh terasa sangat tidak teratur.
Jadi, minggu ini bersama Minda Inklusif, kita cuba memahami “picky eating” dalam ADHD sebenarnya adalah satu ciri neuroperkembangan yang kompleks.
Otak ADHD Mengalami Sensory Overload, Bukan Saja-Saja Memilih
Bagi individu dengan ADHD, mulut merupakan zon dengan sensitiviti yang tinggi.
Kajian ADHD menunjukkan bahawa kanak-kanak dan dewasa dengan ADHD mempunyai tahap sensitiviti oral yang lebih tinggi. Ini bermaksud tekstur tertentu seperti rasa “berlendir” tomato atau “rangup tiba-tiba” bawang goreng boleh mencetuskan refleks loya atau tekanan emosi yang kuat.
Disebabkan sensitiviti ini, individu mungkin:
- Sangat mengelak makanan tertentu seperti sayur bertekstur (contohnya bayam atau brokoli) (avoidance)
Pada masa yang sama, sangat tertarik kepada makanan tinggi kalori seperti Maggi atau bebola keju (approach)
Ini bukan soal sengaja memilih. Dalam banyak keadaan, otak benar-benar memberi isyarat “BAHAYA” terhadap makanan tertentu.
Apabila makanan tidak memberi rangsangan sensori yang “cukup” atau terasa mengganggu, otak akan menolaknya. Sebaliknya, makanan seperti Maggi memberi sensory hit yang cepat dan mudah diterima oleh otak ADHD.
Reaktiviti terhadap sensori oral adalah antara peramal paling kuat kepada corak pemakanan selektif dalam ADHD. Sebab itu, jika tekstur sesuatu makanan mengganggu, makanan itu memang sukar untuk diterima walaupun dipaksa.
Namun begitu, sebagai individu dengan ADHD, penting untuk kita sedar bahawa reaktiviti ini juga boleh dilatih secara perlahan, dengan pendekatan yang lebih terbuka dan selamat terhadap makanan baru.
Waktu Makanan dan Cabaran Fungsi Eksekutif
Bagi individu ADHD, waktu makan bukan sekadar aktiviti rutin—ia memerlukan usaha fungsi eksekutif yang tinggi.
Ini termasuk:
- Beralih daripada aktiviti yang disukai ke meja makan (sangat mencabar untuk otak ADHD untuk melakukan peralihan tugas)
- Duduk diam untuk tempoh tertentu seperti menunggu makanan siap atau melaksanakan etika meja makan
Menapis bunyi mengunyah atau bau makanan yang tidak selesa
Semua ini boleh terasa sangat mencabar, malah meletihkan.
Kajian juga menunjukkan bahawa keluarga dengan anak ADHD cenderung mempunyai waktu makan yang kurang berstruktur, serta tahap stres penjaga dan pasangan yang lebih tinggi berbanding keluarga neurotipikal.
Selain itu, corak pemakanan juga mudah menjadi tidak terkawal kerana:
- Impulsiviti (approach): mudah bertindak balas terhadap isyarat makanan → makan berlebihan atau kerap snek tanpa makanan utama
Sensitiviti sensori (avoidance): mengehadkan pilihan makanan → hanya makanan “selamat” yang diterima
Apabila seseorang dipaksa untuk “duduk diam dan makan”, ia bukan sekadar soal adab. Ia boleh mencetuskan power struggle dalaman yang akhirnya mengurangkan selera makan.
Akibatnya, corak pemakanan menjadi tidak teratur dan walaupun respons terhadap makanan tinggi, ia sering terhad kepada pilihan yang kurang berkhasiat.
Picky Eating Tidak Hilang Apabila Dewasa
Bagi anda yang sudah dewasa dan masih bergelut dengan picky eating, rasa bersalah itu boleh dilepaskan.
Seperti ADHD itu sendiri, corak pemakanan ini tidak semestinya hilang dengan usia. Ia sering berterusan, terutamanya dalam kalangan individu neurodivergen.
Walaupun tahu makanan mana yang lebih sihat, cabaran tetap wujud. Antaranya:
- Mudah tertumpah makanan dan menimbulkan rasa malu
- Sukar mengenal pasti isyarat lapar dan kenyang
Sensitiviti oral yang menjadikan waktu makan terutamanya di tempat kerja sangat tidak selesa
Apabila meningkat dewasa, tuntutan fungsi eksekutif juga meningkat. Namun, memahami dan mengurus “cukai” ini secara lebih realistik boleh membantu membina corak pemakanan yang lebih stabil.
Bagaimana Kita Boleh Menyokong Picky Eater ADHD?
Rasa disokong memainkan peranan besar bagi individu ADHD. Bagi ahli keluarga atau rakan terdekat, beberapa pendekatan ini boleh membantu:
- Jangan Paksa: Paksaan atau ugutan boleh membina hubungan negatif dengan makanan yang berpanjangan.
- Berikan Lebih Galakan dari Ganjaran: Pujian kerana mencuba lebih membantu berbanding ganjaran seperti pencuci mulut, yang kadangkala mengurangkan minat sebenar terhadap makanan tersebut.
- Fokus pada Sensori: Gunakan bahasa seperti “rangup”, “lembut”, atau “sejuk”. Ini membantu otak ADHD menilai “keselamatan” makanan dengan lebih jelas.
Kurangkan Tekanan: Makan bersama keluarga itu penting, tetapi jika ia menjadi sumber konflik berterusan, manfaatnya akan hilang. Tidak mengapa untuk memilih masa tertentu sahaja untuk makan bersama.
Kadangkala, makan bersendirian sambil menonton TV dalam suasana tenang adalah lebih baik untuk semua berbanding tekanan berpanjangan di meja makan.
Bekerjasama dengan Picky Eater dan ADHD
Picky eating dalam ADHD adalah fenomena bio-psiko-sosial yang kompleks. Ia melibatkan gabungan faktor genetik, pemprosesan sensori, dan cabaran fungsi eksekutif.
Jika anda ibu bapa yang berasa buntu, atau individu dewasa ADHD yang rasa gagal, berhenti seketika.
Anda sedang berhadapan dengan sistem otak yang memang direka untuk menjadikan waktu makan lebih mencabar.
Mengiktiraf kesukaran ini bukan tanda kelemahan. Ia adalah langkah awal ke arah membina suasana makan yang lebih tenang dan corak pemakanan yang lebih sihat.
Sekarang, mungkin anda boleh minum air atau ambil snek ringan. Itu juga satu bentuk penjagaan diri. Anda sedang lakukan yang termampu hari ini.
Ingin tahu lebih lanjut mengenai ADHD? Nantikan ADHD Summit yang dibawakan oleh Minda Inklusif untuk julung kalinya pada bulan Mei ini. Anda boleh sertai kami dengan melakukan pendaftaran pada hari ini – ADHD Summit 2026.
Jika anda memerlukan sokongan dan panduan sebagai individu dengan ADHD, individu autistik ataupun AuDHD, Minda Inklusif sedia untuk membantu anda. Daftarkan temujanji untuk mendapatkan konsultasi bersama terapis kami di Minda Inklusif sekarang.
Rujukan:
- Kaşak, M., Okumuş, H. G., Çelik, Y. S., Kırşan, F. Z., Coşkun, M., Öztürk, Y., Efe, A., & Öğütlü, H. (2025). Selective Eating and Sensory Sensitivity in Children With ADHD: A Comparative Study of ARFID Symptom Profiles. The International journal of eating disorders, 58(10), 1991–2002. https://doi.org/10.1002/eat.24512
- Bayoumi, S. C., Halkett, A., Miller, M., & Hinshaw, S. P. (2025). Food selectivity and eating difficulties in adults with autism and/or ADHD. Autism: the international journal of research and practice, 29(6), 1497–1509. https://doi.org/10.1177/13623613251314223
- Chao, H. C., & Chang, H. L. (2017). Picky Eating Behaviors Linked to Inappropriate Caregiver-Child Interaction, Caregiver Intervention, and Impaired General Development in Children. Pediatrics and neonatology, 58(1), 22–28. https://doi.org/10.1016/j.pedneo.2015.11.008
- Hershko, S., Cortese, S., Ert, E., Aronis, A., Maeir, A., & Pollak, Y. (2022). Food Perceptions in Adults with and without ADHD. Psychopathology, 55(5), 292–300. https://doi.org/10.1159/000524315
- Matthews, Z., Pigden-Bennett, D., Tavassoli, T., & Snuggs, S. (2025). Comparing eating and mealtime experiences in families of children with autism, attention deficit hyperactivity disorder and dual diagnosis. Autism: the international journal of research and practice, 29(2), 518–535. https://doi.org/10.1177/13623613241277605
- Chiong, T. X. B., Tan, M. L. N., Lim, T. S. H., Quak, S. H., & Aw, M. M. (2024). Selective Feeding-An Under-Recognised Contributor to Picky Eating. Nutrients, 16(21), 3608. https://doi.org/10.3390/nu16213608








