ADHD dalam Wanita: Memahami Persahabatan

Persahabatan adalah satu hubungan sosial yang menghubungkan individu yang berlainan di dalam masyarakat. Sahabat atau kawan adalah mereka yang menerima dan meraikan kepelbagaian kita, memahami tingkah laku kita yang sering tidak boleh diduga atau spontan, dan juga mereka yang tetap menyayangi dan menghargai kita walaupun adakalanya kita mungkin terlupa hari penting mereka atau mempunyai sifat yang menjengkelkan.


Bagi wanita dewasa dengan ADHD, persahabatan boleh menjadi satu cabaran. Walaupun mereka boleh membina hubungan persahabatan yang mendalam, mereka juga sering berdepan dengan kesukaran yang berkaitan dengan ADHD seperti kesukaran mengesan perjalanan masa dan mengurus masa (time blindness), mudah lupa dan mengalami keletihan sosial yang lebih cepat berbanding rakan mereka yang lain (social fatigue). Berdasarkan sebuah kajian, hubungan persahabatan yang berkualiti tinggi adalah persabahatan yang memberi kesan positif yang berterusan terhadap kesihatan mental, kemahiran sosial (social skill) dan kesejahteraan seseorang. Bagi individu dengan ADHD? Persahabatan menjadi cabaran besar kerana walaupun mereka telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mengekalkan hubungan persahabatan yang mendalam, ia kadangkala masih memberikan kesan negatif kepada mereka.

Perlu diingati, setiap persahabatan itu unik dan berbeza. Kualiti sebuah persahabatan yang terdiri daripada kepercayaan, keakraban dan sokongan pastinya jauh lebih penting dan bermakna daripada sekadar mempunyai ramai kawan. Kualiti jauh lebih penting daripada kuantiti.

Dalam entri kali ini, mari kita fahami bagaimana wanita dengan ADHD mengharungi naik turun dalam persahabatan sebagai individu dewasa yang unik.


  • Mudah teruja tetapi sukar mengekalkan hubungan jangka panjang – wanita dengan ADHD cenderung mudah berasa teruja, terutama apabila mendapatkan rangsangan seperti makanan yang mereka suka atau bercerita tentang drama yang mereka sedang tonton. Melalui keterujaan, mereka sangat mudah untuk membentuk hubungan yang mendalam namun begitu ianya tidak bertahan lama kerana individu dengan ADHD mempunyai masalah sering terlupa untuk membalas mesej, atau kadang-kadang hilang dari radar selama beberapa hari bahkan boleh sampai berminggu-minggu kerana mengalami kelithan sosial yang lebih cepat (social fatigue). 
  • Kesukaran mengurus masa – dalam persahabatan neurotipikal, masa adalah emas. Mereka sering menitikberatkan soal masa kerana tidak mahu ia terbuang begitu sahaja. Namun, dalam persahabatan dengan wanita dengan ADHD, cabaran dalam menepati masa sering berlaku. Mereka mungkin terlupa tentang temujanji yang telah dibuat walaupun sudah menetapkan penggera (alarm) sebagai peringatan. Walaupun time blindness ini bukanlah sesuatu yang disengajakan, ia mungkin boleh membuatkan sahabat mereka rasa kurang dihargai.
  • Sensitiviti emosi yang tinggi – wanita dengan ADHD mempunyai sensitiviti emosi yang tinggi. Dalam istilah yang lebih mudah, ia boleh digambarkan sebagai mereka yang sensitif. Apakah yang dimaksudkan dengan sensitiviti emosi bagi wanita dengan ADHD? Mereka sering mempunyai empati yang tinggi, tetapi pada masa yang sama, mereka juga sangat sensitif terhadap penolakan sosial. Mereka akan sering merasa bimbang akan tindakan dan kata-kata mereka, takut jika mereka telah melakukan kesalahan tanpa disedari. Kepekaan mereka terhadap emosi di sekeliling mereka juga boleh menyebabkan mereka mudah tersinggung.
  • Keghairahan yang melampau & kadang-kadang ‘menakutkan’ – tenaga individu dengan ADHD sangat tinggi, terutamanya apabila mereka meminati, atau ‘obses’ dengan sesuatu topik. Keghairahan ini boleh menjadikan sahabat neurotipikal mereka merasa terbeban, kerana mereka cenderung bercakap tanpa henti tentang minat mereka, sehingga menyebabkan perbualan menjadi berat sebelah. Hal ini juga boleh membuatkan rakan mereka merasakan bahawa individu dengan ADHD adalah terlalu dominan dalam perbualan dan persahabatan itu sendiri, kerana kebanyakan topik yang dibincangkan berpusing sekitar minat mereka. Walaupun individu dengan ADHD sering mengalami keletihan sosial (social fatigue), mereka juga secara tidak sedar boleh menjadi punca keletihan sosial (social fatigue) di dalam persahabatan.

 

Membentuk dan mengekalkan persahabatan bagi wanita dengan ADHD boleh menjadi satu cabaran, namun ia bukanlah sesuatu yang mustahil. Dengan memahami bagaimana ciri-ciri ADHD mempengaruhi diri kita dan memberi kesan kepada hubungan sosial, kita boleh mengambil langkah yang lebih proaktif untuk membina persahabatan yang lebih sihat dan berkekalan.

Mengapa Persahabatan Penting kepada Wanita dengan ADHD?

Menurut kajian, persahabatan yang berkualiti tinggi boleh memberikan manfaat jangka panjang terhadap kesihatan mental dan kesejahteraan individu dengan ADHD. 

  • Meningkatkan harga diri (self-esteem) dan mengurangkan tekanan – persahabatan sangat penting bagi wanita dewasa dengan ADHD kerana persahabatan yang kuat boleh meningkatkan harga diri. Kajian mengenai ADHD mendapati bahawa remaja dengan persahabatan yang berkualiti tinggi lebih cenderung mempunyai harga diri yang lebih baik dan kurang mengalami masalah kesihatan mental apabila dewasa. Bagi wanita dewasa, persahabatan berperanan dalam mengurangkan tekanan kerana individu mempunyai tempat untuk bergantung dan berkongsi pemahaman dan pengalaman hidup yang sama.
  • Mengurangkan rasa keseorangan dan penolakkan sosial (social rejection) –   menurut kajian, individu yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang sahabat rapat dan menjalinkan persahabatan yang berkualiti tinggi, lebih terlindung dari perasaan keseorangan. Selain itu, bagi individu dengan ADHD, ini juga mengurangkan kecenderungan untuk mengalami penolakan sosial serta membantu mereka berkembang secara sosial.
  • Membantu dalam pengawalan emosi dan perkembangan sosial – bagi individu dengan ADHD, persahabatan menjadi ruang untuk mereka belajar dan memahami isyarat sosial seperti bekerjasama, empati dan menyelesaikan konflik secara matang. Bagi wanita dewasa dengan ADHD, persahabatan juga berperanan dalam membantu mereka memahami aspek kehidupan seharian seperti membeli bahan masakan atau berkomunikasi dengan pasangan. Hanya seorang wanita yang dapat membimbing dan berkongsi dengan wanita lain dalam hal ini.

 

Sahabat dan Anda?

Persahabatan merupakan aspek penting dalam kehidupan wanita dengan ADHD. Ia bukan sahaja memberikan sokongan emosi, tetapi juga membantu mereka mengatasi cabaran sosial yang sering dialami. Ciri-ciri ADHD seperti kesukaran untuk mengawal impulsitiviti, mengurus masa, kecenderungan emosi yang tinggi serta memahami isyarat sosial (social cues) boleh menjadi punca konflik dan salah faham dalam persahabatan. Hal ini menjadikan memulakan dan mengekalkan hubungan persahabatan sebagai satu cabaran bagi wanita dengan ADHD.

Namun begitu, ini tidak bermakna wanita dengan ADHD tidak patut mempunyai sahabat dan hubungan persahabatan. Sebaliknya, dengan kesedaran yang tepat mengenai bagaimana ciri-ciri ADHD mempengaruhi persahabatan, serta usaha yang proaktif, wanita dengan ADHD boleh membina persahabatan yang berkualiti dan memenuhi keperluan sosial mereka. Selain itu, mencari persekitaran sosial yang selamat dan menyokong adalah penting. Mereka perlu berada dalam komuniti

di mana mereka boleh menjadi diri sendiri tanpa rasa takut dihakimi. Persahabatan sejati bukan tentang kesempurnaan, tetapi tentang penerimaan, empati, dan sokongan yang ikhlas.

Dalam dunia yang kadangkala terasa huru-hara dan tidak menentu, memiliki sahabat yang memahami dan menyayangi anda boleh menjadi sumber kekuatan yang luar biasa. Seterusnya, membuktikan bahawa anda tidak bersendirian dalam perjalanan hidup ini. 

Mari mulakan temujanji di Minda Inklusif untuk belajar cara memulakan dan mengekalkan persahabatan sebagai seorang dewasa dengan ADHD.

Rujukan:

  1. Fosenburg, S. (2018). Investigating friendship qualities in high ability or achieving, typically-developing, ADHD, and twice-exceptional youth [University of Iowa]. https://doi.org/10.17077/etd.hh343cqn
  2. Robertz A-C, Kantzer A-K, Nilsson S, To¨rnhage C-J, Nyman V (2024) Friendship matters—An interview study with adolescents with attention deficit hyperactivity disorder. PLOS Ment Health 1(1): e0000023. https://doi.org/10.1371/journal.pmen.0000023
  3. Tibbits, J. (2024). The lived experiences of teachers diagnosed with ADHD as adults working in Western Australian Independent schools. [Doctoral Thesis, The University of Western Australia]. https://research-repository.uwa.edu.au/en/publications/the-lived-experiences-of-teachers-diagnosed-with-adhd-as-adults-w
  4. Maya Beristain, C., & Wiener, J. (2020). Friendships of adolescents with attention-deficit/hyperactivity disorder. Canadian Journal of School Psychology, 35(4), 266–279. https://doi.org/10.1177/0829573520936469

Langgan Newsletter

Baca blog lain:

Client #1
Client #1@ADHDAssesment
It's very meaningful to me to finally get the proper diagnosis after struggling throughout my life. I feel validated during the session. The diagnosis, strategies and sharing did help me in navigating my life further. Thank you 🙂
Client #2
Client #2@MentalHealthConsultation
Adila makes me think that what i currently doing (by putting boundaries) is the right choice. i'm glad to hear that she said it's good i did that. since i thought what i did was wrong and constantly feeling guilty. now i feel kinda relieve. i kinda see a lil bit of light at the end of my tunnel. thanks adila.
Client #3
Client #3@MentalHealthScreening
The session went really good. Coming from a psychology major, I already am familiar with the terms and things that were being discussed, but the therapist explained in a very simple manner that's easy to understand that I feel like clients would be able to know themselves better through the session.