Kategori ADHD: Kurang Tumpuan

Gangguan Kekurangan Tumpuan dan Hiperaktiviti (ADHD) adalah gangguan perkembangan neuro (neurodevelopmental disorder) yang mempengaruhi ramai kanak-kanak dan kondisi ini berlanjutan hingga ke dewasa. Walaupun ADHD sering dikaitkan dengan kategori hiperaktif dan impulsif, kategori kurang tumpuan (inattentiveness), yang sinonim dengan kesukaran signifikan dalam mengekalkan perhatian, adalah sama penting. Memahami gejala ADHD kategori kurang atau sukar memberi tumpuan adalah asas untuk diagnosis dan intervensi yang berkesan. Artikel ini mengkaji gejala, kesan, diagnosis dan pilihan rawatan untuk ADHD jenis ini.

Gejala Utama

Menurut Manual Diagnostik dan Statistik Gangguan Mental (DSM-5), untuk memenuhi syarat diagnosis bagi ADHD kurang tumpuan, seseorang itu kebiasaanya menunjukkan enam atau lebih daripada gejala berikut:

  1. Kesukaran mengekalkan perhatian: Sering menghadapi cabaran untuk fokus pada sesebuah tugas, terutamanya tugasan yang memerlukan usaha mental untuk tempoh yang panjang seperti membaca atau belajar. Manifestasi gejala ini muncul sebagai kecenderungan untuk mengelamun atau kurang keterlibatan semasa sesuatu perbincangan.
  2. Kecuaian: Pelbagai tugas boleh dipenuhi dengan kesalahan akibat kekurangan tumpuan. Contohnya mengabaikan butiran lanjut dalam kerja sekolah, projek di tempat kerja atau aktiviti harian.
  3. Kesukaran mengatur tugas dan aktiviti: Kemahiran pengurusan yang lemah yang menjurus kepada terlepas tarikh penting atau tarikh akhir dan terlupa barang. Bagi individu yang sedang belajar, lewat menyerahkan tugasan atau gagal membawa bahan yang diperlukan ke kelas adalah perkara biasa.
  4. Menghindari tugas yang memerlukan usaha mental berpanjangan: Cenderung menangguhkan atau mengelak tugas yang memerlukan usaha mental yang signifikan, seperti penyediaan untuk peperiksaan atau menyelesaikan kertas kerja.
  5. Kehilangan barang yang diperlukan: Kehilangan barang secara kerap—seperti kunci, cermin mata atau dokumen—merupakan masalah yang lazim dan lambat laun menyebabkan kekecewaan dan kelewatan.
  6. Mudah terganggu oleh stimuli luaran: Sering mendapati diri mudah tertarik pada bunyi atau rangsangan visual di persekitaran mereka. Perkara ini menjejas atau menghalang fokus.
  7. Lupa dalam aktiviti harian: Lupa untuk pulangkan buku ke perpustakaan atau gagal menepati janji adalah biasa dalam kalangan individu dengan ADHD jenis tumpuan terjejas.

Variasi Gejala Tambahan

Selain gejala utama di atas, terdapat juga pola tingkah laku yang lain yang kerap muncul:

  1. Ragu dalam membuat keputusan: Alami kesukaran membuat keputusan akibat pilihan yang terlalu banyak atau ketakutan untuk membuat pilihan yang salah.
  2. Toleransi rendah terhadap kekecewaan: Tindak balas besar terhadap masalah kecil atau sebarang cabaran, yang boleh menyebabkan ledakan emosi atau sifat putus asa atau mengelak cabaran.
  3. Kesukaran mengikuti arahan: Kegagalan untuk menyelesaikan tugas atau mematuhi arahan di sekolah atau tempat kerja yang membawa kepada kritikan daripada guru, rakan sebaya, atau penyelia.

Penting untuk difahami bahawa penampilan ADHD gangguan tumpuan boleh berbeza secara ketara antara individu berlainan. Sesetengah daripada mereka mungkin terkesan secara lebih signifikan berbanding yang lain dan ini mempengaruhi persepsi serta penanganan cabaran yang dihadapi.

Kesan Dalam Pelbagai Aspek Kehidupan

Cabaran Akademik

Dalam persekitaran akademik, pelajar dengan ADHD jenis kurang tumpuan sering mengalami kesukaran untuk kekal seiring dengan prestasi pelajar sebaya mereka. Mereka mungkin menghadapi kesulitan dalam:

  1. Fokus semasa kuliah: Pelajar ADHD akan mendapati cabaran untuk memberi perhatian dalam kelas dan ini mungkin akan menyebabkan pelajar tersebut terlepas maklumat penting.
  2. Menyelesaikan tugasan: Disebabkan isu dalam pengurusan diri dan tabiat menangguh, mereka mungkin menghantar kerja yang tidak lengkap atau lewat.
  3. Mengambil bahagian dalam projek kumpulan: Kesukaran untuk menyelaras tugas atau mengekalkan fokus semasa perbincangan.

Kesukaran Di Tempat Kerja

Bagi mereka yang telah berkerja, kesan ADHD adalah seperti berikut:

  • Menepati tarikh akhir: Ketidakperhatian boleh menyebabkan terlepas tarikh akhir sesuatu tugas. Kesannya besar ke atas prestasi kerja dan kemajuan kerjaya.
  • Kemahiran menyusun atur: Cabaran menjaga keteraturan ruang kerja yang atau menguruskan masa dengan berkesan untuk tiba ke tempat kerja dalam waktu yang tepat.
  • Hubungan interpersonal: Salah komunikasi atau salah faham akibat ketidakperhatian boleh merosakkan hubungan dengan rakan sekerja dan penyelia.

Implikasi Sosial

Secara sosial, individu ADHD mungkin mengalami perasaan kekecewaan dan merasa tidak cukup baik akibat kondisi mereka. Mereka mungkin sukar untuk mengekalkan persahabatan atau mengambil bahagian dalam aktiviti kumpulan yang akan membuat mereka makin terasing dari masyarakat.

Perbezaan Jantina

Penyelidikan menunjukkan bahawa ADHD sering muncul dengan cara yang berbeza antara lelaki dan perempuan. Lelaki biasanya menunjukkan lebih banyak tingkah laku hiperaktif-impulsif, menjadikan ADHD mereka lebih ketara. Sebaliknya, perempuan lebih cenderung ADHD gangguan tumpuan dan gejalanya kurang ketara, yang boleh menyebabkan kurangnya diagnosis atau diagnosis yang salah. Kerana gejala mereka sering diketepikan, kemungkinan untuk mereka mengalami lebih banyak tekanan emosi adalah lebih tinggi dan perkara ini sering membawa kepada kerisauan melampau (anxiety) dan harga diri yang rendah (low self esteem).

Membezakan ADHD jenis kurang tumpuan daripada kondisi mental lain, seperti gangguan kebimbangan atau ketidakupayaan pembelajaran, adalah kritikal untuk diagnosis dan rawatan yang tepat.

Pilihan Rawatan

Pengurusan yang berkesan untuk ADHD jenis ini biasanya melibatkan pendekatan pelbagai aspek yang menggabungkan terapi tingkah laku, ubat dan perubahan gaya hidup.

Terapi Tingkah Laku

Terapi kognitif-tingkah laku (CBT) adalah sangat bermanfaat. CBT tertumpu pada:

  • Pembangunan strategi: Mempelajari kemahiran untuk menguruskan perhatian dan cabaran menyusun atur.
  • Mengubah pola pemikiran negatif: Menangani pemikiran negatif untuk meningkatkan harga diri dan mengurangkan kebimbangan.

Ubat

Preskripsi ubat dapat membantu untuk menguruskan gejala. Ubat rangsangan, seperti metilfenidat dan amfetamin biasanya digunakan dan terbukti berkesan. Ubat bukan perangsang, seperti atomoksetin, juga mungkin bermanfaat, terutamanya bagi mereka yang mengalami kesan sampingan daripada ubat rangsangan.

Perubahan Gaya Hidup

Selain terapi dan ubat, perubahan gaya hidup boleh memberi kesan positif:

  • Senaman Berkala: Aktiviti fizikal boleh meningkatkan tumpuan dan mengurangkan impulsiviti.
  • Diet Seimbang: Diet yang sihat menyokong fungsi otak secara keseluruhan dan boleh memberi kesan positif kepada mood dan perhatian.
  • Sleep hygiene: Memastikan tidur yang mencukupi dan berkualiti adalah penting, kerana kekurangan tidur boleh memburukkan gejala ADHD.

Memahami gejala ADHD jenis gangguan perhatian adalah penting untuk pengurusan dan bantuan yang berkesan. Mengenal pasti gejala ini lebih awal boleh membawa kepada intervensi yang tepat pada kadar waktu yang berpatutan agar individu ADHD tersebut dapat menangani cabaran yang dihadapi untuk mendapatkan kualiti hidup yang baik. Jika anda atau seseorang yang anda kenali menunjukkan gejala-gejala di atas, mendapatkan penilaian komprehensif daripada pakar adalah penting. Dapatkan khidmat penilaian dan intervensi ADHD di Minda Inklusif, tempah di sini.

Rujukan:

  1. American Psychiatric Association. (2013). Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (5th ed.).
  2. National Institute of Mental Health. (n.d.). “Attention-Deficit/Hyperactivity Disorder.” NIMH.
  3. Centers for Disease Control and Prevention. (2021). “Data & Statistics on ADHD.” CDC.
  4. Barkley, R. A. (2015). ADHD and the Nature of Self-Control. New York: Guilford Press.
  5. Kooij, J. J. S., et al. (2010). “The Wender Utah Rating Scale: A Screening Tool for Adult ADHD.” BMC Psychiatry, 10(1), 31.

Langgan Newsletter

Baca blog lain:

Client #1
Client #1@ADHDAssesment
It's very meaningful to me to finally get the proper diagnosis after struggling throughout my life. I feel validated during the session. The diagnosis, strategies and sharing did help me in navigating my life further. Thank you 🙂
Client #2
Client #2@MentalHealthConsultation
Adila makes me think that what i currently doing (by putting boundaries) is the right choice. i'm glad to hear that she said it's good i did that. since i thought what i did was wrong and constantly feeling guilty. now i feel kinda relieve. i kinda see a lil bit of light at the end of my tunnel. thanks adila.
Client #3
Client #3@MentalHealthScreening
The session went really good. Coming from a psychology major, I already am familiar with the terms and things that were being discussed, but the therapist explained in a very simple manner that's easy to understand that I feel like clients would be able to know themselves better through the session.