Membuka Lembaran Baru Selepas Diagnosis ADHD Dewasa

Photo by Petra Reid on Unsplash

Bulan Januari kembali esok, menandakan permulaan tahun baru 2025. Buang kalendar lama anda, tiba masanya untuk beli planner baru! (walaupun kita tahu memang susah nak konsisten menggunakannya), dan inilah masa untuk kita tetapkan azam baru dan senaraikan perkara hebat yang ingin dicapai pada tahun 2025. Namun, bagi anda yang baru sahaja menerima diagnosis ADHD sebagai orang dewasa, permulaan tahun baru ini mungkin terasa lebih istimewa. Seperti plot twist dalam drama kehidupan, diagnosis yang baru anda terima mungkin menjadi jawapan kepada banyak persoalan tentang diri anda yang telah lama bermain di fikiran sebelum ini.

 

Menerima diagnosis ADHD sebagai orang dewasa bukanlah hal yang mudah. Ibarat menerima manual rahsia tentang diri sendiri yang selama ini hilang! Diagnosis ini memberikan penjelasan, membantu anda memahami mengapa hidup kadangkala terasa sangat mencabar, ibarat boss level dalam permainan video. Paling penting, diagnosis yang anda terima bakal membuka peluang untuk anda merancang strategi unik yang sesuai dengan diri anda, sekaligus membawa perubahan positif ke arah masa depan yang lebih teratur (atau sekurang-kurangnya kurang huru-hara).

 

Ikuti blog ini hingga penghujung untuk mengetahui cara menavigasi kehidupan yang huru-hara dengan penuh harapan dan mungkin diselitkan dengan sedikit gelak tawa. Mari mulakan perjalanan tahun baru anda bersama Minda Inklusif!

Perjalanan Emosi Setelah Menerima Diagnosis ADHD

Menerima diagnosis ADHD sebagai orang dewasa boleh mencetuskan pelbagai reaksi emosi yang kompleks. Dalam artikel ini, mari kita terokai perjalanan emosi seseorang melalui lima (5) tahap kesedihan yang diperkenalkan oleh Elisabeth Kübler-Ross. Mungkin anda akan lebih memahami emosi yang sedang anda alami, atau menyedari bahawa anda sebenarnya sedang melalui sebuah fasa kesedihan.

 

1. Penafian: “Eh, Diagnosis ni Mungkin Salah!”

Penafian sering menjadi reaksi emosi pertama bagi individu dewasa yang baru sahaja menerima diagnosis ADHD, terutamanya apabila ia diterima pada usia dewasa dan bukan semasa kanak-kanak. Bagi sesetengah individu, diagnosis ini mungkin membawa kelegaan, tetapi bagi individu lain, ia boleh menimbulkan kekeliruan dan keraguan. Ramai individu berasa sukar untuk sepenuhnya mempercayai diagnosis tersebut, walaupun ia telah disahkan secara klinikal.

Contohnya, dalam satu kajian, seorang individu dewasa yang baru sahaja merima diagnosis ADHD berkata: “Saya ingat ADHD cuma untuk budak lelaki nakal sahaja! Kenapa saya pula? Awak mesti sedang bergurau?!” 

 

  • Realiti yang mengejutkan – sebilangan besar individu dewasa dengan ADHD tidak menunjukkan ciri-ciri hiperaktif yang sering dikaitkan dengan ADHD. Sebaliknya, mereka lebih cenderung mengalami cabaran seperti kesukaran menumpukan perhatian, mengurus masa dan emosi. Malangnya, stereotaip bahawa ADHD hanya berkait rapat dengan hiperaktif membuatkan ramai individu dewasa sukar mengaitkan pengalaman mereka dengan diagnosis yang telah diberikan.
  • Pemahaman yang salah – mereka yang berada dalam fasa penafian selalunya mempunyai tanggapan yang kurang tepat tentang ADHD. Salah satu salah faham yang paling biasa ialah kepercayaan bahawa ADHD hanya berlaku pada kanak-kanak, sedangkan hakikatnya, ia adalah gangguan perkembangan neuro yang boleh berlanjutan sepanjang hayat.

 

2. Kemarahan: Kenapa Dulu Saya Tidak di Diagnosis?

Fasa emosi seterusnya selepas individu mendapatkan diagnosis ADHD adalah kemarahan. Kemarahan seringkali timbul apabila individu mula menyedari betapa berbezanya kehidupan mereka sekiranya diagnosis ADHD diterima lebih awal. Emosi ini melibatkan campuran perasaan seperti kekecewaan, kebencian, dan kesedihan terhadap sistem atau individu yang gagal mengenal pasti masalah mereka lebih awal. 

  • Kemarahan terhadap orang sekeliling – individu yang baru menerima diagnosis ADHD pada usia dewasa akan berasa marah terhadap orang di sekeliling mereka kerana mereka percaya simptom ADHD sepatutnya dapat dikenalpasti pada usia kanak-kanak, sekiranya orang di sekeliling mereka peka dan ambil tahu. 
  • Kehilangan Masa dan Peluang – mereka juga percaya bahawa mereka telah kehilangan masa dan peluang yang sepatutnya diperoleh semasa kanak-kanak jika mereka menerima diagnosis ADHD lebih awal. Kegagalan dan kekeliruan di masa kecil mungkin dapat dielakkan sekiranya mereka telah menerima diagnosis.
  • Pengalaman buruk sewaktu membesar – ADHD sering dikaitkan dengan gejala penyalahgunaan bahan, menurut banyak kajian mengenai tingkah laku individu dengan ADHD. Seorang peserta kajian menyatakan perasaan marah kerana telah mendapatkan diagnosis yang lambat, kerana perserta tersebut mempunyai pengalaman yang buruk sewaktu membesar:

 

“Kalau saya tahu tentang ADHD sepuluh tahun lalu, mungkin saya tak perlu ke penjara. Saya mungkin dapat pekerjaan sebenar hari ini. Saya takkan perlu lalui kehidupan yang saya lalui sekarang.”

 

3. Bargaining: Kalau lah Saya Tahu Lebih Awal…

Fasa bargaining adalah satu fasa emosi yang berlandaskan hipotesis. Dalam fasa ini, individu yang baru menerima diagnosis ADHD sering membayangkan situasi hipotetikal tentang bagaimana kehidupan mereka mungkin berbeza jika diagnosis dan rawatan ADHD diterima lebih awal.

Melalui satu kajian, seorang individu yang baru menerima diagnosis ADHD dan melalui fasa bargaining berkata:

“Sekarang saya ada masalah ini, saya fikir, sebab saya tahu tak ada jalan untuk sembuh. Tak ada jalan untuk jadi sihat… jadi ini adalah kecacatan… saya kena hidup dengannya.”

 

  • Kesedihan tentang masa lampau – individu membayangkan kehidupan alternatif di mana mereka menerima sokongan dan rawatan lebih awal. Mereka percaya dengan diagnosis yang tepat pada masanya, mereka mungkin dapat memperluaskan potensi diri semasa di sekolah, mendapatkan pekerjaan yang lebih baik, dan membina hubungan yang sihat dengan orang di sekeliling mereka.
  • Harapan vs Realiti – individu dalam fasa ini sering melakukan bargaining, berharap ada cara untuk “memperbaiki” sepenuhnya simptom dan tingkah laku ADHD mereka. Namun, apabila mereka menyedari bahawa ianya tidak boleh “dibaiki” tetapi hanya dapat diuruskan melalui strategi pengurusan yang efektif dan unik kepada setiap individu, mereka menjadi sukar untuk kekal optimistik dalam perjalanan hidup kedua mereka selepas mendapatkan diagnosis ADHD.
  • Kebimbangan terhadap pembentukan diri – perasaan ini muncul apabila individu mula meragui identiti diri yang telah terbentuk sepanjang hidup mereka. Mereka mempersoalkan adakah identiti mereka ini adalah disebabkan sifat dan kelakuan mereka atau ianya terbentuk hasil daripada simptom ADHD. Mereka juga takut sekiranya diagnosis ADHD akan menguasai kehidupan mereka sepenuhnya, sehingga menyebabkan mereka berasa kurang yakin dengan potensi diri yang sedia ada. 

 

4. Kemurungan: Saya Telah Hilang Banyak Masa?

Fasa seterusnya selepas seorang individu dewasa baru menerima diagnosis ADHD ialah kemurungan. Fasa ini bermula apabila individu tersebut mula memahami betapa beratnya cabaran yang mereka hadapi akibat diagnosis ADHD yang lewat, termasuk perasaan bahawa mereka telah kehilangan banyak masa, peluang dan hubungan yang mungkin dapat dibentuk lebih awal. Selain itu, mereka juga merasa putus asa, hilang harapan serta tekanan untuk memenuhi harapan terhadap diri sendiri dan juga harapan dari orang lain. Hal ini menyebabkan mereka hilang keyakinan diri dan rasa diri tidak berharga.

  • Rasa hilang – mereka yang baru didiagnosis dengan ADHD sering merasa terperangkap dalam perasaan “hilang” — hilang identiti diri, peluang serta rasa “hilang” atau terasing daripada masa sekarang. Mereka berhadapan dengan tekanan untuk sentiasa mencuba menjadi “sempurna” di mata diri sendiri dan orang lain walaupun mereka tahu hal tersebut agak tidak realistik.

 

Masa yang digunakan untuk terus mencuba untuk menjadi sempurna menyebabkan mereka hilang banyak masa yang sepatutnya diluangkan untuk mencari dan mencuba pelbagai rawatan yang boleh membantu mengatasi simptom dan tingkah laku ADHD.

Seperti yang didedahkan oleh seorang individu lelaki melalui satu kajian,

“Saya terus mencuba dengan begitu keras, dan kemudian saya kecewa dengan diri sendiri. Sebab bila mencuba dengan terlalu keras, lambat laun, anda akan menghadapi kegagalan. Dan orang akan kata: kamu tak berguna.”

 

  • Kitaran kegagalan – kitaran kegagalan yang dihadapi oleh individu yang baru sahaja menerima diagnosis ADHD adalah kitaran yang berterusan, sukar untuk diubah atau diputuskan. Di dalam fasa kemurungan kitaran kegagalan yang kerap berlaku tanpa henti menyebabkan keyakinan diri semakin berkurang. Individu tersebut mulai percaya bahawa mereka “gagal” dalam kehidupan, walaupun hakikatnya mereka hanya menghadapi cabaran yang disebabkan oleh ADHD. Akibatnya, mereka sering merasa tidak layak untuk dihormati dan disayangi.

 

5. Penerimaan: Inilah Diri Saya

Perjalanan emosi terakhir mengikut fasa Kübler-Ross ialah penerimaan. Dalam fasa ini, individu yang baru menerima diagnosis ADHD mula menerima diri mereka dan membuka lembaran kedua dalam hidup, iaitu sebagai individu dengan ADHD. Mereka berhenti melihat ADHD sebagai label yang negatif atau sebagai musuh, dan mula menerima bahawa ADHD adalah sebahagian daripada identiti mereka. Namun, ADHD tidak menggambarkan atau mendefinisikan diri mereka secara keseluruhan.

 

Dalam fasa ini, individu akan merasa lega, tenang dan dapat menghentikan tanggapan serta perasaan negatif. Mereka mula melakukan usaha aktif untuk melihat aspek positif dan menerima kekuatan diri mereka. Proses penerimaan ini berlaku apabila individu itu sendiri mengiktiraf diagnosis mereka dan berhenti menyalahkan diri atas tingkah laku yang dianggap “bodoh” atau kesilapan kecil. Seorang peserta kajian ADHD menyatakan seperti berikut,

“Saya menerima diri saya sekarang. Saya tak ada banyak kekecewaan dalam diri. Ada sebab kenapa saya buat perkara kecil yang nampak bodoh.”

 

Penerimaan diagnosis ADHD memberikan ruang untuk individu fokus kepada masa depan dan potensi mereka, bukannya pada apa yang tidak dapat dicapai di masa lalu. Adalah penting untuk diingat bahawa proses emosi dan penerimaan diagnosis ADHD bagi individu dewasa bukanlah satu proses yang linear. Ramai individu melaporkan bahawa mereka merasa ingin terus maju ke depan, namun seringkali kembali ke fasa sebelumnya iaitu kemurungan dan bargaining sebelum akhirnya mencapai fasa penerimaan sepenuhnya.

Menghargai Masa Depan

Menerima diagnosis ADHD sebagai orang dewasa bukanlah satu “game over”, sebaliknya, ia adalah butang restart dalam permainan hidup anda! Sama seperti memulakan tahun baru yang penuh dengan harapan (walaupun kadang-kadang ada sedikit kegagalan dalam mencapai azam tahun baru), diagnosis ini adalah peluang untuk memulakan semula dengan pengetahuan dan strategi baru. Anda kini dilengkapi dengan “cheat codes” untuk memahami diri anda dengan lebih baik. 

 

Jadi, jangan risau tentang level yang anda telah “kalah” sebelum ini—ini masa untuk mencipta naratif baru, lengkap dengan kekuatan unik anda. Ingat, setiap tahun baru adalah bab baru, dan anda adalah penulis utamanya. 

 

Selamat mencipta cerita 2025 yang luar biasa!

Rujukan:

  • Aoki, Y., Tsuboi, T., Furuno, T., Watanabe, K., & Kayama, M. (2020). The experiences of receiving a diagnosis of attention deficit hyperactivity disorder during adulthood in Japan: a qualitative study. BMC psychiatry, 20(1), 373. https://doi.org/10.1186/s12888-020-02774-y
  • Hansson Halleröd, S. L., Anckarsäter, H., Råstam, M., & Hansson Scherman, M. (2015). Experienced consequences of being diagnosed with ADHD as an adult – a qualitative study. BMC psychiatry, 15, 31. https://doi.org/10.1186/s12888-015-0410-4
  • Schrevel, S. J., Dedding, C., van Aken, J. A., & Broerse, J. E. (2016). ‘Do I need to become someone else?’ A qualitative exploratory study into the experiences and needs of adults with ADHD. Health expectations : an international journal of public participation in health care and health policy, 19(1), 39–48. https://doi.org/10.1111/hex.12328
  • WebMD – Big Emotions From Learning You Have Adult ADHD 
  • Young, S., Bramham, J., Gray, K., & Rose, E. (2008). The experience of receiving a diagnosis and treatment of ADHD in adulthood: a qualitative study of clinically referred patients using interpretative phenomenological analysis. Journal of attention disorders, 11(4), 493–503. https://doi.org/10.1177/1087054707305172