Pernah tak anda rasa susah nak buat banyak kerja dalam satu masa atau tiba-tiba terlupa ada tarikh akhir (deadline) yang perlu dipatuhi, walaupun sebenarnya anda dah ingatkan diri sendiri berkali-kali? Atau, pernahkah anda mengalami perubahan perancangan yang mendadak dan otak anda rasa macam tersekat, susah untuk menyesuaikan diri. Ini adalah fungsi eksekutif (EF) – iaitu sebuah sistem kawalan dalam otak yang menguruskan perancangan, tumpuan, kawalan diri, dan penyelesaian masalah.
EF ini boleh diibaratkan seperti seorang CEO dalam otak – atau kita boleh panggil sebagai menara kawalan (control tower). Jika CEO otak ini terlalu impulsif dan sering terlupa, kita mungkin melihat ciri-ciri ADHD. Sebaliknya, jika CEO otak terasa terlalu rigid dan sukar untuk melakukan perubahan dalam strategi, kita akan melihat ciri-ciri Autisme (ASD).
Kedua-dua keadaan neuro-perkembangan ini mempunyai cabaran dalam fungsi eksekutif (EF) yang mempengaruhi kehidupan seharian mereka, dan pastinya mekanisme otak mereka berbeza. Memahami perbezaan dalam EF antara ADHD dan ASD boleh membantu individu, keluarga, atau rakan untuk memahami diri mereka lebih baik.
Ikuti entri minggu ini bersama Minda Inklusif untuk mengetahui bagaimana fungsi EF berfungsi atau terganggu dalam kondisi ADHD dan ASD, serta cara kita boleh menyokong keperluan unik mereka.
Fungsi eksekutif adalah kumpulan proses kognitif yang membolehkan individu untuk merancang, mengawal, dan mengatur pemikiran serta tingkah laku. EF adalah asas kepada kehidupan seharian yang membolehkan individu untuk menyelesaikan masalah, menyesuaikan diri dengan perubahan (adaptability), dan mengawal emosi. Sekiranya EF seorang individu terjejas, tugasan dan fungsi harian pasti akan menjadi cabaran seperti individu yang mempunyai ADHD atau ASD. Terdapat empat komponen teras EF yang perlu kita tahu:
1. Memori Kerja (Working Memory) – keupayaan untuk menyimpan dan memanipulasi maklumat dalam jangka masa pendek.
Penting untuk mengikuti arahan, pembelajaran, dan membuat keputusan.
Contoh: Seorang pelajar mengingati langkah-langkah untuk menyelesaikan masalah matematik tanpa merujuk semula latihan sebelum ini.
2. Kawalan Inhibitori (Inhibisi Respons) – keupayaan untuk menahan tindak balas automatik atau tidak sesuai terhadap rangsangan.
Membolehkan individu untuk mengawal diri dan bertindak mengikut matlamat serta mematuhi norma sosial.
Contoh: Menunggu giliran untuk membayar bil air atau menunggu giliran dalam perbualan tanpa menyampuk orang lain.
3. Fleksibiliti Kognitif – keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan maklumat baru, beralih antara tugas, dan mengubah strategi mengikut perubahan.
Membantu individu untuk melakukan peralihan dan menerima idea baru.
Contoh: Membantu rakan sekerja dalam menguruskan tugasan ad-hoc tanpa berasa tertekan.
4. Kawalan Emosi – keupayaan untuk menguruskan tindak balas emosi yang sejajar dengan stimulus, atau rangsangan.
Membantu individu mengurangkan ledakan emosi, meningkatkan daya tahan diri, dan dapat memperbaiki hubungan sosial.
Contoh: Menarik nafas dalam-dalam (deep breathing) untuk menenangkan diri selepas berlaku perselisihan faham di tempat kerja.
Proses yang berlaku di dalam EF dikawal oleh prefrontal cortex yang mempunyai interaksi dengan bahagian otak lain seperti limbic system dan cerebellum. Disebabkan EF memainkan peranan yang penting dalam kehidupan seharian, sebarang gangguan dalam fungsi EF boleh menyebabkan kesukaran dalam akademik, pekerjaan, dan hubungan sosial.
Memori kerja (WM) merujuk kepada keupayaan untuk menyimpan dan memanipulasi maklumat secara sementara. WM adalah elemen penting dalam proses perhatian, penyelesaian masalah, dan organisasi. Kajian mengenai WM dalam ADHD dan ASD menunjukkan bahawa individu dengan kondisi neuro-perkembangan ini sering mengalami kelemahan WM yang lebih ketara berbanding individu neurotipikal.
Kemerosotan WM bagi individu dengan ADHD dan ASD dapat dilihat dalam defisit antara domain verbal dan visuospatial. ADHD sering dikaitkan dengan disfungsi dalam prefrontal cortex dorsolateral, iaitu bahagian otak yang bertanggungjawab untuk mengekalkan dan memanipulasi maklumat. Akibatnya, individu dengan ADHD mungkin akan mudah “hilang fokus” semasa bekerja, menyukarkan mereka untuk menyelesaikan tugasan tersebut.
Kemerosotan WM bagi individu dengan ADHD dan ASD dapat dilihat dengan defisit antara domain verbal dan visuospatial. ADHD sering dikaitkan dengan disfungsi dalam prefrontal cortex dorsolateral – iaitu bahagian otak yang bertanggungjawab untuk mengekalkan dan memanipulasi maklumat. Individu mungkin akan mudah “hilang” semasa membuat kerja dan menyukarkan mereka untuk menyiapkan kerja tersebut.
Sebaliknya, individu dengan ASD mengalami defisit yang lebih spesifik kepada domain tertentu dan tidak bersifat menyeluruh seperti individu dengan ADHD. Jika terdapat defisit, individu dengan ASD akan mengalami kesukaran untuk menggunakan pengetahuan yang telah diingat secara fleksibel.
Manakala, individu ADHD dan ASD mempunyai kesukaran yang lebih ketara dalam memori kerja visuospatial yang tidak diperhatikan bagi individu AuDHD.
Inhibisi respons merujuk kepada keupayaan untuk mengawal tindak balas automatik atau impulsif, yang sering dianggap sebagai kelemahan utama dalam ADHD. Ini berlaku apabila terdapat disfungsi pada bahagian otak yang terlibat dalam pengawalan impuls dan pemantauan prestasi tindak balas, seperti right inferior frontal gyrus. Kelajuan pemprosesan respons yang laju atau perlahan boleh memberi impak kepada fungsi harian individu dengan ADHD dan ASD. Kawalan inhibitori bertindak sebagai ‘brek otak’ yang membantu individu untuk mengawal diri dan berfikir sebelum bertindak.
Individu dengan ASD juga menghadapi kesukaran dalam kawalan inhibitori, tetapi kesukaran ini bergantung kepada konteks atau keadaan tertentu. Kawalan inhibitori dalam ASD cenderung lebih kaku, menyebabkan individu mengulangi tingkah laku atau idea tanpa fleksibiliti. Walaupun mereka mungkin menunjukkan tingkah laku berulang atau sukar berhenti daripada aktiviti kegemaran yang telah dimulakan, mereka tidak bersikap impulsif dalam cara yang sama seperti individu dengan ADHD.
Memahami perbezaan dalam fungsi eksekutif antara ADHD dan ASD bukan sekadar perbincangan akademik — ia memberi impak besar kepada kehidupan harian individu yang mengalaminya. Sama ada cabaran dalam memori kerja, kawalan impuls, kelajuan pemprosesan, atau fleksibiliti kognitif, setiap aspek memainkan peranan dalam bagaimana seseorang berfikir, belajar, dan berinteraksi dengan dunia. Walaupun ADHD lebih dikaitkan dengan impulsiviti dan kesukaran memulakan tugas, ASD pula lebih cenderung kepada pemikiran yang kaku dan pemprosesan maklumat yang lebih perlahan.
Ini hanyalah bahagian pertama dalam memahami fungsi eksekutif bagi individu dengan ADHD dan ASD! Nantikan bahagian kedua minggu depan, di mana kita akan meneroka lebih banyak aspek fungsi eksekutif dalam ADHD dan ASD.
Jika anda ingin berbincang dengan terapis atau melakukan saringan ADHD/ASD, kunjungi Minda Inklusif untuk menempah sesi bersama terapis kami atau menjalani saringan secara dalam talian di laman web kami. Dapatkan jawapan, dapatkan sokongan!
Kami percaya mereka yang mempunyai ADHD boleh berkembang maju, memimpin, mencipta dan mentakrifkan semula kejayaan — dan kami berada di sini untuk menempuh perjalanan itu bersama anda.