Menurut satu kajian meta-analisis mengenai BED dan ADHD, 19.8% individu dengan ADHD mengalami gangguan makan berlebihan, manakala 34.9% lagi mengalami bulimia.
Kajian BED Tweet
Pada entri blog kali ini, Minda Inklusif akan membincangkan satu perkara yang nampak seperti tidak berkaitan, sama seperti entri mengenai perfectionism tempoh hari. Entri blog kali ini, kami akan membincangkan ADHD dan binge eating; ADHD berkait dengan masalah fokus atau ketiadaan fokus, manakala binge eating pula adalah tentang makan secara berlebihan dalam satu sesi makan. Dua topik yang kelihatan berbeza, namun tahukah anda mereka sebenarnya ibarat sahabat baik? Saling berkait. ADHD akan masuk dapur untuk mencari dopamin, dan binge eating sudah sedia menunggu sambil memegang sekotak pizza, semangkuk pasta dan air berkarbonat serta berbisik, “Makan je semuanya. Kau layak!”
Melalui satu kajian mengenai ADHD, para penyelidik mendapati bahawa individu dewasa dengan ADHD lebih cenderung untuk mempunyai masalah berat badan berbanding mereka tanpa ADHD. Sebanyak 29.4% individu dewasa dengan ADHD cenderung mengalami obesiti, manakala 33.9% lagi berisiko mengalami masalah berat badan berlebihan.
Apa yang dimaksudkan dengan statistik di atas? Ini bermakna, otak ADHD bukan sahaja sibuk memikirkan dan melakukan seribu perkara dalam satu masa, tetapi juga cenderung mengidam pelbagai jenis makanan secara impulsif. Yang lebih menarik, binge eating disorder (BED) adalah antara faktor yang menghubungkan perbuatan makan impulsif dengan pemikiran tersebut.
BED seperti sebuah “pembesar suara” kepada individu dewasa dengan ADHD: “Hei, jom lah makan semuanya hari ini!” Orang ramai sering menganggap binge eating disebabkan oleh kemurungan, tetapi ramai yang tidak tahu bahawa impulsiviti dan masalah kawalan eksekutif otak lebih memainkan peranan utama.
Cuba bayangkan otak ADHD anda adalah sebagai sebuah TV yang sedang dikawal oleh kanak-kanak hiperaktif. Saluran TV pastinya akan bertukar-tukar dengan pantas – “Eh, kerepeklah!”, “Dah bayar ke belum makanan dekat Grab tadi?.” Si impulsiviti ini adalah seorang kanak-kanak yang akan menekan butang “MAKAN SEKARANG” tanpa berfikir panjang dan pastinya tidak akan memikirkan akibat daripada perbuatan tersebut.
Pada masa yang sama, otak ADHD anda juga mempunyai satu lagi watak, iaitu inattention (ketidakhadiran fokus), yang sering menyebabkan anda terlupa hal-hal berkaitan makanan. Tanpa sedar, anda boleh terlupa untuk makan tengah hari, dan tiba-tiba sahaja menyelongkar peti sejuk seperti kucing yang kelaparan.
Kajian mengenai ADHD menunjukkan bahawa kombinasi antara impulsiviti dan inattention (ketidakhadiran fokus) boleh meningkatkan risiko gangguan makan bagi individu dewasa dengan ADHD. Sebagai contoh, wanita dewasa dengan ADHD lebih cenderung untuk mengalami *bulimia nervosa berbanding populasi umum.
Binge eating dalam konteks ADHD bukan hanya berkisar tentang kelaparan. Ia lebih kepada bagaimana otak ADHD meronta dan menjerit untuk mendapatkan dopamine, sambil tangan anda secara automatiknya mencapai balang biskut. Ini kerana, biskut menjadi bentuk kebahagiaan segera dalam konteks binge eating yang terjadi bersama dengan ADHD.
*Bulimia nervosa adalah salah satu bentuk gangguan makan yang sering dikaitkan dengan binge eating disorder (BED).
Jika anda seorang individu dengan ADHD yang bergelut dengan tabiat makan, perlu diingat binge eating bukanlah satu-satunya masalah yang mungkin atau sedang anda hadapi. Otak ADHD mempengaruhi corak makan, dan dalam konteks binge eating, ada beberapa aspek lain yang kurang dibincangkan oleh komuniti, namun masih memberikan impak yang besar kepada tabiat makan individu dengan ADHD.
Bagi sesetengah individu dengan ADHD, makan pada waktu yang tetap dan mengikut jadual yang teratur boleh menjadi satu tugas yang mencabar. Daripada mengambil masa untuk makan tiga kali sehari dengan hidangan seimbang, individu dengan ADHD mungkin lebih cenderung untuk mengunyah makanan sepanjang hari. Tanpa disedari, perut mereka mungkin sudah merasa kenyang, tetapi sebenarnya mereka belum makan hidangan utama.
Adakah anda pernah terlupa untuk makan sehingga badan terasa sangat lapar dan lemah? Pada ketika itu, otak ADHD anda akan berasa panik dan mencari tenaga dengan segera – yang biasanya datang dalam bentuk makanan bergula atau berkarbohidrat tinggi. Seolah-olah anda sedang “hangry” (lapar dan marah), dan tanpa berfikir panjang, anda mungkin melahap semua yogurt dan ais krim yang ada dalam peti sejuk.
Adakah anda pernah makan makanan yang sama berulang kali selama berminggu-minggu sehingga ia boleh dianggap sebagai ‘safe food’ anda? Otak ADHD yang cenderung pada rutin, kesederhanaan, dan usaha minimum sering kali memilih makanan yang selesa dan mudah diakses. Namun, masalahnya adalah, pilihan makanan ‘safe food’ yang kurang seimbang boleh menyebabkan kekurangan zat dan nutrisi. Namun, di sisi lain, otak ADHD yang impulsif boleh juga membuatkan anda tiba-tiba merasa muak dan enggan menyentuh ‘safe food’ anda itu lagi, seolah-olah ia telah hilang tarikannya buat selamanya.
Menurut satu kajian meta-analisis mengenai BED dan ADHD, 19.8% individu dengan ADHD mengalami gangguan makan berlebihan, manakala 34.9% lagi mengalami bulimia. Secara ringkasnya, ADHD dan gangguan makan ini bagaikan berada di dalam sebuah parti (atau rumah hantu) yang sama, dan tiada siapa yang tahu di mana pintu keluar.
Mari kita bincangkan tentang fungsi eksekutif – yang boleh diibaratkan sebagai CEO kepada otak manusia. Dalam otak ADHD, CEO ini sedang berehat sambil minum kopi dan terlupa untuk masuk kerja semula. Inilah yang menyebabkan individu dengan ADHD mengalami masalah disfungsi eksekutif, di mana mereka sukar untuk mengatur dan menyelesaikan tugas harian, termasuklah makan secara teratur pada waktu yang tepat.
Akibatnya, individu dengan ADHD sering kali terpaksa berdiet kerana:
Meal prep? Ala, nantilah! Memasak melibatkan banyak langkah dan persiapan – ia mungkin kelihatan terlalu rumit untuk dimulakan bagi individu dengan ADHD. Jadi, keputusan yang paling mudah ialah memilih makanan yang cepat seperti sereal atau roti kosong. Paling senang, individu tidak akan makan langsung.
Perut anda berbunyi kuat, menandakan bahawa anda belum makan lagi. Kadangkala, individu dengan ADHD mungkin terlupa untuk makan sama sekali. Ini bukanlah kerana mereka sengaja menyekat pengambilan makanan, tetapi kerana otak ADHD mereka terlalu sibuk dengan seribu satu perkara yang perlu diselesaikan sepanjang hari.
Apabila individu dengan ADHD menyedari mereka perlu makan, dan bahawa untuk makan atau memasak memerlukan usaha dan tenaga, mereka sering kali melihatnya sebagai sebuah beban. Apabila kita merasa terbeban, kita cenderung untuk menunda aktiviti tersebut. Dan apabila ia terus ditunda, akhirnya kita mungkin tidak makan langsung.
Kitaran masalah disfungsi eksekutif ini akan berterusan, menyebabkan individu dengan ADHD kembali kepada masalah binge eating. Kenapa? Kerana manusia memerlukan makanan untuk terus hidup.
ADHD dan masalah makan berlebihan (atau berkurangan) boleh diibaratkan seperti wayar earphone yang berserabut. Impulsiviti, mudah lupa, dan keinginan untuk mendapatkan dopamin menjadikan aktiviti makan sesuatu yang huru-hara. Penting untuk diingat: otak ADHD anda bukanlah rosak. Anda juga tidak perlu menghukum diri anda jika mengalami masalah makan berlebihan. Gangguan makan berlebihan (BED) hanya boleh didiagnosis oleh doktor atau pakar psikiatri yang berkelayakan.
Teruskan hidup anda walau penuh kekacauan dan dalam kehuru-haraan, namun, ingatlah untuk makan dengan bersederhana – dan yang paling penting, jangan lupa untuk makan!
Sekiranya anda menghadapi kesukaran untuk menguruskan pemakanan dengan teratur, anda boleh membuat temu janji dengan terapis Minda Inklusif. Atau sekiranya anda hanya memerlukan rakan untuk berbual, kami juga sangat mengalu-alukan kehadiran anda!
Kami percaya mereka yang mempunyai ADHD boleh berkembang maju, memimpin, mencipta dan mentakrifkan semula kejayaan — dan kami berada di sini untuk menempuh perjalanan itu bersama anda.
One Response