ADHD dalam Wanita: Stigma Sebagai Wanita Dalam Budaya Timur

“Saya selalu diumpat sebagai seorang yang ‘pemalas’ kerana rumah yang bersepah selepas berkahwin. Namun, saya belajar untuk melakukan kerja rumah bersama suami dan anak-anak, kerana saya sedar sekiranya saya terus menghukum diri, saya akan sentiasa merasa tertekan.”

Dalam budaya Timur di mana wanita sering dibebani dengan jangkaan sosial tertentu, wanita ADHD juga turut berhadapan dengan stigma yang lebih dalam dan kompleks. Budaya ketimuran yang menganggap wanita perlu cekap dalam mengatur masa serta bertanggungjawab terhadap kerja dan keluarga, menyebabkan mereka dianggap gagal jika tidak dapat memenuhi peranan tersebut. Disebabkan ini, ramai wanita dengan ADHD lebih memilih untuk menyembunyikan simptom mereka seperti yang telah dinyatakan dalam entri sebelum ini, daripada berterus-terang dengan masyarakat mengenai keadaan sebenar mereka. Entri kali ini akan membincangkan bagaimana stigma terhadap wanita dengan ADHD memberi kesan kepada kehidupan mereka. 

Stigma Wanita dengan ADHD

Selain daripada cabaran untuk mendapatkan diagnosis yang telah dinyatakan dalam entri sebelum ini, wanita dengan ADHD juga menghadapi cabaran dalam menjalani kehidupan yang penuh stigma terhadap keadaan mereka.

Stigma merupakan label sosial yang menandakan seorang individu itu “bermasalah” atau “tidak sempurna” di mata masyarakat yang seterusnya menyebabkan diskriminasi dan prasangka buruk. Bagi wanita dengan ADHD, label dan stigma oleh masyarakat ini sering menghalang mereka daripada mendapatkan rawatan yang sepatutnya kerana bimbang dengan risiko mendedahkan diagnosis ADHD kepada orang lain.

Wanita, terutamanya di Asia, mempunyai tanggungjawab sosial yang terhasil daripada konsep patriarki di mana masyarakat mempunyai jangkaan agar mereka bersifat teratur dan cekap dalam menguruskan diri dan keluarga. Namun, bagi wanita dengan ADHD, jangkaan sosial ini menjadi satu beban kerana mereka sukar untuk memenuhi ekspektasi yang diletakkan oleh masyarakat kepada mereka. 

Antara kesan stigma terhadap wanita dewasa dengan ADHD adalah seperti berikut:

  • Takut Dihakimi Secara Sosial – berdasarkan kajian mengenai ADHD, wanita lebih cenderung untuk melakukan masking (menyembunyikan simptom ADHD) sebagai usaha untuk mengelakkan stereotaip negatif dari masyarakat. Hal ini menyebabkan mereka sering mempunyai tekanan emosi yang lebih tinggi kerana terpaksa berusaha lebih daripada individu neurotipikal untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran mereka.
  • Keengganan Mendapatkan Diagnosis – disebabkan mereka takut menerima label sosial yang dikaitkan dengan ADHD, wanita dewasa dengan simptom ADHD sering menunjukkan keengganan yang tinggi untuk mendapatkan diagnosis formal. Walaupun mereka menyedari simptom ADHD mengganggu fungsi harian mereka, perasaan malu yang lebih mendalam akhirnya menghalang mereka daripada mendapatkan rawatan.
  • Penolakan Rawatan (Treatment Non-Adherence) – ramai wanita dewasa dengan ADHD yang telah mendapatkan diagnosis sering menolak rawatan farmakologi akibat stigma. Mereka mempunyai tanggapan bahawa kehidupan yang bergantung kepada ubat-ubatan tidak mampu untuk memperbaiki kualiti kehidupan mereka. Ini sering terjadi disebabkan konotasi negatif yang mengaitkan ubat ADHD hanya dengan kanak-kanak lelaki yang hiperaktif, dan bukannya dengan wanita.

Melalui sebuah kajian mengenai ADHD, seorang peserta kajian berkongsi bagaimana menerima diagnosis ADHD secara formal telah mengubah hidupnya;

“Saya berasa agak lega setelah didiagnos, tetapi saya juga merasa putus asa. Kerana inibukan salah saya, walaupun saya berusaha keras untuk menjadi lebih baik; saya tidak mampu untuk berbuat apa-apa mengenainya. Saya kini berasa tidak berdaya,”

Kenyataan di atas secara tidak langsung menggambarkan bagaimana ekspektasi masyarakat terhadap wanita boleh menjadi cabaran besar bagi wanita dewasa dengan ADHD. Walaupun mereka telah mendapatkan diagnosis dan rawatan, wanita akan terus sering bergelut dengan perasaan dalaman kerana tekanan untuk memenuhi jangkaan sosial.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai stigma dan ADHD dalam kalangan wanita, kami telah melakukan sebuah perbincangan dalam komuniti ADHD dewasa Minda Inklusif. Hasil perbincangan tersebut menunjukkan bahawa wanita dewasa dengan ADHD di Malaysia masih terikat dengan stigma, di mana mereka, seperti dinyatakan dalam kajian, berada di dalam lingkungan jangkaan sosial yang ditetapkan untuk seorang wanita terutamanya di rumah. Komuniti juga berkongsi bahawa mereka sering menerima teguran tentang perilaku mereka yang tidak dianggap sebagai perilaku wanita, dan mereka juga sukar berkongsi maklumat peribadi kepada orang lain, baik rakan, keluarga, mahupun orang asing. Sedikit sebanyak, perbincangan ini menjelaskan bahawa wanita dewasa dengan ADHD sering dihakimi kerana sifat ADHD mereka yang tidak sama seperti sifat ADHD lelaki dewasa.

Seorang ahli komuniti berkata, “Saya selalu diumpat sebagai seorang yang ‘pemalas’ kerana rumah yang bersepah selepas berkahwin. Namun, saya belajar untuk melakukan kerja rumah bersama suami dan anak-anak, kerana saya sedar sekiranya saya terus menghukum diri, saya akan sentiasa merasa tertekan.”

Secara keseluruhannya, stigma terhadap wanita dewasa dengan ADHD memberi impak yang besar terhadap kehidupan seharian mereka. Tekanan untuk memenuhi jangkaan masyarakat menyebabkan ramai yang terpaksa menyembunyikan simptom dan mengabaikan keperluan diri sendiri. Mereka sering takut dihukum atau dilabel sebagai tidak cukup baik, walaupun telah berusaha sebaik mungkin. Namun, dengan lebih banyak kesedaran dan sokongan, wanita dewasa dengan ADHD boleh belajar untuk menerima diri tanpa rasa malu atau takut. Perbincangan dalam komuniti ADHD Minda Inklusif menunjukkan bahawa sokongan sosial sangat penting untuk membantu mereka mengatasi cabaran ini. Oleh itu, kita perlu terus mewujudkan ruang yang selamat supaya wanita dengan ADHD dapat hidup dengan lebih tenang, bebas menjadi diri sendiri serta mempunyai keberanian untuk mendapatkan rawatan.

Anda Perlu Bertindak

Wanita dewasa dengan ADHD, seperti individu lain yang mengalaminya, berhak untuk mendapatkan sokongan yang sewajarnya. Mereka juga memerlukan ruang untuk berkembang sebagai individu dengan ADHD tanpa dibebani rasa takut terhadap stigma dan label yang memadamkan potensi mereka.

Jika anda memerlukan sokongan dan panduan sebagai wanita dengan ADHD, Minda Inklusif sedia untuk membantu anda. Daftarkan temujanji untuk mendapatkan konsultasi bersama terapis kami di Minda Inklusif sekarang. 

Rujukan:

  1. Lynn, Noelle Marita, “Women & ADHD Functional Impairments: Beyond the Obvious” (2019). Masters Theses. 933. https://scholarworks.gvsu.edu/theses/933
    https://www.sciencedirect.com/science/article/abs/pii/S1876201822002039
  2. Kelson, Sienna (2023) “ADHD in Women: Psychological, Academic, and Social Effects,” Family Perspectives: Vol. 5: Iss. 1, Article 1. Available at: https://scholarsarchive.byu.edu/familyperspectives/vol5/iss1/1
  3. Attoe, D. E., & Climie, E. A. (2023). Miss. Diagnosis: A Systematic Review of ADHD in Adult Women. Journal of Attention Disorders, 27(7), 645-657. https://doi.org/10.1177/10870547231161533
  4. Giron, Alexis-Phillis, “Gender Differences in the Presentation of Adult Attention-Deficit/ Hyperactivity Disorder: Exploring Factors Influencing the Underdiagnosis of ADHD and its Effects on Women” (2021). Nursing | Senior Theses. 44. DOI: https://doi.org/10.33015/dominican.edu/2021.NURS.ST.22
  5. Rizzo, Anthony, “Gender differences in ADHD diagnosis” (2016). Theses and Dissertations. 1409. https://rdw.rowan.edu/etd/1409
    https://oro.open.ac.uk/58412/1/Adult%20women%20and%20ADHD.pdf
  6. Kok, F. M. (2021). The female side of ADHD and ASD. [Thesis fully internal (DIV), University of Groningen]. University of Groningen. https://doi.org/10.33612/diss.179073089
  7. Devol, Tiffany Michelle, “Paying Attention: The Lived Experiences of Female ADHD Graduate Students in Higher Education. ” PhD diss., University of Tennessee, 2022. https://trace.tennessee.edu/utk_graddiss/7177

Langgan Newsletter

Baca blog lain:

Client #1
Client #1@ADHDAssesment
It's very meaningful to me to finally get the proper diagnosis after struggling throughout my life. I feel validated during the session. The diagnosis, strategies and sharing did help me in navigating my life further. Thank you 🙂
Client #2
Client #2@MentalHealthConsultation
Adila makes me think that what i currently doing (by putting boundaries) is the right choice. i'm glad to hear that she said it's good i did that. since i thought what i did was wrong and constantly feeling guilty. now i feel kinda relieve. i kinda see a lil bit of light at the end of my tunnel. thanks adila.
Client #3
Client #3@MentalHealthScreening
The session went really good. Coming from a psychology major, I already am familiar with the terms and things that were being discussed, but the therapist explained in a very simple manner that's easy to understand that I feel like clients would be able to know themselves better through the session.