Sindrom Pengunduran Kognitif (CDS) dan Kesan Terhadap Pengalaman ADHD

Selama berdekad, naratif standard mengenai ADHD sering tertumpu kepada dua faktor utama: hiperaktif/impulsif dan gangguan tumpuan terhadap rangsangan luaran. Namun, bagi ramai individu ADHD, naratif ini terasa tidak cukup untuk menggambarkan pengalaman sebenar mereka. Ramai yang melaporkan pengalaman yang berbeza, bukan sekadar mudah terganggu oleh dunia luar, tetapi lebih kepada perasaan hanyut dalam “kabus mental”, rasa “kosong” (spacey), atau hidup dalam keadaan berangan yang berterusan.

Dalam dunia klinikal, pengalaman ini sebelum ini dikenali sebagai sluggish cognitive tempo (SCT). Namun, seiring perkembangan pemahaman dalam kajian dan komuniti klinikal, istilah yang kini lebih digunakan ialah Sindrom Pengunduran Kognitif (Cognitive Disengagement Syndrome – CDS), yang dilihat lebih menghormati dan menggambarkan pengalaman ini dengan lebih tepat.

CDS boleh dianggap sebagai kepingan teka-teki yang selama ini hilang bagi individu yang merasakan deskripsi ADHD sedia ada tidak sepenuhnya selari dengan pengalaman hidup mereka. Minggu ini bersama Minda Inklusif, kita akan meneroka CDS, bagaimana ia berbeza daripada ADHD, dan bagaimana ia memberi kesan secara unik kepada kehidupan dewasa ADHD.

Apakah Itu Sindrom Pengunduran Kognitif (CDS)?

CDS merujuk kepada sekumpulan simptom kognitif dan tingkah laku yang dicirikan oleh keadaan “hipo-arousal kognitif“.

Berbeza dengan ADHD jenis kurang tumpuan (ADHD-IN), di mana individu mungkin mudah terganggu oleh bunyi burung di luar tingkap atau notifikasi telefon (gangguan luaran), individu dengan CDS lebih cenderung untuk “terserap” ke dalam dunia dalaman mereka, seperti berangan atau hilang dalam aliran fikiran sendiri.

Simptom Teras CDS

Terdapat beberapa simptom utama CDS yang perlu kita fahami:

  • Berangan Secara Berterusan: Mudah hanyut dalam fikiran sendiri sehingga sukar memberi perhatian kepada tugasan semasa.
  • Kabus Mental (Mental Fogginess): Rasa seolah-olah berada dalam “kabus” yang mengganggu kejelasan pemikiran dan pemprosesan maklumat.
  • Pemprosesan Maklumat Lambat: Respons dan pemikiran kelihatan lebih lambat atau “lembap”. 
  • Kekeliruan: Mudah berasa keliru atau fikiran terasa bercampur-aduk.
  • Tenaga Rendah/Hipoaktiviti: Kurang tenaga, lesu, dan tidak seaktif orang lain.
  • Merenung Kosong: Kelihatan seperti “terputus” seketika atau kehilangan aliran fikiran di tengah perbualan.

Perbezaan CDS dan ADHD

Salah satu persoalan yang kerap timbul ialah sama ada CDS hanyalah nama lain bagi ADHD jenis kurang tumpuan. Berdasarkan kajian semasa, CDS dan ADHD merupakan konstruk yang berasingan tetapi saling berkaitan.

Dianggarkan sekitar 25% hingga 45% individu dengan ADHD juga menunjukkan simptom CDS. Namun, lebih daripada separuh individu yang mempunyai simptom CDS yang signifikan tidak memenuhi kriteria diagnosis ADHD.

Ini menunjukkan bahawa CDS boleh wujud secara tersendiri, tanpa ADHD.

Antara perbezaan utama termasuk:

  1. Kebolehurisan (Heritability): Simptom CDS didapati kurang dipengaruhi faktor genetik berbanding ADHD, menunjukkan peranan faktor persekitaran yang mungkin lebih besar (contohnya kekurangan zat besi atau disfungsi tiroid).
  2. Profil Personaliti: Berdasarkan Teori Sensitiviti Peneguhan (RST), CDS dikaitkan dengan tahap ketakutan dan sifat malu yang lebih tinggi serta dorongan yang lebih rendah. Sebaliknya, ADHD-IN lebih berkait dengan impulsiviti dan kecenderungan mencari keseronokan.

Kelajuan Pemprosesan dan Beban Kognitif bagi Individu ADHD

Dalam tugasan motor yang mudah tanpa beban kognitif, individu dengan CDS biasanya menunjukkan prestasi yang normal. Namun, apabila beban kognitif meningkat—seperti perlu menukar peraturan atau memproses simbol kompleks—prestasi mereka cenderung menurun dengan ketara.

Simptom CDS juga menyumbang secara langsung kepada kesukaran fungsi eksekutif dalam kehidupan harian, melebihi apa yang dijelaskan oleh ADHD sahaja, termasuk:

  • Memulakan (Initiate): Sukar untuk memulakan tugasan atau menjana idea secara spontan
  • Memori Kerja (Working Memory): Sukar mengekalkan dan memanipulasi maklumat dalam minda
  • Merancang/Mengatur (Plan/Organize): Cabaran dalam merancang dan mengurus tugasan kompleks
  • Peralihan (Shift): Sukar beralih daripada satu aktiviti ke aktiviti lain

Bagi dewasa ADHD, kehadiran CDS boleh menjadi beban tambahan yang signifikan dalam fungsi harian.

Kesan CDS dalam Kehidupan Dewasa ADHD

1. Prestasi Akademik dan Pekerjaan

Individu dewasa ADHD dengan CDS sering bergelut dalam persekitaran yang memerlukan keputusan pantas atau usaha berterusan dalam jangka masa panjang.

Antara pengalaman yang biasa dilaporkan:

  • Prestasi Kerja/Kerja Rumah yang Lebih Buruk: Mempunyai kesukaran menyiapkan dan mengurus tugas.
  • Kefasihan Matematik yang Lebih Rendah: Mempunya kesukaran dengan tugas aritmetik bermasa, walaupun individu memahami konsep matematik dengan sangat baik.
  • Pengurangan Motivasi Harian: Individu harus berjuang secara konsisten untuk mengekalkan usaha dan penglibatan aktif dalam tugasan yang berulang atau membosankan.

2. Pengunduran Sosial (Social Withdrawal) dan Kesunyian

CDS juga berkait rapat dengan pengunduran sosial. Apabila pemprosesan maklumat menjadi lebih perlahan, individu mungkin sukar mengikuti perbualan yang pantas.

Ini boleh membawa kepada:

  • Penolakan Pasif: Diabaikan oleh rakan sebaya, bukan ditolak secara langsung.
  • Kekurangan Rasa Kepunyaan (Thwarted Belongingness): Rasa terasing dan kurang sokongan sosial

3. Risiko Penurunan Kesihatan Mental

CDS dikaitkan dengan simptom dalaman seperti kebimbangan dan kemurungan, tanpa mengira sama ada individu mempunyai ADHD atau tidak.

Lebih membimbangkan, kajian terkini menunjukkan kaitan yang signifikan antara CDS dan pemikiran serta tingkah laku mencederakan diri (SITBs). 

Dalam sesetengah kajian, simptom CDS didapati menjadi peramal yang lebih kuat kepada idea dan dorongan membunuh diri berbanding simptom ADHD atau kemurungan. Ini mungkin berpunca daripada gabungan pengasingan sosial dan beban kognitif yang dirasai.

Anda Tidak Keseorangan dalam Menavigasi Hidup dengan CDS

Sindrom Pengunduran Kognitif (CDS) bukan sekadar label klinikal. Ia adalah satu cara pengalaman hidup yang sah, terutamanya bagi individu ADHD yang sering berdepan dengan “kabus mental”, keletihan kognitif, atau perasaan sentiasa “tertinggal selangkah”.

Hakikatnya, pengalaman dalam spektrum ADHD sangat pelbagai. Pendekatan “satu-saiz-untuk-semua” sering kali tidak mencukupi, dan disinilah CDS membantu mengisi jurang pemahaman tersebut.

Dengan mengenal pasti corak neurokognitif dan ciri personaliti yang unik, kita boleh mula membina intervensi yang lebih tepat, daripada strategi pengurusan tenaga, sokongan emosi, hingga penyesuaian persekitaran kerja dan pembelajaran.

Lebih penting, kesedaran ini boleh mengurangkan rasa keseorangan. Apabila pengalaman yang sebelum ini sukar dijelaskan akhirnya mempunyai nama, ia memberi satu bentuk validasi, bahawa apa yang dirasai itu nyata, difahami, dan dikongsi oleh orang lain juga.

Ingin tahu lebih lanjut mengenai ADHD? Nantikan ADHD Summit yang dibawakan oleh Minda Inklusif pada julung kalinya pada bulan May ini. Anda boleh mendaftar sekarang di –  ADHD Summit 2026.

Jika anda memerlukan sokongan dan panduan sebagai individu dengan ADHD, individu autistik ataupun AuDHD, Minda Inklusif sedia untuk membantu anda. Daftarkan temujanji untuk mendapatkan konsultasi bersama terapis kami di Minda Inklusif sekarang.

Rujukan:

  1. Krone, B., Adler, L. A., Anbarasan, D., Leon, T., Gallagher, R., Patel, P., Faraone, S. V., & Newcorn, J. H. (2023). Characteristics of Sluggish Cognitive Tempo among adults with ADHD: objective neurocognitive measures align with self-report of executive function. Frontiers in child and adolescent psychiatry, 2, 1188901. https://doi.org/10.3389/frcha.2023.1188901
  2. Fredrick, J. W., Jacobson, L. A., Peterson, R. K., & Becker, S. P. (2024). Cognitive disengagement syndrome (sluggish cognitive tempo) and medical conditions: a systematic review and call for future research. Child neuropsychology : a journal on normal and abnormal development in childhood and adolescence, 30(5), 783–817. https://doi.org/10.1080/09297049.2023.2256052
  3. Tamm, L., Epstein, J. N., Orban, S. A., Kofler, M. J., Peugh, J. L., & Becker, S. P. (2024). Neurocognition in children with cognitive disengagement syndrome: accurate but slow. Child neuropsychology : a journal on normal and abnormal development in childhood and adolescence, 30(2), 221–240. https://doi.org/10.1080/09297049.2023.2185215
  4. Becker, S. P., Martinez, A. C., Wiggs, K. K., Langberg, J. M., & Smith, Z. R. (2024). Multi-method examination of cognitive disengagement syndrome and ADHD inattentive symptoms in relation to early adolescents’ academic functioning. European child & adolescent psychiatry, 33(7), 2189–2201. https://doi.org/10.1007/s00787-023-02311-8
  5. Ghosh, S., & Sinha, M. (2012). ADHD, ODD, and CD: Do They Belong to a Common Psychopathological Spectrum? A Case Series. Case reports in psychiatry, 2012, 520689. https://doi.org/10.1155/2012/520689
  6. Thornton, K. E., Wiggs, K. K., Epstein, J. N., Tamm, L., & Becker, S. P. (2025). ADHD and cognitive disengagement syndrome symptoms related to self-injurious thoughts and behaviors in early adolescents. European child & adolescent psychiatry, 34(3), 1195–1206. https://doi.org/10.1007/s00787-024-02556-x
  7. Miller, M. C., Jean-Francois, E., Hembree, K. E., Peugh, J. L., Epstein, J. N., Tamm, L., & Becker, S. P. (2026). Cognitive Disengagement Syndrome Symptoms and ADHD Dimensions in Relation To Children’s Daily Life Executive Functioning Deficits. Research on child and adolescent psychopathology, 54(2), 36. https://doi.org/10.1007/s10802-026-01436-z
  8. Fredrick, J. W., & Becker, S. P. (2024). Personality Traits in Relation to Cognitive Disengagement Syndrome and ADHD Inattention in Two Samples of Children. Journal of clinical child and adolescent psychology : the official journal for the Society of Clinical Child and Adolescent Psychology, American Psychological Association, Division 53, 53(3), 460–472. https://doi.org/10.1080/15374416.2024.2316707
  9. Becker, S. P., Dunn, N. C., Fredrick, J. W., McBurnett, K., Tamm, L., & Burns, G. L. (2024). Cognitive Disengagement Syndrome-Clinical Interview (CDS-CI): Psychometric support for caregiver and youth versions. Psychological assessment, 36(10), 618–630. https://doi.org/10.1037/pas0001330

Langgan Newsletter

Baca blog lain:

Client #1
Client #1@ADHDAssesment
It's very meaningful to me to finally get the proper diagnosis after struggling throughout my life. I feel validated during the session. The diagnosis, strategies and sharing did help me in navigating my life further. Thank you 🙂
Client #2
Client #2@MentalHealthConsultation
Adila makes me think that what i currently doing (by putting boundaries) is the right choice. i'm glad to hear that she said it's good i did that. since i thought what i did was wrong and constantly feeling guilty. now i feel kinda relieve. i kinda see a lil bit of light at the end of my tunnel. thanks adila.
Client #3
Client #3@MentalHealthScreening
The session went really good. Coming from a psychology major, I already am familiar with the terms and things that were being discussed, but the therapist explained in a very simple manner that's easy to understand that I feel like clients would be able to know themselves better through the session.