ADHD, Autisme, dan Fungsi Eksekutif: Kelajuan atau Kekacauan? #2

Kembali lagi dalam entri minggu ini bersama Minda Inklusif untuk menyelami bahagian kedua perbincangan mengenai fungsi-fungsi eksekutif (EF). Kita akan menyelami bagaimana ia berfungsi atau mungkin terganggu dalam kalangan individu dengan kondisi neuro-perkembangan seperti ADHD dan ASD. Kita juga akan mendalami bagaimana otak mereka memproses maklumat, agar kita dapat memberi sokongan yang lebih bermakna dan berkesan kepada mereka.

Mari kita ingati kembali komponen fungsi eksekutif (EF) otak:

Memori Kerja (Working Memory)keupayaan menyimpan dan memanipulasi maklumat dalam jangka masa pendek.

  • Penting untuk mengikuti arahan, pembelajaran, dan membuat keputusan.
  • Contoh: Seorang pelajar mengingati langkah menyelesaikan masalah matematik tanpa merujuk semula latihan sebelum ini.

Kawalan Inhibitori (Response Inhibition) – keupayaan untuk menahan atau menyekat tindak balas automatik yang tidak sesuai terhadap rangsangan atau stimulus.

  • Membolehkan individu untuk mengawal diri dan bertindak mengikut matlamat serta kepatuhan kepada norma sosial.
  • Contoh: Menunggu giliran untuk membayar bil air atau menunggu giliran dalam perbualan tanpa menyampuk orang lain.

Fleksibiliti Kognitif – keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan maklumat baru, beralih antara tugas, dan mengubah strategi mengikut perubahan.

  • Membantu individu untuk melakukan peralihan dan menerima idea baru.
  • Contoh: Membantu rakan sekerja dalam menguruskan tugasan ad-hoc tanpa berasa tertekan.

Kawalan Emosi – keupayaan untuk mengurus tindak balas emosi yang sejajar dengan stimulus, atau rangsangan.

  • Membantu individu mengurangkan ledakan emosi, meningkatkan daya tahan diri, dan dapat memperbaiki hubungan sosial.
  • Contoh: Menarik nafas dalam-dalam (deep breathing) untuk menenangkan diri selepas berlaku perselisihan faham di tempat kerja.

Fleksibiliti Kognitif: Keupayaan Otak untuk Berfikir dan Menukar Arah Fikiran

Fleksibiliti kognitif, atau secara saintifik lebih dikenali sebagai keupayaan otak untuk menukar set mental, membolehkan individu untuk melakukan pertukaran antara tugas, strategi dan perspektif dengan lancar tanpa mengalami buffering (kelewatan pemprosesan). Ini adalah kemahiran atau fungsi eksekutif yang penting bagi individu untuk menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran (adaptability) dan berfikir secara kreatif, iaitu berfikir di luar kotak. Individu yang mempunyai tahap fleksibiliti kognitif yang tinggi cenderung untuk menyesuaikan diri dengan cepat apabila berdepan perubahan, seterusnya membolehkan mereka menyelesaikan masalah dengan lebih cekap dan tidak mudah terganggu oleh situasi yang tidak dijangka.

Sebaliknya, sekiranya individu mempunyai tahap fleksibiliti kognitif yang rendah, perubahan yang berlaku secara mendadak akan membuatkan mereka berasa sangat terganggu. Mereka yang bergantung kepada rutin harian yang ketat sering kali mengalami keresahan apabila sesuatu berlaku di luar jangkaan atau tidak mengikut perancangan. Akibat kesukaran dalam mengawal fleksibiliti kognitif, individu boleh menghadapi cabaran dalam mengurus masa, merancang alternatif, dan mengawal emosi semasa berlaku perubahan. Situasi ini boleh membawa kepada tekanan yang besar.

Tahap fleksibiliti kognitif juga boleh berbeza mengikut situasi. Mengenali kecenderungan otak anda dalam menghadapi kesukaran ini dapat membantu anda memahami bagaimana fleksibiliti kognitif memberi kesan kepada fungsi harian anda (daily functioning). Sebagai contoh, kajian mencadangkan bahawa kesukaran dalam fleksibiliti kognitif merupakan faktor risiko dalam pengawalan emosi, seperti meltdown, tindak balas terhadap emosi atau tingkah laku agresif (aggressive emotions and behavior), serta kesukaran dalam menyelesaikan konflik.

  1. Di rumah – perubahan kecil yang bersifat lebih santai dan mudah untuk disesuaikan
  2. Di tempat kerja atau sekolah – perubahan yang memberikan impak kepada hasil kerja atau prestasi, yang memerlukan individu untuk membina struktur atau rutin penyesuaian.

Individu ADHD dan ASD mempunyai cabaran yang berbeza walaupun mempunyai fungsi eksekutif yang serupa.

  1.  Cabaran ADHD – Individu sering mengalami kesukaran untuk menukar fokus antara tugas, namun lebih mudah untuk menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran. Penyesuaian (adaptasi) memerlukan sedikit usaha tambahan, tetapi masih boleh dilakukan oleh individu dengan ADHD. Berdasarkan kajian, individu dengan ADHD lebih cenderung melakukan kesilapan dalam menukar peraturan dengan cepat, namun mereka masih mempunyai tahap fleksibiliti kognitif yang baik.
  2. Cabaran ASD – Individu menghadapi kesukaran yang lebih ketara berbanding individu dengan ADHD dalam menukar set mental. Individu dengan ASD lebih selesa dengan rutin yang tetap dan berstruktur. Berdasarkan kajian, individu dengan ASD sukar untuk menyesuaikan diri dengan perubahan peraturan. Disebabkan kecenderungan terhadap rutin dan struktur, fleksibiliti kognitif merupakan defisit utama bagi individu dengan ASD.

Mekanisme Pengawalan Emosi yang Berbeza dalam ADHD dan ASD

Pengawalan emosi adalah elemen penting dalam kehidupan seharian yang membolehkan individu mengawal reaksi emosi mereka. Respons emosi yang terkawal membolehkan individu untuk sentiasa ‘mengambil nafas sebelum membunyikan hon secara agresif’ serta memberi peluang kepada mereka untuk memberikan tindak balas yang lebih rasional. Kesukaran dalam mengawal emosi boleh menyebabkan individu mengalami tindak balas seperti flight, fight, atau freeze yang boleh berakhir dengan situasi seperti meltdown atau shutdown.

Individu dengan ADHD dan ASD menghadapi kesukaran dalam pengawalan emosi, namun mereka mempunyai mekanisme atau cabaran yang berbeza. Bagi individu dengan ADHD, kesukaran untuk mengawal emosi terwujud dalam ketidakstabilan emosi yang disebabkan oleh kawalan tindak balas emosi yang lemah. Ini sering menyebabkan impulsiviti, kekecewaan yang cepat, dan letusan emosi yang sukar dikawal. Sebaliknya, bagi individu dengan ASD, kesukaran mengawal emosi terwujud dalam masalah memproses emosi yang memberi kesan kepada interaksi sosial mereka. Individu dengan ASD juga sering menghadapi kesukaran untuk mengenal pasti dan menerangkan emosi mereka kepada orang lain.

  1. Kesukaran ADHD – Individu dengan ADHD mengalami kesukaran mengawal emosi disebabkan oleh defisit dalam kawalan inhibitori yang menyukarkan mereka untuk “berhenti” (menilai tindak balas emosi). Disfungsi yang terjadi disebabkan cabaran fungsi eksekutif ini menyumbang kepada impulsiviti emosi, menjadikannya sukar bagi individu untuk kembali kepada keadaan emosi yang stabil. Menurut kajian, sekitar 48% kanak-kanak dengan ADHD menghadapi kesukaran mengawal emosi, yang biasanya berlanjutan sehingga dewasa. Kecenderungan ini meningkatkan risiko komorbiditi seperti keresahan dan kemurungan. Selain itu, individu dengan ADHD juga lebih cenderung untuk menjadi reaktif secara emosi, yang boleh menyebabkan rakan sebaya menjauhkan diri.
  2. Kesukaran ASD – Individu dengan ASD menghadapi kesukaran mengawal emosi yang berpunca daripada kesukaran memahami dan mentafsir emosi diri sendiri dan orang lain. Kajian menunjukkan bahawa individu dengan ASD mempunyai pengaktifan yang kurang di bahagian otak yang bertanggungjawab untuk mengenal emosi dan empati. Individu autistik juga lebih cenderung untuk menghadapi masalah dalam interaksi sosial, seperti menjadi lebih cemas atau tertekan dalam situasi sosial yang tidak dapat dikawal atau difahami.

Mekanisme pengawalan emosi antara individu dengan ADHD dan ASD mempunyai beberapa persamaan namun terdapat beberapa perbezaan. Simptom dan pengalaman setiap individu adalah unik. Mekanisme yang sama, seperti mengalami kesukaran dalam interaksi sosial jelas terjadi kepada individu dengan ADHD dan ASD, tetapi pengalaman yang dialami berbeza. Ingatlah – setiap individu adalah unik. Meraikan perbezaan ini (embracing the differences) akan membantu kita untuk memperkasa individu neurodivergen.

Jika anda ingin berbincang dengan terapis atau melakukan saringan ADHD/ASD, kunjungi Minda Inklusif untuk menempah sesi bersama terapis kami atau menjalani saringan secara dalam talian di laman web kami. Dapatkan jawapan dan sokongan yang anda perlukan!

Rujukan:

  1. Townes, P., Liu, C., Panesar, P., Devoe, D., Lee, S. Y., Taylor, G., Arnold, P. D., Crosbie, J., & Schachar, R. (2023). Do ASD and ADHD Have Distinct Executive Function Deficits? A Systematic Review and Meta-Analysis of Direct Comparison Studies. Journal of attention disorders, 27(14), 1571–1582. https://doi.org/10.1177/10870547231190494
  2. Groves, N. B., Wells, E. L., Soto, E. F., Marsh, C. L., Jaisle, E. M., Harvey, T. K., & Kofler, M. J. (2022). Executive Functioning and Emotion Regulation in Children with and without ADHD. Research on child and adolescent psychopathology, 50(6), 721–735. https://doi.org/10.1007/s10802-021-00883-0
  3. Ayyildiz, D., Bikmazer, A., Cahid Örengül, A., & Perdahlı Fiş, N. (2021). Executive Functions and Social Responsiveness in Children and Adolescents With Autism Spectrum Disorder and Attention Deficit Hyperactivity Disorder. Psychiatry and clinical psychopharmacology, 31(2), 165–172. https://doi.org/10.5152/pcp.2021.20167
  4. Southon, C. (2022). The relationship between executive function, neurodevelopmental disorder traits, and academic achievement in university students. Front. Psychol. 13:958013. doi: 10.3389/fpsyg.2022.9580
  5. Godoy, P. B. G., Shephard, E., Milosavljevic, B., Johnson, M. H., & Charman, T. (2020). Brief Report: Associations Between Cognitive Control Processes and Traits of Autism Spectrum Disorder (ASD), attention-Deficit/Hyperactivity Disorder (ADHD) and Anxiety in Children at Elevated and Typical Familial Likelihood for ASD. Journal of Autism and Developmental Disorders. https://doi:10.1007/s10803-020-04732-9
  6. Craig, F., Margari, F., Legrottaglie, A. R., Palumbi, R., de Giambattista, C., & Margari, L. (2016). A review of executive function deficits in autism spectrum disorder and attention-deficit/hyperactivity disorder. Neuropsychiatric disease and treatment, 12, 1191–1202. https://doi.org/10.2147/NDT.S104620

Langgan Newsletter

Baca blog lain:

Client #1
Client #1@ADHDAssesment
It's very meaningful to me to finally get the proper diagnosis after struggling throughout my life. I feel validated during the session. The diagnosis, strategies and sharing did help me in navigating my life further. Thank you 🙂
Client #2
Client #2@MentalHealthConsultation
Adila makes me think that what i currently doing (by putting boundaries) is the right choice. i'm glad to hear that she said it's good i did that. since i thought what i did was wrong and constantly feeling guilty. now i feel kinda relieve. i kinda see a lil bit of light at the end of my tunnel. thanks adila.
Client #3
Client #3@MentalHealthScreening
The session went really good. Coming from a psychology major, I already am familiar with the terms and things that were being discussed, but the therapist explained in a very simple manner that's easy to understand that I feel like clients would be able to know themselves better through the session.