Gaya Keterikatan daripada Perspektif ADHD Dewasa

Anda mungkin sudah biasa dengan pengalaman ini sekiranya anda adalah seorang dewasa dengan ADHD,

‘Anda menginginkan hubungan yang rapat dengan orang lain, tetapi hubungan terasa sangat mencabar. Anda mengambil berat dengan lebih mendalam, namun ada masa anda menjauhkan diri, dan ada masa pula anda menjadi terlalu clingy. Emosi anda terasa kuat dan sensitif, dan sering kali sensitiviti itu tidak seiring dengan pasangan atau orang lain dalam hubungan yang sama.’

Ramai dewasa dengan ADHD mengalami cabaran dalam perhubungan yang tidak semata-mata berpunca daripada simptom utama ADHD seperti kesukaran fokus, impulsiviti, atau pelupa. Sebahagian besar cabaran ini berkait rapat dengan gaya keterikatan (attachment style). 

Gaya keterikatan merujuk kepada cara seseorang membina dan mengekalkan hubungan, yang lazimnya terbentuk awal dalam kehidupan. Corak ini kemudian mempengaruhi bagaimana individu mengawal emosi, memberi makna kepada keintiman dan bertindak balas terhadap tekanan dalam hubungan.

Apabila ciri ADHD bertemu dengan dinamik gaya keterikatan, hubungan antara manusia boleh menjadi tidak stabil, mengelirukan dan kadangkala menguris emosi. Ini bukan kerana anda “terlalu sensitif”, tetapi kerana sistem saraf otak ADHD sering perlu mengurus terlalu banyak rangsangan dan emosi berintensiti tinggi dalam satu masa. 

Minggu ini bersama Minda Inklusif, mari kita memahami gaya keterikatan dan bagaimana ia mempengaruhi kehidupan anda sebagai seorang dewasa dengan ADHD.

Memahami Gaya Keterikatan

Gaya keterikatan wujud berdasarkan teori keterikatan yang diasaskan oleh seorang psikiatri bernama John Bowlby.

Dr. Bowlby menyatakan bahawa manusia secara biologi telah diprogramkan untuk mencari keterikatan dan kedekatan demi keselamatan serta pengawalan emosi.

Menurut teori keterikatan pada peringkat awal kanak-kanak, penjaga (carer/caregiver/parents) mengajar sistem saraf kanak-kanak mengenai tiga perkara asas:

  1. Adakah aku selamat apabila aku tertekan?
  2. Bolehkah orang lain dipercayai?
  3. Adakah aku layak untuk disayangi dan dijaga?

Jawapan kepada soalan-soalan ini akan terintegrasi sebagai ‘model kerja dalaman’ iaitu asas mental yang membimbing cara individu berhubungan dengan orang lain sepanjang hayat, terutamanya dalam situasi yang mempunyai intensiti emosi yang tinggi.

Apabila anda menginjak dewasa, ‘model kerja dalaman’ ini tidak hilang. Model ini telah level-up dimana ia muncul dalam hubungan romantik, persahabatan, tempat kerja, dan juga dalam bilik terapi sekiranya anda menerima rawatan psikologi.

Gaya Keterikatan #1:  Selamat dan Standard Emas

Gaya keterikatan selamat dapat dilihat apabila individu berasa selesa dengan keintiman serta mampu mengekalkan autonomi. Individu dengan keterikatan selamat lebih cenderung untuk mempercayai orang lain, boleh mengawal emosi dengan relatif baik, dan tidak mudah panik apabila konflik berlaku.

Realiti ADHD:
Kajian mencadangkan bahawa dewasa dengan ADHD mempunyai kebarangkalian yang lebih rendah untuk mempunyai keterikatan selamat berbanding populasi umum. Dianggarkan sekitar 59% individu tanpa ADHD mempunyai keterikatan selamat, manakala dalam kalangan dewasa ADHD, angkanya hanya sekitar 15–20%.

Keadaan ini berkemungkinan berlaku kerana ciri ADHD boleh mengganggu keselarasan emosi, konsistensi responds dan regulasi emosi, terutamanya semasa fasa pembentukan fungsi eksekutif dan keterikatan. Namun, apabila keterikatan selamat wujud, ia berfungsi sebagai faktor pelindung kepada dewasa ADHD, termasuk:

  1. Pengawalan emosi yang lebih baik
  2. Fungsi eksekutif yang lebih kukuh
  3. Keupayaan membaiki hubungan selepas konflik

Gaya Keterikatan #2: Tidak Selamat Jenis Mengelak (Dismissive)

Gaya keterikatan tidak selamat jenis mengelak dapat dilihat apabila individu cenderung merendahkan keperluan emosi diri sendiri, terlalu menekankan kebebasan, dan berasa tidak selesa dengan kerentanan. Individu sering merasakan keintiman sebagai ancaman kepada autonomi diri.

Realiti ADHD:
ADHD sendiri sudah membawa cabaran dalam pengawalan emosi dan konsistensi tingkah laku. Apabila ADHD digabungkan dengan keterikatan jenis mengelak, individu kemungkinan:

  1. Menarik diri daripada hubungan apabila tertekan dan tidak meminta sokongan
  2. Memendam tekanan emosi sehingga akhirnya meletup
  3. Kelihatan “tidak tersedia secara emosi” walaupun sebenarnya sangat mengambil berat dalam perhubungan

Menariknya, kajian ADHD mendapati  bahawa dewasa ADHD dengan keterikatan jenis mengelak kadangkala kelihatan lebih ‘stabil’ secara psikologi di atas kertas kerana tekanan emosi tidak diproses secara terbuka sebaliknya dipendam.

Gaya Keterikatan #3: Tidak Selamat Jenis Cemas (Preoccupied)

Gaya keterikatan tidak selamat jenis cemas dipacu oleh ketakutan ditinggalkan, hiper-kepekaan terhadap isyarat hubungan, dan kebergantungan emosi yang tinggi terhadap orang lain untuk mendapatkan validasi.

Realiti ADHD:

Kajian ADHD menunjukkan bahawa dewasa ADHD dengan gaya keterikatan tidak selamat jenis cemas melaporkan tahap tekanan psikologi yang tinggi termasuk kebimbangan, kemurungan, dan ruminasi obsesif. ADHD mewujudkan kerentanan asas dalam kawalan fungsi eksekutif, manakala keterikatan tidak selamat jenis cemas mengekalkan sistem ancaman dalam keadaan sentiasa aktif.

Kecenderungan ini boleh dikaitkan dengan:

  1. Intensiti emosi yang tinggi
  2. Sensitiviti terhadap penolakan
  3. Kesukaran mengawal impuls dan ruminasi

Dalam kehidupan seharian, keterikatan cemas dalam dewasa ADHD sering dapat dilihat melalui:

  1. Pentafsiran mesej dan nada secara berlebihan
  2. Tekanan emosi yang ketara selepas konflik kecil
  3. Keperluan yang kuat untuk jaminan dan kepastian

Gaya Keterikatan #4: Tidak Teratur (Disorganized)

Gaya keterikatan tidak teratur dicirikan oleh tingkah laku yang bercanggah. Individu mungkin takut kepada keterikatan dan sering menolak orang lain, namun pada masa yang sama masih menginginkan hubungan yang rapat.

Realiti ADHD:

Gaya keterikatan tidak teratur muncul pada kadar yang membimbangkan dalam populasi ADHD, terutamanya dalam kalangan individu dengan sejarah kesukaran awal, penjagaan yang tidak konsisten, atau mempunyai tekanan hubungan kronik.

Kajian ADHD menunjukkan hubungan antara keterikatan tidak teratur dengan simptom ADHD walaupun deficit fungsi eksekutif dan tingkah laku luaran telah dikawal. Hal ini berkemungkinan berlaku kerana:

  1. Keterikatan tidak teratur dikaitkan dengan pengawalan emosi yang lemah
  2. Reaktiviti tekanan yang tinggi dalam individu dengan ADHD
  3. Kesukaran menetapkan sempadan dan membentuk konsep kendiri 

Apabila keterikatan tidak teratur dan simptom ADHD bergerak seiring, ia sering menyukarkan individu dengan ADHD untuk menjalankan fungsi kehidupan seharian.

Profil Risiko Gaya Keterikatan

Tidak semua dewasa dengan ADHD terkesan secara sama rata terhadap risiko gaya keterikan. Analisis kajian berasaskan keterikatan mengenal pasti profil berisiko tinggi, sederhana, dan lebih rendah, yang dibezakan bukan semata-mata oleh kehadiran trauma, tetapi oleh keupayaan individu untuk mengenali, memikirkan (mentalize), dan mengintegrasikan pengalaman emosi serta hubungan

Dewasa ADHD yang berisiko tinggi sering hidup dalam keadaan terlalu aktif (hyperarousal), memberi perhatian kepada terlalu banyak rangsangan dan sukar untuk mengenal pasti ancaman sebenar terhadap diri sendiri. Integrasi emosi dan fungsi eksekutif sentiasa dicuba, namun kejayaannya rendah dan tidak konsisten.

Dewasa ADHD yang berisiko sederhana menunjukkan organisasi luaran yang lebih baik, tetapi masih menafikan ancaman emosi dalaman. Tekanan yang tidak disedari dan tidak diproses boleh muncul secara tiba-tiba sebagai ledakan emosi.

Dewasa ADHD yang berisiko lebih rendah pula menunjukkan penyusunan semula separa. Individu boleh menamakan bahaya, mengenali corak hubungan dan menunjukkan sedikit efikasi kendiri, namun trauma dan tekanan emosi mungkin belum sepenuhnya terintegrasi. Ketakutan terhadap pengulangan pengalaman menyakitkan masih kerap menghantui.

Merentasi semua profil risiko ini, satu kesimpulan yang paling konsisten muncul dalam naratif dewasa ADHD ialah kecenderungan untuk menyalahkan diri sendiri. 

Ramai menggambarkan diri mereka sebagai kanak-kanak yang ‘sukar,’ ‘menyusahkan’ atau ‘degil’ dan secara retrospektif menganggap hukuman keras atau penarikan emosi sebagai sesuatu yang wajar. Walaupun selepas menerima diagnosis ADHD, atribusi ini sering menjadi lebih kukuh, dan bukannya membuka ruang kepada belas kasihan terhadap diri sendiri. Seperti kata salah seorang peserta kajian ADHD:

“Memang ada sesuatu yang tak kena dengan aku dari awal.”

Apabila ADHD dinaratifkan sebagai kecacatan tetap dan tidak berubah, ia boleh mengukuhkan pemikiran deterministik yang keras, ketidakberdayaan yang dipelajari, serta gaya atribusi kemurungan. Kegagalan sosial akan terkumpul dan agensi kendiri semakin terhakis.

Secara klinikal, corak ini menyerupai penanda kemurungan; menyalahkan diri, ketiadaan kesimpulan yang melindungi diri, dan kesukaran mengintegrasikan pelbagai perspektif ke dalam naratif kendiri yang lebih koheren.

Apa Yang Boleh Kita Fahami?

Ketidakselamatan gaya keterikatan, pendedahan trauma, disfungsi eksekutif, dan simptom ADHD sering berkembang bersama dan saling membentuk sepanjang perkembangan individu.

Pemulihan bagi dewasa dengan ADHD bukan tentang menghapuskan simptom ADHD, tetapi memberi ruang kepada individu untuk mengenali diri, memahami gaya keterikatan dan membina semula agensi kendiri dalam kehidupan seharian.

Jika anda memerlukan sokongan dan panduan sebagai individu dengan ADHD ataupun AuDHD, Minda Inklusif sedia untuk membantu anda. Daftarkan temujanji untuk mendapatkan konsultasi bersama terapis kami di Minda Inklusif sekarang.

Rujukan:

  1. Konowałek, Ł., & Wolańczyk, T. (2020). Attachment and Executive Functions in ADHD Symptomatology-Independent Inputs or an Interaction?. Brain sciences, 10(11), 765. https://doi.org/10.3390/brainsci10110765
  2. Koemans, R. G., van Vroenhoven, S., Karreman, A., & Bekker, M. H. J. (2012). Attachment and Autonomy Problems in Adults With ADHD. Journal of Attention Disorders, 19(5), 435-446. https://doi.org/10.1177/1087054712453170 (Original work published 2015)

  3. Sweeney, Jack A., “The Association Between Adult ADHD Symptoms and Insecure Attachment Representations” (2024). Senior Independent Study Theses. Paper 11242.
    https://openworks.wooster.edu/independentstudy/11242

  4. Ting, Leia, “The Relationship between Attachment and Executive Functioning in Adult ADHD” (2020). ETD Collection for Fordham University. AAI27738321. https://research.library.fordham.edu/dissertations/AAI27738321

  5.  Abdel-Hamid, M., Heinrich, V., Sperber, S., Wiltfang, J., Kis, B., & Uekermann, J. (2011). Attachment in adult patients with attention-deficit hyperactivity disorder (ADHD). European Psychiatry, 26(S2), 1310–1310. doi:10.1016/S0924-9338(11)73015-2
  6. Understanding ADHD Through the Attachment Lens | Evergreen Psychotherapy Center
  7. Unravelling The Relationship Between ADHD and Attachment | The ADHD Centre UK
  8. What Is ADHD? How Does It Relate to Attachment? | Attachment Project

Langgan Newsletter

Baca blog lain:

Client #1
Client #1@ADHDAssesment
It's very meaningful to me to finally get the proper diagnosis after struggling throughout my life. I feel validated during the session. The diagnosis, strategies and sharing did help me in navigating my life further. Thank you 🙂
Client #2
Client #2@MentalHealthConsultation
Adila makes me think that what i currently doing (by putting boundaries) is the right choice. i'm glad to hear that she said it's good i did that. since i thought what i did was wrong and constantly feeling guilty. now i feel kinda relieve. i kinda see a lil bit of light at the end of my tunnel. thanks adila.
Client #3
Client #3@MentalHealthScreening
The session went really good. Coming from a psychology major, I already am familiar with the terms and things that were being discussed, but the therapist explained in a very simple manner that's easy to understand that I feel like clients would be able to know themselves better through the session.