Dunia kita hari ini dipenuhi dengan pelbagai gangguan atau tarikan yang sentiasa menjejaskan perhatian kita. Mesti anda pernah hadapi situasi di mana anda sedang perlu untuk fokus pada kerja atau sesi pembelajaran, tetapi telefon bimbit anda seolah-olah menyeru nama anda untuk membuka sebarang aplikasi media sosial atau hiburan.
Kini perhatian kita sentiasa di tarik-tarik ke pelbagai arah—ibarat anda sedang cuba menonton rancangan TV kegemaran anda tetapi dalam masa yang sama terdapat radio yang sentiasa bertukar-tukar siaran sedang dimainkan di latar belakang. Ketika anda cuba untuk mengikuti plot rancangan yang sedang ditonton, bunyi yang bertindih dari radio menarik perhatian anda lalu menyukarkan anda untuk fokus pada rancangan tersebut. Sama seperti bunyi TV dan radio yang sedang berjalan serentak membuatkan anda sukar untuk fokus, gangguan tumpuan dalam hidup menyukarkan anda untuk terus memberi tumpuan baik dalam pelbagai keadaan. Gangguan seperti inilah simptom kebiasaan bagi kondisi Gangguan Kekurangan Perhatian dan Hiperaktiviti (Attention Deficit Hyperactvity Disorder, ADHD).
Jadi, apabila perhatian anda sentiasa terganggu, adakah itu bermakna anda menghidap ADHD? Dengan keberadaan telefon pintar dan pelbagai media sosial, tidak hairan apabila terdapat ramai orang yang tertanya-tanya sama ada kesukaran mereka untuk fokus dan mengurus jadual harian adalah sekadar kesan sampingan gaya kehidupan moden atau sebenarnya sebuah kondisi gangguan mental. Jika anda pernah merasakan minda anda seperti sebuah kotak muzik yang sentiasa berputar pantas dan memainkan lagu tanpa henti, artikel ini akan membantu anda memahami tanda-tanda ADHD dan menentukan sama ada sudah tiba masanya untuk anda mendapatkan penilaian profesional.
Membezakan antara ADHD yang sebenar dan gangguan yang berpunca daripada teknologi moden sememangnya mencabar. Maka, memahami tanda-tanda ADHD dan bagaimana ia berbeza daripada kesan gangguan teknologi kontemporari adalah penting untuk penilaian diri yang tepat dan pengurusan hidup yang berkesan. Mari kita fahami ADHD terlebih dahulu untuk mengenal perbezaan ini.
ADHD adalah gangguan neurodevelopmental (perkembangan otak) yang mengganggu fungsi harian berpunca dari gejala ketidakfokusan, hiperaktiviti dan impulsiviti yang berterusan. Ia biasanya muncul pada zaman kanak-kanak dan boleh berterusan sehingga dewasa. Gejala ADHD bukanlah sekadar kekurangan fokus sekali-sekala; simptom ADHD kekal konsisten dan meluas lalu ia mempengaruhi pelbagai aspek kehidupan termasuk kerja, hubungan dan tugas harian.
Ketidakfokusan kronik: Kesukaran untuk mengekalkan perhatian dalam tugas atau aktiviti, sering kali menyebabkan kesilapan yang cuai.
Impulsiviti: Bertindak tanpa memikirkan akibatnya, yang menyebabkan tingkah laku seperti keputusan terburu-buru atau mengganggu (interrupt) perbualan.
Hiperaktiviti: Perasaan sentiasa gelisah atau kesukaran untuk duduk diam.
ADHD dicirikan dengan simptom yang jelas; namun tidak semua individu ADHD menunjukkan simptom yang sama. ADHD muncul dalam tiga kategori yang disahkan: kategori gangguan perhatian (inattentive), kategori hiperaktif-impulsif, dan kategori gabungan (mengalami kesemua simptom pada tahap berbeza).
Bagi mereka yang mengalami ADHD, gejala-gejala ini adalah berterusan dan memberi kesan yang signifikan kepada keupayaan mereka untuk menjalani hidup normal atau berfungsi baik dalam pelbagai persekitaran.
Dunia moden menawarkan pelbagai gangguan yang boleh menyebabkan tingkah laku yang menghampiri gejala ADHD. Telefon bimbit, media sosial dan perkhidmatan penstriman menawarkan kepuasan segera (instant gratification) dan rangsangan berterusan yang menjurus kepada gangguan perhatian. Perbezaan utama ADHD dan gangguan perhatian moden sangat bergantung kepada konteks dan kesan gangguan tersebut.
Sifat gangguan: Walaupun individu tanpa ADHD mungkin mendapati kesukaran untuk fokus disebabkan oleh daya tarikan peranti seperti telegon pintar, tingkah laku ini cenderung untuk berubah berdasarkan persekitaran mereka. Jika mereka perlu fokus, mengalih telefon pintar yang menjadi punca ketidakfokusan tadi ke tempat lain boleh membantu untuk mengembalikan fokus. Contoh lain adalah seseorang mungkin dapat membaca buku dengan baik dalam sebuah bilik yang tenang tetapi tidak jika berada di tengah-tengah sebuah restoren yang penuh dan bising. Sebaliknya, bagi individu ADHD, sama ada terdapat telefon pintar atau tidak, dan sama ada di dalam sebuah bilik yang tenang atau di sebuah restoren yang sibuk, simptom ADHD berterusan tanpa mengira persekitaran atau konteks.
Kesan terhadap kehidupan: Jika ketidakfokusan anda dikaitkan terutamanya dengan gangguan teknologi moden, ia mungkin dapat diperbaiki dengan usaha yang sungguh-sungguh seperti menetapkan sempadan dalam penggunaan telefon pintar atau mencipta ruang kerja atau ruang belajar tanpa gangguan. Manakala ntuk mengurus gejala ADHD pula memerlukan pendekatan yang lebih komprehensif termasuk psikoterapi atau intervensi ubat.
Refleksi diri: Cuba perhati sejarah hidup anda dengan masalah perhatian. Gejala ADHD sering muncul pada zaman kanak-kanak dan disertai pola tingkah laku yang konsisten dari semasa ke semasa. Jika anda mendapati bahawa cabaran perhatian anda tidak konsisten (ada kemampuan untuk fokus) dan mendapati gangguan digital memainkan pengaruh atau peranan besar, ini mungkin menunjukkan bahawa kehidupan moden adalah penyebab utama kepada ketidakupayaan anda untuk fokus dan bukan ADHD.
Terdapat sebab-sebab lain juga yang boleh menjelaskan mengapa anda tiba-tiba sukar untuk fokus, tetapi dalam artikel kali ini kami ingin menumpu pada ADHD vs. Gangguan perhatian disebabkan kehidupan moden.
Untuk menilai sama ada ketidakfokusan anda disebabkan oleh ADHD atau gangguan moden, pertimbangkan strategi berikut:
Penilaian diri: Simpan diari selama beberapa minggu, catatkan kekerapa insiden di mana anda mendapati fokus anda terganggu. Adakah terdapat pencetus tertentu? Adakah fokus anda bertambah baik dalam situasi berlainan?
Dapatkan maklum balas: Bincangkan dengan rakan atau ahli keluarga tentang persepsi mereka berkenaan tahap fokus anda. Mereka mungkin dapat memberikan perspektif baharu atau berlainan.
Penilaian profesional: Jika anda mengesyaki anda menghidapi ADHD, dapatkan khidmat seorang profesional kesihatan mental untuk penilaian menyeluruh. Mereka boleh membezakan antara ADHD dan isu lain. Kami di Minda Inklusif juga menawarkan khidmat penilaian ini.
Hadkan gangguan: Cuba laksanakan detoks digital atau mencipta rutin yang berstruktur untuk mengamati sebarang perubahan dalam tahap fokus anda. Jika berlaku peningkatan yang ketara, ketidakfokusan anda mungkin lebih berkaitan dengan gangguan moden daripada ADHD.
Dalam dunia yang dipenuhi dengan gangguan, membezakan antara ADHD dan kesan teknologi moden boleh menjadi sulit. Memahami sifat gejala anda dan merenungkan pengalaman anda dapat meningkatkan pemahaman yang jelas tentang diri sendiri. Sama ada anda mencari bantuan profesional untuk ADHD atau ingin memperbaiki gaya hidup, matlamatnya tetap sama: untuk meningkatkan keupayaan anda untuk fokus bagi mendapatkan kualiti hidup yang baik meskipun persekitaran moden sarat dengan pelbagai bentuk gangguan (distractions).
Jumpa kami di Minda Inklusif untuk ketahui lebih lanjut mengenai ADHD.
Kami percaya mereka yang mempunyai ADHD boleh berkembang maju, memimpin, mencipta dan mentakrifkan semula kejayaan — dan kami berada di sini untuk menempuh perjalanan itu bersama anda.