“Saya selalu diumpat sebagai seorang yang ‘pemalas’ kerana rumah yang bersepah selepas berkahwin. Namun, saya belajar untuk melakukan kerja rumah bersama suami dan anak-anak, kerana saya sedar sekiranya saya terus menghukum diri, saya akan sentiasa merasa tertekan.”
Ahli Komuniti ADHD Tweet
Dalam budaya Timur di mana wanita sering dibebani dengan jangkaan sosial tertentu, wanita ADHD juga turut berhadapan dengan stigma yang lebih dalam dan kompleks. Budaya ketimuran yang menganggap wanita perlu cekap dalam mengatur masa serta bertanggungjawab terhadap kerja dan keluarga, menyebabkan mereka dianggap gagal jika tidak dapat memenuhi peranan tersebut. Disebabkan ini, ramai wanita dengan ADHD lebih memilih untuk menyembunyikan simptom mereka seperti yang telah dinyatakan dalam entri sebelum ini, daripada berterus-terang dengan masyarakat mengenai keadaan sebenar mereka. Entri kali ini akan membincangkan bagaimana stigma terhadap wanita dengan ADHD memberi kesan kepada kehidupan mereka.
Selain daripada cabaran untuk mendapatkan diagnosis yang telah dinyatakan dalam entri sebelum ini, wanita dengan ADHD juga menghadapi cabaran dalam menjalani kehidupan yang penuh stigma terhadap keadaan mereka.
Stigma merupakan label sosial yang menandakan seorang individu itu “bermasalah” atau “tidak sempurna” di mata masyarakat yang seterusnya menyebabkan diskriminasi dan prasangka buruk. Bagi wanita dengan ADHD, label dan stigma oleh masyarakat ini sering menghalang mereka daripada mendapatkan rawatan yang sepatutnya kerana bimbang dengan risiko mendedahkan diagnosis ADHD kepada orang lain.
Wanita, terutamanya di Asia, mempunyai tanggungjawab sosial yang terhasil daripada konsep patriarki di mana masyarakat mempunyai jangkaan agar mereka bersifat teratur dan cekap dalam menguruskan diri dan keluarga. Namun, bagi wanita dengan ADHD, jangkaan sosial ini menjadi satu beban kerana mereka sukar untuk memenuhi ekspektasi yang diletakkan oleh masyarakat kepada mereka.
Antara kesan stigma terhadap wanita dewasa dengan ADHD adalah seperti berikut:
Melalui sebuah kajian mengenai ADHD, seorang peserta kajian berkongsi bagaimana menerima diagnosis ADHD secara formal telah mengubah hidupnya;
“Saya berasa agak lega setelah didiagnos, tetapi saya juga merasa putus asa. Kerana inibukan salah saya, walaupun saya berusaha keras untuk menjadi lebih baik; saya tidak mampu untuk berbuat apa-apa mengenainya. Saya kini berasa tidak berdaya,”Kenyataan di atas secara tidak langsung menggambarkan bagaimana ekspektasi masyarakat terhadap wanita boleh menjadi cabaran besar bagi wanita dewasa dengan ADHD. Walaupun mereka telah mendapatkan diagnosis dan rawatan, wanita akan terus sering bergelut dengan perasaan dalaman kerana tekanan untuk memenuhi jangkaan sosial.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai stigma dan ADHD dalam kalangan wanita, kami telah melakukan sebuah perbincangan dalam komuniti ADHD dewasa Minda Inklusif. Hasil perbincangan tersebut menunjukkan bahawa wanita dewasa dengan ADHD di Malaysia masih terikat dengan stigma, di mana mereka, seperti dinyatakan dalam kajian, berada di dalam lingkungan jangkaan sosial yang ditetapkan untuk seorang wanita terutamanya di rumah. Komuniti juga berkongsi bahawa mereka sering menerima teguran tentang perilaku mereka yang tidak dianggap sebagai perilaku wanita, dan mereka juga sukar berkongsi maklumat peribadi kepada orang lain, baik rakan, keluarga, mahupun orang asing. Sedikit sebanyak, perbincangan ini menjelaskan bahawa wanita dewasa dengan ADHD sering dihakimi kerana sifat ADHD mereka yang tidak sama seperti sifat ADHD lelaki dewasa.
Seorang ahli komuniti berkata, “Saya selalu diumpat sebagai seorang yang ‘pemalas’ kerana rumah yang bersepah selepas berkahwin. Namun, saya belajar untuk melakukan kerja rumah bersama suami dan anak-anak, kerana saya sedar sekiranya saya terus menghukum diri, saya akan sentiasa merasa tertekan.”
Secara keseluruhannya, stigma terhadap wanita dewasa dengan ADHD memberi impak yang besar terhadap kehidupan seharian mereka. Tekanan untuk memenuhi jangkaan masyarakat menyebabkan ramai yang terpaksa menyembunyikan simptom dan mengabaikan keperluan diri sendiri. Mereka sering takut dihukum atau dilabel sebagai tidak cukup baik, walaupun telah berusaha sebaik mungkin. Namun, dengan lebih banyak kesedaran dan sokongan, wanita dewasa dengan ADHD boleh belajar untuk menerima diri tanpa rasa malu atau takut. Perbincangan dalam komuniti ADHD Minda Inklusif menunjukkan bahawa sokongan sosial sangat penting untuk membantu mereka mengatasi cabaran ini. Oleh itu, kita perlu terus mewujudkan ruang yang selamat supaya wanita dengan ADHD dapat hidup dengan lebih tenang, bebas menjadi diri sendiri serta mempunyai keberanian untuk mendapatkan rawatan.
Wanita dewasa dengan ADHD, seperti individu lain yang mengalaminya, berhak untuk mendapatkan sokongan yang sewajarnya. Mereka juga memerlukan ruang untuk berkembang sebagai individu dengan ADHD tanpa dibebani rasa takut terhadap stigma dan label yang memadamkan potensi mereka.
Jika anda memerlukan sokongan dan panduan sebagai wanita dengan ADHD, Minda Inklusif sedia untuk membantu anda. Daftarkan temujanji untuk mendapatkan konsultasi bersama terapis kami di Minda Inklusif sekarang.
We believe those with ADHD can thrive, lead, create, and redefine what success looks like — and we are here to walk that journey with you.