“Saya tahu teori kompleks tersebut. Tetapi apabila perlu menulis di bawah tekanan masa, otak saya seolah-olah terkunci.”
Peserta Kajian Disleksia Tweet
Menurut DSM-5, disleksia dikategorikan sebagai gangguan pembelajaran spesifik (SLD) yang melibatkan kesukaran dalam membaca. Secara asasnya, disleksia adalah keadaan neuro-perkembangan sepanjang hayat yang memberi kesan kepada beberapa kemahiran individu seperti membaca, menulis, dan mengeja.
Manakala, menurut Individuals with Disabilities Education Act (IDEA), disleksia merujuk kepada gangguan dalam satu atau lebih, proses psikologi asas individu yang melibatkan pemahaman atau penggunaan bahasa (APA. 2013; IDEA, 2004).
Di peringkat global, disleksia dianggarkan berlaku dalam kalangan 15 hingga 20% daripada populasi global (Shaywitz, 1998). Ini bermakna, sebahagian besar pelajar universiti berkemungkinan sedang bergelut dengan disleksia dalam diam. Ramai bimbangkecerdasan mereka akan dipersoalkan kerana keupayaan membaca dan menulis mereka yang mengambil lebih masa berbanding rakan sebaya.
Dengan kadar prevalens yang signifikan ini, isu disleksia tidak boleh dipandang ringan, terutama dalam konteks pendidikan tinggi. Sempena bulan kesedaran ADHD dan Disleksia, mari kita teliti bersama Minda Inklusif cabaran inklusiviti yang dialami oleh pelajar dengan disleksia di universiti.
Perjalanan pelajar dengan disleksia di universiti pastinya penuh cabaran. Menurut kajian disleksia (Ali et al., 2020), pelajar dengan disleksia menggambarkan wujud jurang besar antara keupayaan mereka berfikir secara kritikal dengan kesukaran menyelesaikan tugasan yang dianggap mudah oleh rakan sebaya.
Mereka melaporkan rasa malu, tekanan tinggi dan cenderung mengelak apabila diminta untuk membaca dengan kuat di dalam kelas, menyerahkan tugasan bertulis tangan atau menduduki peperiksaan. Seorang peserta kajian disleksia berkongsi,
“Saya tahu teori kompleks tersebut. Tetapi apabila perlu menulis di bawah tekanan masa, otak saya seolah-olah terkunci.”
Di sebalik perasaan kecewa, peserta kajian menekankan betapa pentingnya membina hubungan dan strategi daya tindak yang kreatif serta berkesan. Sokongan daripada rakan sebaya, pensyarah memahami serta maklum balas yang berstruktur boleh mengurangkan tekanan yang dirasakan dan meningkatkan keyakinan diri.
Berikut adalah beberapa tema yang menggambarkan pengalaman pelajar dengan disleksia di universiti:
“Minggu orientasi memang chaos. Semua orang excited, tapi saya overwhelmed dengan bising, jadual tak tentu arah, dan terlalu banyak interaksi sosial. Rasa nak give up awal-awal.”
Apabila pelajar dapat akses kepada sokongan awal semasa di universiti, terutamanya pelajar baharu ini boleh membuatkan mereka lebih cepat untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baru.
“Saya ada seorang kawan yang selalu tolong cover kalau saya tiba-tiba rasa overwhelmed dalam kelas. Dia faham tanpa saya perlu explain banyak.”
Malu dan Tekanan – desakan untuk mencapai prestasi akademik mengikut piawaian ‘standard’ seperti membaca laju, atau peperiksaan bertulis panjang boleh meningkatkan perasaan rendah diri dan malu.
Mengelak Tugasan vs Ketabahan – terdapat segelintir pelajar dengan disleksia yang menangguhkantugasanmencabar kerana format penilaian di universiti seperti peperiksaan bertulis atau esei panjang tidak sejajar dengan kekuatan mereka. Namun, ada juga yang membina strategi pembelajaran adaptif seperti membuat nota berwarna atau belajar secara berkumpulan. Selain itu, universiti juga perlu mempertimbangkan penilaian alternatif seperti pembentangan lisan atau projek kreatif untuk mengetengahkan kekuatan pelajar neurodivergen.
Walaupun kesedaran mengenai neuroperkembangan semakin meningkat, kebanyakkan universiti masih beroperasi dengan pendekatan yang lebih efektif untuk pelajar neurotipikal. Sistem ini mengandaikan semua pelajar mampu mencapai prestasi yang sama, misalnya bekerja dalam kumpulan atau di bawah tekanan tinggi. Bagi pelajar dengan disleksia, jangkaan ini mewujudkan isu sistemik, iaitu ableisme berstruktur.
Antara isu-isu sistemik yang pelajar dengan disleksia hadapi ialah:
Tekanan Neo-Liberal – fokus utama pendidikan tinggi yang berpaksi kepada persaingan dan produktiviti akademik memberi impak besar kepada pelajar neurodivergen yang memerlukan masa tambahan untuk adaptasi.
Ketidakadilan Epistemik – pengalaman pelajar neurodivergen akan diketepikan kerana mereka bukan majoriti menyebabkan suara mereka tidak didengari.
Retorik Hidup untuk Bertahan – disebabkan ableisme yang berstruktur, graduan dengan disleksia menggambarkan universiti dan ijazah lebih sebagai medium untuk ‘menyelamatkan diri ’ daripada diskriminasibukan ruang sebenar untuk berkembang.
Isu-isu ini bukan sahaja menjejaskan prestasi akademik mereka, tetapi juga kesihatan mental mereka disebabkan stigma masyarakat dan keletihan emosi akibat pendedahan terhadap diskriminasi. Kebanyakan mereka juga bimbang cabaran ini berterusan walaupun selepas tamat pengajian. Oleh itu, penting untuk pelajar neurodivergen untuk mencari identiti dan suara mereka supaya mereka boleh menyuarakan pendapat serta mendapatkan sokongan di universiti.
Berikut adalah beberapa cara bagaimana pelajar dengan disleksia boleh membina diri di universiti:
Menyuarakan – apabila pelajar memahami disleksia mereka, pelajar perlu belajar menjelaskannya kepada orang lain dalam bahasa dan konteks yang mudah difahami. Ini dapat mengurangkan stigma dan memperkasakan advokasi komuniti disleksia. Apabila pelajar sudah mampu untuk menjelaskan disleksia kepada orang lain, pelajar sudah sampai ke tahap artikulasi iaitu keupayaan untuk bercakap secara terbuka tentang pengalaman sebagai individu neurodivergen.
Kisah pelajar dengan disleksia menunjukkan bahawa cabaran mereka bukan sekadar masalah peribadi, tetapi juga berkaitan dengan struktur pendidikan tinggi yang belum cukup inklusif.
Namun, dalam setiap kisah dan cabaran, wujud kekuatan yang kita boleh pelajari seperti empati, daya tahan dan keupayaan melihat dunia dari perspektif yang berbeza.
Untuk benar-benar menyokong pelajar neurodivergen, universiti perlu bergerak ke arah inklusiviti melaluitransformasi sistemik. Permulaan dengan menyediakan accommodation atau penyesuaian akademik, menilai semula kaedah penilaian akademik serta melibatkan suara pelajar neurodivergen dalam pembentukan dasar universiti boleh membawa kita kepada pendidikan tinggi yang lebih inklusif.
Kerana apa yang diinginkan oleh pelajar neurodivergen hanyalah sebuah sistem pendidikan yang adil, inklusif dan memberi ruang untuk semua berkembang.
Jika anda memerlukan sokongan dan panduan sebagai individu dengan ADHD, Minda Inklusif sedia untuk membantu anda. Daftarkan temujanji untuk mendapatkan konsultasi bersama terapis kami di Minda Inklusif sekarang.
Kami percaya mereka yang mempunyai ADHD boleh berkembang maju, memimpin, mencipta dan mentakrifkan semula kejayaan — dan kami berada di sini untuk menempuh perjalanan itu bersama anda.