Cabaran Inklusiviti Disleksia dalam Pendidikan Tinggi

“Saya tahu teori kompleks tersebut. Tetapi apabila perlu menulis di bawah tekanan masa, otak saya seolah-olah terkunci.”

Menurut DSM-5, disleksia dikategorikan sebagai gangguan pembelajaran spesifik (SLD) yang melibatkan kesukaran dalam membaca. Secara asasnya, disleksia adalah keadaan neuro-perkembangan sepanjang hayat yang memberi kesan kepada beberapa kemahiran individu seperti membaca, menulis, dan mengeja.

Manakala, menurut Individuals with Disabilities Education Act (IDEA), disleksia merujuk kepada gangguan dalam satu atau lebih, proses psikologi asas individu yang melibatkan pemahaman atau penggunaan bahasa (APA. 2013; IDEA, 2004).

Di peringkat global, disleksia dianggarkan berlaku dalam kalangan 15 hingga 20% daripada populasi global (Shaywitz, 1998). Ini bermakna, sebahagian besar pelajar universiti berkemungkinan sedang bergelut dengan disleksia dalam diam. Ramai bimbangkecerdasan mereka akan dipersoalkan kerana keupayaan membaca dan menulis mereka yang mengambil lebih masa berbanding rakan sebaya.

Dengan kadar prevalens yang signifikan ini, isu disleksia tidak boleh dipandang ringan, terutama dalam konteks pendidikan tinggi. Sempena bulan kesedaran ADHD dan Disleksia, mari kita teliti bersama Minda Inklusif cabaran inklusiviti yang dialami oleh pelajar dengan disleksia di universiti.

Bagaimana Pengalaman Mereka di Universiti?

Perjalanan pelajar dengan disleksia di universiti pastinya penuh cabaran. Menurut kajian disleksia (Ali et al., 2020), pelajar dengan disleksia menggambarkan wujud jurang besar antara keupayaan mereka berfikir secara kritikal dengan kesukaran menyelesaikan tugasan yang dianggap mudah oleh rakan sebaya.

Mereka melaporkan rasa malu, tekanan tinggi dan cenderung  mengelak apabila diminta untuk membaca dengan kuat di dalam kelas, menyerahkan tugasan bertulis tangan atau menduduki peperiksaan. Seorang peserta kajian disleksia berkongsi,

“Saya tahu teori kompleks tersebut. Tetapi apabila perlu menulis di bawah tekanan masa, otak saya seolah-olah terkunci.”

Di sebalik perasaan kecewa, peserta kajian menekankan betapa pentingnya membina hubungan dan strategi daya tindak yang kreatif serta berkesan. Sokongan daripada rakan sebaya, pensyarah memahami serta maklum balas yang berstruktur boleh mengurangkan tekanan yang dirasakan dan meningkatkan keyakinan diri.

Berikut adalah beberapa tema yang menggambarkan pengalaman pelajar dengan disleksia di universiti:

  • Mendapat Galakan vs Patah Semangat – sokongan pensyarah yang menunjukkan empati dan fleksibiliti dalam proses pengajaran boleh meningkatkan keyakinan pelajar. Namun, apabila accommodation atau penyesuaian akademik ditolak, stigma terhadap disleksia semakin kukuh. Contohnya, seorang pelajar kejuruteraan yang mempunyai disleksia menggambarkan minggu orientasi universiti sebagai:.

“Minggu orientasi memang chaos. Semua orang excited, tapi saya overwhelmed dengan bising, jadual tak tentu arah, dan terlalu banyak interaksi sosial. Rasa nak give up awal-awal.”

Apabila pelajar dapat akses kepada sokongan awal semasa di universiti, terutamanya pelajar baharu ini boleh membuatkan mereka lebih cepat untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baru.

  • Empati vs Kurang Empati – pelajar dengan disleksia berkembang apabila tenaga pengajar mengiktiraf usaha mereka dan menyediakan sokongan pembelajaran. Tanpa empati, mereka boleh berasa terasing dan tidak sesuai dengan pelajar lain. Rakan sekelas juga menjadi faktor pelindung daripada burnout. Seperti seorang pelajar bidang farmasi dengan disleksia berkongsi:,
“Saya ada seorang kawan yang selalu tolong cover kalau saya tiba-tiba rasa overwhelmed dalam kelas. Dia faham tanpa saya perlu explain banyak.”
  • Malu dan Tekanan – desakan untuk mencapai prestasi akademik mengikut piawaian ‘standard’ seperti membaca laju, atau peperiksaan bertulis panjang boleh meningkatkan perasaan rendah diri dan malu.

  • Mengelak Tugasan vs Ketabahan – terdapat segelintir pelajar dengan disleksia yang  menangguhkantugasanmencabar kerana format penilaian di universiti seperti peperiksaan bertulis atau esei panjang tidak sejajar dengan kekuatan mereka. Namun, ada juga yang membina strategi pembelajaran adaptif  seperti membuat nota berwarna atau belajar secara berkumpulan. Selain itu, universiti juga perlu mempertimbangkan penilaian alternatif seperti pembentangan lisan atau projek kreatif untuk mengetengahkan kekuatan pelajar neurodivergen.

Ableisme dalam Pendidikan Tinggi

Walaupun kesedaran mengenai neuroperkembangan semakin meningkat, kebanyakkan universiti masih beroperasi dengan pendekatan yang lebih efektif untuk pelajar neurotipikal. Sistem ini mengandaikan semua pelajar mampu mencapai prestasi yang sama, misalnya bekerja dalam kumpulan atau di bawah tekanan tinggi. Bagi pelajar dengan disleksia, jangkaan ini mewujudkan isu sistemik, iaitu ableisme berstruktur.

Antara isu-isu sistemik yang pelajar dengan disleksia hadapi ialah:

  1. Tekanan Neo-Liberal – fokus utama pendidikan tinggi yang berpaksi kepada persaingan dan produktiviti akademik memberi impak besar kepada pelajar neurodivergen yang memerlukan masa tambahan untuk adaptasi.

  2. Ketidakadilan Epistemik – pengalaman pelajar neurodivergen akan diketepikan kerana mereka bukan majoriti menyebabkan suara mereka tidak didengari.

  3. Retorik Hidup untuk Bertahan – disebabkan ableisme yang berstruktur, graduan dengan disleksia menggambarkan universiti dan ijazah lebih sebagai medium untuk ‘menyelamatkan diri ’ daripada diskriminasibukan ruang sebenar untuk berkembang.

Isu-isu ini bukan sahaja menjejaskan prestasi akademik mereka, tetapi juga kesihatan mental mereka disebabkan stigma masyarakat dan keletihan emosi akibat pendedahan terhadap diskriminasi. Kebanyakan mereka juga bimbang cabaran ini berterusan walaupun selepas tamat pengajian. Oleh itu, penting untuk pelajar neurodivergen untuk mencari identiti dan suara mereka supaya mereka boleh menyuarakan pendapat serta mendapatkan sokongan di universiti.

Berikut adalah beberapa cara bagaimana pelajar dengan disleksia boleh membina diri di universiti:

  •  Membangun Kesedaran Diri – pelajar boleh mengenali perbezaan diri  dengan orang lain. Dengan ini, pelajar boleh melihat disleksia bukan kekurangan, tetapi satu cara belajar yang berbeza. Dari kesedaran ini, pelajar boleh belajar mengawal emosi  dan meningkatkan efikasi kendiri (keyakinan bahawa diri sendiri mampu untuk berjaya) di universiti.
  • Membangun Strategi Kawalan Kendiri – sebagai pelajar universiti, mereka perlu lebih proaktif dalam membangun strategi kawalan kendiri. Kenali kekuatan dan cabaran diri anda supaya boleh mencipta strategi yang berkesan dalam mengurus tekanan, masa dan tugasan akademik.
  • Menyuarakan – apabila pelajar memahami disleksia mereka, pelajar perlu belajar menjelaskannya kepada orang lain dalam bahasa dan konteks yang mudah difahami. Ini dapat mengurangkan stigma dan memperkasakan advokasi komuniti disleksia. Apabila pelajar sudah mampu untuk menjelaskan disleksia kepada orang lain, pelajar sudah sampai ke tahap artikulasi iaitu keupayaan untuk bercakap secara terbuka tentang pengalaman sebagai individu neurodivergen.

Dari Suara ke Perubahan Sistemik

Kisah pelajar dengan disleksia menunjukkan bahawa cabaran mereka bukan sekadar masalah peribadi, tetapi juga berkaitan dengan struktur pendidikan tinggi yang belum cukup inklusif. 

Namun,  dalam setiap kisah dan cabaran, wujud kekuatan yang kita boleh pelajari seperti empati, daya tahan dan keupayaan melihat dunia dari perspektif yang berbeza.

Untuk benar-benar menyokong pelajar neurodivergen, universiti perlu bergerak ke arah inklusiviti melaluitransformasi sistemik. Permulaan dengan menyediakan accommodation atau penyesuaian akademik, menilai semula kaedah penilaian akademik serta melibatkan suara pelajar neurodivergen dalam pembentukan dasar universiti boleh membawa kita kepada pendidikan tinggi yang lebih inklusif.

Kerana apa yang diinginkan oleh pelajar neurodivergen hanyalah sebuah sistem pendidikan yang adil, inklusif dan memberi ruang untuk semua berkembang.

Jika anda memerlukan sokongan dan panduan sebagai individu dengan ADHD, Minda Inklusif sedia untuk membantu anda. Daftarkan temujanji untuk mendapatkan konsultasi bersama terapis kami di Minda Inklusif sekarang.

Rujukan:

  1. MacCullagh, L., Bosanquet, A., & Badcock, N. A. (2017). University Students with Dyslexia: A Qualitative Exploratory Study of Learning Practices, Challenges and Strategies. Dyslexia (Chichester, England), 23(1), 3–23. https://doi.org/10.1002/dys.1544
  2. Ali, K., Kisielewska, J., Subhan, M. M. F., & Tredwin, C. (2020). How does dyslexia impact on the educational experiences of healthcare students? A qualitative study. European journal of dental education: Official Journal of the Association for Dental Education in Europe, 24(1), 154–162. https://doi.org/10.1111/eje.12479
  3. Zambo, D. (2004). Using Qualitative Methods to Understand the Educational Experiences of Students with Dyslexia. The Qualitative Report, 9(1), 80-93. https://doi.org/10.46743/2160-3715/2004.1938

Langgan Newsletter

Baca blog lain:

Client #1
Client #1@ADHDAssesment
It's very meaningful to me to finally get the proper diagnosis after struggling throughout my life. I feel validated during the session. The diagnosis, strategies and sharing did help me in navigating my life further. Thank you 🙂
Client #2
Client #2@MentalHealthConsultation
Adila makes me think that what i currently doing (by putting boundaries) is the right choice. i'm glad to hear that she said it's good i did that. since i thought what i did was wrong and constantly feeling guilty. now i feel kinda relieve. i kinda see a lil bit of light at the end of my tunnel. thanks adila.
Client #3
Client #3@MentalHealthScreening
The session went really good. Coming from a psychology major, I already am familiar with the terms and things that were being discussed, but the therapist explained in a very simple manner that's easy to understand that I feel like clients would be able to know themselves better through the session.