Secara global, kajian mendapati sekitar 1-2% orang dewasa hidup dengan Gangguan Spektrum Autisme (Autism Spectrum Disorder, ASD). Walau bagaimanapun, ramai individu autistik tidak mendapat diagnosis sehingga dewasa, terutamanya mereka yang mempunyai profil yang tidak tipikal atau yang telah membangunkan strategi penyesuaian untuk berfungsi dalam masyarakat. Tanpa diagnosis atau sokongan yang sesuai, individu autistik lebih berisiko mengalami kecelaruan mental, tekanan akibat ketidakfahaman orang sekeliling, serta stigma sosial. Mereka mungkin dilabel sebagai “tidak sensitif,” “pelik,” atau “sukar bergaul,” walaupun kesukaran yang dialami berpunca daripada perbezaan cara otak mereka berfungsi.
Dengan diagnosis yang tepat, individu autistik berpeluang memahami cara otak mereka berfungsi dan meneroka strategi daya tindak yang bersesuaian. Memandangkan pengalaman setiap individu autistik adalah unik, mendapatkan pemahaman yang lebih komprehensif mengenai spektrum autisme dapat membantu mereka menjalani kehidupan yang lebih inklusif dan bermakna.
Jika anda tertanya-tanya sama ada anda mungkin berada dalam spektrum autisme, anda boleh memulakan langkah pertama dengan melakukan saringan autisme untuk orang dewasa.
Selain itu, kajian menunjukkan bahawa sekitar 50-70% individu autistik juga mempunyai ADHD (Hours et al., 2022), menjadikan kedua-dua keadaan ini sering wujud bersama (komorbid). Namun, kerana simptom yang bertindih dan cara setiap individu menyesuaikan diri dengan persekitaran mereka, ramai yang hanya menerima diagnosis salah satu daripadanya, atau tidak didiagnosis langsung.
Maklumat Ujian RAADS-14
RAADS-14 ialah alat saringan yang direka untuk membantu mengenal pasti Gangguan Spektrum Autisme (ASD) dalam kalangan orang dewasa. Ia merupakan versi ringkas daripada skala asal RAADS-R, menilai simptom ASD merentasi empat domain utama: bahasa, hubungan sosial, sensori-motor, dan minat yang terhad.
Penting untuk difahami bahawa RAADS-14 bukanlah alat diagnostik, tetapi lebih kepada alat saringan yang membantu profesional kesihatan mental dalam proses penilaian awal. RAADS-14 telah direka untuk populasi dewasa berumur 16 tahun ke atas dan bagi mereka yang mempunyai IQ >80.
| Bahasa: | Inggeris |
| Jumlah soalan: | 14 |
| Tempoh durasi: | 3–6 minit |
| Jenis: | Ujian Saringan |
| Pencipta: | Eriksson, J. M., Andersen, L. M., & Bejerot, S. Ronald C. |
| Tahun penerbitan: | 2013
|
| Kertas kajian: |
|
Ujian saringan ini merupakan langkah pertama untuk memahami sekiranya anda berkemungkinan berada dalam spektrum autisme. Ia BUKANLAH alat diagnostik. Terdapat banyak lagi keadaan lain yang mempunyai simptom yang seakan atau serupa dengan autisme, termasuk ADHD dan gangguan kebimbangan sosial. Oleh itu, penting untuk memastikan simptom yang dialami benar-benar disebabkan oleh autisme dan bukan keadaan lain atau jika terdapat komorbiditi. Maka, penilaian menyeluruh diperlukan bagi mendapatkan diagnosis yang tepat.
Sekiranya skor anda melebihi 14, kami menyarankan agar anda mendapatkan penilaian lanjut. Sebaiknya, interpretasi skor dilakukan oleh profesional terlatih dalam konteks penilaian yang lebih menyeluruh. Ini kerana diagnosis autisme memerlukan pertimbangan pelbagai faktor, termasuk sejarah perkembangan, simptom semasa, dan impak terhadap kehidupan seharian.
Satu aspek penting yang perlu ditekankan adalah bahawa walaupun RAADS-14 mudah diakses dan ditadbir, ia hanya berfungsi sebagai alat saringan awal dan bukan sebagai alat diagnosis. Diagnosis akhir autisme tidak boleh dibuat semata-mata berdasarkan skor RAADS-14, sebaliknya memerlukan penilaian klinikal yang komprehensif oleh profesional kesihatan mental yang berkelayakan.
Di Minda Inklusif, kami tidak menjalankan penilaian penuh untuk diagnosis autisme dewasa. Walau bagaimanapun, jika anda mengesyaki bahawa anda mungkin berada dalam spektrum autisme, anda boleh menjalani saringan kesihatan mental atau temu duga klinikal intake bersama ahli psikologi klinikal kami. Dalam sesi ini, anda boleh berbincang mengenai kebimbangan dan simptom anda, serta mendapatkan cadangan dan/atau rujukan untuk penilaian lanjut sekiranya diperlukan.