Bila ADHD Dewasa Bertemu Kemarahan Ayah

Jam sudah menunjukkan 7:35 pagi, kopi di atas meja sudah pun sejuk. Si kecil menangis kerana abang ambil roti, dan isteri anda tanya sama ada anda sudah tandatangan boring sekolah si anak sulung. Sesuatu dalam diri anda terasa seperti ingin meletup namun apabila lihat si kecil sedang mengunyah roti, perasaan bersalah menghentam anda secara bertubi-tubi.

Anda tidak mahu marah. Anda tidak pernah mahu pun.

Ikuti entri Minda Inklusif minggu ini dimana kita berbincang bagaimana jikalau anda, seorang ayah dan juga seorang ADHD dewasa dikawali perasaan marah.

Kaitan ADHD dan Kemarahan

Cuba bayangkan emosi anda seperti thermostat yang mempunyai darjah kepanasan (kemarahan). Untuk individu neurotipikal, darjah kepanasan ini akan meningkat secara perlahan-lahan. Namun, bagi individu dengan ADHD, darjah kemarahan boleh berubah daripada 30° ke 100° darjah dalam sekelip mata sahaja.

Individu dewasa ADHD melaporkan kemarahan yang lebih kerap dan lebih kuat berbanding individu neurotipikal. ADHD menjejaskan bahagian otak yang mengawal emosi manusia, menyebabkan individu sukar untuk melambatkan reaksi atau memproses emosi yang sedang dirasai pada saat-saat penting dan genting.

Apabila individu tidak boleh mengenal pasti emosi seperti sedih, malu, bersalah – emosi mempunyai kemungkinan untuk dimanifestasikan sebagai kemarahan. Bagi individu yang mengambil ubat perangsang, mereka mungkin lagi mudah untuk merasakan kemarahan. Kelebihan rangsangan deria adalah seperti sebuah bom masa. Rangsangan yang berlebihan tidak mampu ditanggung oleh otak ADHD.

“Kekacauan di Rumah” (Home Chaos) sebagai Faktor

Dengan simptom ADHD yang perlu dilalui, dan rangsangan yang berlebih – cuba anda tambah situasi anda sebagai seorang ayah. Seorang ayah yang perlu menghadapi kekacauan di rumah yang sudah pastinya bising, tiada rutin jika isteri anda tidak lihat, penuh dengan barang dan sudah pastinya tidak boleh dijangka apa yang akan berlaku seterusnya.

Penyelidik ADHD menyifatkan home chaos sebagai satu faktor yang merosakkan dinamik sebuah keluarga terutamanya dalam keluarga ADHD. Kekacauan di rumah boleh menyebabkan:

  • Pengurangan interaksi sokongan dalam keluarga dan meningkatkan reaksi negatif kepada situasi yang merangsangkan.
  • Bagi ayah ADHD, ini akan meningkatkan disiplin yang tidak konsisten dan pengurangan penglibatan dalam keluarga sebagai seorang ayah.
  • Pengurangan sokongan emosi kepada anak apabila mereka berasa tertekan.

Disebabkan kekacauan rumah boleh meningkatkan disiplin yang tidak konsisten, bagi ayah yang mempunyai ADHD ini bermakna rumah yang kucar-kacir menjadi penguat kepada manifestasi emosi. Kemarahan kerana sukar untuk mendisiplinkan anak.

Namun, perlu diingati rumah yang kucar-kacir bagi individu neurotipikal juga sangat sukar. Tetapi bagi anda yang mempunyai ADHD, rumah yang lebih teratur pun anda mempunyai kemungkinan untuk menunjukkan corak yang tidak konsisten. Apa yang anda boleh lakukan adalah dengan mengurangi kekacauan dalam hidup anda untuk mengurangi peluang untuk anda berasa marah.

Penglibatan Keluarga Tinggi tak Bermaksud Anda Tidak Marah

Anda mungkin berfikir, walaupun anda mempunyai kekurangan kerana mempunyai ADHD, dengan menghabiskan lebih masa dengan anak dan keluarga mungkin adalah lebih baik. Namun, kadangkala ianya mungkin lebih khabar daripada rupa.

Kajian ADHD mendapati bahawa ayah yang mempunyai ADHD dan mempunyai kertelibatan yang tinggi dengan anak-anak mempunyai disiplin emosi yang melampau. Ini bermakna, manifestasi kemarahan mungkin akan sering berlaku. Sebaliknya, ayah yang mempunyai keterlibatan yang lebih rendah, kurang memberikan reaksi yang melampau. Home chaos memainkan peranan yang penting terhadap penglibatan positif seorang ayah dengan ADHD. Persekitaran rumah yang lebih tenang memudahkan individu untuk melibatkan diri dengan anak-anak dan keluarga secara positif dan sentiasa ‘hadir’.

Lebih masa dengan anak anda tidak bermakna anda mampu untuk mengawal emosi anda sepenuhnya. Jika anda tidak mempunyai alat untuk mengurus impuls anda, interaksi yang berlebihan bermakna anda akan sering terdedah untuk memberikan reaksi yang melampau.

Mengurus ADHD dan Kemarahan sebagai Seorang Ayah

Kenal Pasti Pencetus Kemarahan Anda

Mulakan dengan mengenal pasti apa yang membuat anda hilang kawalan sehingga berada di darjah tertinggi kemarahan, sebagai contoh:

  • Perubahan jadual anak-anak dan isteri pada saat akhir
  • Bunyi kuat yang bertindih secara serentak (eg: TV, anak bergaduh)
  • Rumah yang bersepah – banyak objek dan visual yang berselerak

Contoh di atas sebenarnya bukan sekadar ‘menyakitkan hati’ bagi otak ADHD. Ia adalah pencetus kepada stres yang berterusan. Bagi ayah yang mempunyai ADHD, anda digalakkan untuk mencatatkan dan mengenal pasti pencetus kemarahan anda secara ringkas. Ini supaya anda dapat belajar bagaimana diri anda bertindak balas kepada rangsangan.

Cipta Rutin yang Menenangkan

Rutin dan struktur mungkin kelihatan membosankan bagi otak ADHD, namun jika anda seorang ayah ia sebenarnya satu senjata untuk mengawal emosi. Contohnya:

  • Beri diri anda 10 minit awat pagi yang tenang. Selepas solat Subuh, anda mungkin boleh membaca Al-Quran dan berzikir atau minum kopi bersama geng surau sebelum pulang ke rumah.
  • Jadualkan masa rehat pendek yang tetap sepanjang hari. Jangan tunggu sampai anda rasa nak ‘meletup’ baru anda mengambil masa untuk berehat.

Selain itu, persekitaran rumah yang kemas juga sangat membantu. Jadi anda sebagai seorang ayah juga perlu berkongsi tugasan dengan isteri anda untuk mengekalkan persekitaran rumah yang kemas.

Bercakap Tentang ADHD dan Kemarahan – Jangan Rasa Malu

Ini adalah satu kebenaran yang tidak selesa bagi seorang ayah dengan ADHD. Simptom ADHD boleh menyebabkan individu untuk melepaskan kemarahan dan meletup pada orang yang paling mereka sayangi.

Tapi, anda juga harus tahu ADHD juga boleh memberikan anda empati untuk membina semula keyakinan diri. Ini boleh berlaku sekiranya anda sanggup untuk bercakap tentang ADHD dan kemarahan secara terbuka dan tidak malu mengenainya.

“Otak saya bertindak balas dengan cepat sebelum saya sempat berfikir ketika saya rasa terlalu tertekan. Saya sedang berusaha untuk memperbaiki diri saya. Kalau anda nampak saya kelihatan marah, muka merah dan sedang menjerit kepada anak-anak, boleh ingatkan saya untuk tarik nafas dalam-dalam?”

Gunakan saat pembetulan ini sebagai satu proses pengajaran dan saat untuk anda belajar. Anda harus mampu untuk tunjukkan kepada anak anda bahawa emosi itu sukar, tetapi mengakui anda mempunyai emosi yang negatif itu penting. Anak anda belajar dengan cara memerhatikan ibubapa. Jadi anda harus mengajar mereka bagaimana untuk bangkit semula bila situasi menjadi sukar.

Hi Ayah! Otak ADHD Anda Bukanlah Musuh Anda

Anda bukanlah seorang ‘ayah yang pemarah’ secara semula jadi. Anda cuma mempunyai otak yang memberikan tindak balas dengan lebih cepat sebelum anda sempat berfikir tentang reaksi. Namun, jangan jadikan otak ADHD anda sebagai satu alasan atau musuh. Kerana otak ADHD sebenarnya adalah penjelasan kepada tindak balas anda. Apabila anda tahu apa yang mencetuskan letupan emosi, anda harus mencari cara untuk mengawal tekanan, dan bukannya dengan memecahkan pintu rumah.

Anda tidak perlu jadi ayah yang sempurna. Anak anda tidak perlukan seorang Iron Man. Anak anda hanya perlukan ayah yang sentiasa hadir secara positif dan sentiasa berusaha untuk bangun apabila hilang kawalan emosi.

Jika anda memerlukan sokongan dan panduan sebagai individu dengan ADHD, Minda Inklusif sedia untuk membantu anda. Daftarkan temujanji untuk mendapatkan konsultasi bersama terapis kami di Minda Inklusif sekarang.

Rujukan:

  1. Joseph, H. M., Kennedy, T. M., Gnagy, E. M., Perlman, S. B., Pelham, W. E., Jr, & Molina, B. S. G. (2019). Fathers with Childhood ADHD, Parenting, and Their Young Children’s Behavior: Offspring of the Pittsburgh ADHD Longitudinal Study (PALS). Child psychiatry and human development, 50(1), 35–44. https://doi.org/10.1007/s10578-018-0819-3

  2.  Shaw, P., Stringaris, A., Nigg, J., & Leibenluft, E. (2014). Emotion Dysregulation in Attention Deficit Hyperactivity Disorder. American Journal of Psychiatry, 171(3), 276–293. https://doi.org/10.1176/appi.ajp.2013.13070966

  3.  Johnston, C., Mash, E. J., Miller, N., & Ninowski, J. E. (2012). Parenting in adults with attention-deficit/hyperactivity disorder (ADHD). Clinical psychology review, 32(4), 215–228. https://doi.org/10.1016/j.cpr.2012.01.007

Langgan Newsletter

Baca blog lain:

Client #1
Client #1@ADHDAssesment
It's very meaningful to me to finally get the proper diagnosis after struggling throughout my life. I feel validated during the session. The diagnosis, strategies and sharing did help me in navigating my life further. Thank you 🙂
Client #2
Client #2@MentalHealthConsultation
Adila makes me think that what i currently doing (by putting boundaries) is the right choice. i'm glad to hear that she said it's good i did that. since i thought what i did was wrong and constantly feeling guilty. now i feel kinda relieve. i kinda see a lil bit of light at the end of my tunnel. thanks adila.
Client #3
Client #3@MentalHealthScreening
The session went really good. Coming from a psychology major, I already am familiar with the terms and things that were being discussed, but the therapist explained in a very simple manner that's easy to understand that I feel like clients would be able to know themselves better through the session.