Jika anda pernah memulakan sebuah projek, kemudian terganggu oleh 10 perkara lain, dan akhirnya teringat semula projek asal tersebut tiga hari kemudian, tahniah! Anda sedang menggunakan salah satu kuasa tersembunyi ADHD: kebolehan untuk mengimbang pelbagai fikiran sekaligus. Walaupun otak anda rancak memikirkan macam-macam, tetap entah bagaimana berjaya mencapai apa yang anda kehendaki—ataupun akhirnya mengumpul timbunan tugas yang tidak selesai. Siap atau tidak, otak anda yang ligat itu adalah kuasa ADHD!
ADHD (Gangguan Tumpuan Terjejas dan Hiperaktif) sering mendapat reputasi buruk. Dari gelaran “tidak teratur” sehinggalah “berfikiran kacau”, mudah bagi sesiapa sahaja untuk menyangka ADHD adalah ketiadaan upaya untuk fokus sepenuhnya. Tetapi bagaimana jika kami beritahu anda bahawa ADHD bukan sekadar tentang perhatian mudah teralih?
ADHD sememangnya datang dengan pelbagai cabaran, akan tetapi ia juga membawa satu set keupayaan unik yang tidak selalu diakui oleh dunia. Mari kita perhalusi mengapa hidup dengan ADHD bukanlah sebuah sumpahan, sebaliknya ia lebih kepada sebuah pengembaraan yang sentiasa menyeronokkan dan kreatif – walaupun kadang kala kacau bilau.
Fenomena hiperfokus: Visi terowong yang tidak dijangka
Salah satu ciri ADHD yang paling menarik dan sering disalahfahami adalah sesuatu yang digelar hiperfokus. Hiperfokus ibarat “Superman yang memakai sutnya.” Dari tumpuan yang berterabur serata tempat, anda mempunyai kelebihan untuk memberi tumpuan penuh secara langsung dengan ketepatan seperti laser. Apabila hiperfokus berlaku, sebagai contoh, anda boleh menyelesaikan sebuah projek yang sepatutnya mengambil lebih masa, dalam masa sejam sahaja, atau menghabiskan sebuah buku dalam sehari.
Sebagai contoh, minggu lepas saya luangkan 3 jam membuat kajian tentang asal usul pengokot kerana keinginan untuk tahu datang menerpa. Adakah ia sebuah fikiran berfalsafah tentang kehendak manusia untuk merangkum pelbagai benda, atau ia sekadar otak saya tiba-tiba ingin mengorek maklumat tentang benda yang rawak? Falsafah ke tidak, kebiasaannya ia angkara otak yang ingin tahu secara tiba-tiba. Adalah maklumat yang dicari merupakan maklumat praktikal untuk orang tahu? Kadangkala ya, kadangkala tidak. Akan tetapi hakikat bahawa saya berkemampuan untuk mengekalkan fokus bagi tempoh yang lama untuk satu perkara tanpa terganggu oleh telefon pintar atau internet adalah ciri hiperfokus yang optimum.
Apabila hiperfokus datang, masa seolah-olah tidak bermakna. Apabila melihat jam, anda akan tersedar bahawa anda telah meluangkan masa yang lama untuk sesebuah perkara yang telah menarik perhatian anda. Jadi, sekalipun anda telah terlupa membayar bil atau menghantar emel kepada rakan sekerja, anda berkemungkinan telah menyelesaikan sebuah kajian atau projek dalam sekali duduk.
Sumpahan dan anugerah sifat impulsif: Lebih baik spontan daripada tak buat langsung
ADHD sering digambarkan sebagai kekurangan upaya untuk mengawal tindakan atau impuls; ia memang benar dari satu sudut. Tetapi mari kita fikirkan begini: daripada melabel sifat ini sebagai “impulsif,” mari kita tukar perspektif dan lihatnya sebagai “spontan dan terbuka kepada idea baru!”
Begini, sifat impulsif tidak selalunya menghasilkan keputusan yang buruk. Memang, membeli pembuat roti secara tiba-tiba ketika anda belum pernah menguli tepung seumur hidup boleh menjadi keputusan yang mungkin anda akan sesali, tetapi sifat yang sama itulah yang membuatkan anda terbuka untuk mencuba perkara baru. Mahu mencuba aktiviti memanjat tebing. Jom! Mengembara seluruh kepulauan Borneo? Boleh! Ambil lesen menyelam? Nak!
Kadang kala sifat impulsif boleh membawa kepada perkara atau kenangan yang tak disangka, yang boleh menjadikan hidup kita lebih menarik. Mungkin anda tidak merancang untuk membela beberapa ekor ayam, tanpa sedar sekarang anda ada bekalan telur berterusan dari halaman rumah anda. Adakah anda perlu membela ayam semata untuk mendapatkan telur? Mungkin tidak. Tetapi anda telah mencipta satu hobi baru dan ia tidak ternilai. Meskipun sifat impulsif atau terburu-buru boleh membawa kepada beberapa pembelian yang dikesali, ia juga boleh membawa kepada sesuatu yang spontan dan seronok. Semua orang perlukan sedikit keseronokan dalam hidup kan?
Pengurusan masa: Enigma ADHD
Kebiasaannya ADHD dan pengurusan masa seperti minyak dan air. Contohnya, anda tetapkan pemasa untuk melakukan satu tugasan tetapi terus terlupa mengenainya. Anda mungkin mula dengan satu perkara, kemudian beralih ke perkara lain, dan seterusnya, hingga tiba-tiba anda sudah tenggelam dalam projek yang langsung tidak berkaitan. Ini dikenali sebagai “lubang hitam masa.” Di sinilah berjam-jam masa dalam hidup anda hilang dalam kacau bilau untuk mencapai produktiviti—dan kemudian anda tertanya-tanya, “Kejap, apa yang saya sedang buat tadi?”
Tidak aneh bagi seseorang yang mempunyai ADHD untuk sampai ke penghujung hari dan tertanya-tanya bagaimana sudah pukul 5 petang. Bukankah tadi baru pukul 10 pagi? Dan bagaimana anda boleh terlupa untuk makan tengah hari sepanjang hari? Apa yang sebenarnya anda capai hari ini? Adakah ia penting? Entahlah. Mungkin penting kot.
Walaupun pengurusan masa ADHD kelihatan menyerabutkan, individu ADHD cenderung menjadi sangat kreatif dan bijak mencari penyelesaian. Trick yang sebenar adalah untuk menerima huru-hara di dalam contoh di atas dan cuba bekerjasama dengannya. Mungkin anda tidak menyelesaikan sesuatu kerja mengikut jadual yang tepat, tetapi anda mungkin telah dapat idea baru untuk projek lain. Mungkin anda tidak mengikuti cara biasa untuk menyiapkan tugasan, tetapi anda menemui cara yang lebih cepat atau lebih cekap untuk menyelesaikannya. Masa tidak selalu memihak kepada anda, tetapi kreativiti dan kebolehsuaian adalah kelebihan dari sudut lain.
Pelbagai kerja dalam satu masa: Kemahiran luar biasa ADHD
Walaupun ramai orang bergelut untuk fokus pada satu tugasan pada satu masa, otak ADHD cemerlang dalam melakukan banyak perkara serentak—walaupun dengan cara mereka tersendiri yang unik. Seorang individu ADHD yang biasa melakukan berbilang tugas serentak mungkin sedang membalas emel sambil memasak, menonton video YouTube, dan mencari stokin yang hilang, semuanya pada masa yang sama.
Dan tidak, mereka tidak semestinya menyelesaikan semuanya. Sebenarnya, boleh jadi tiada satu pun yang mungkin selesai menurut rancangan asal. Tetapi mereka tetap bergerak dalam sebuah rentak dan tumpuan yang kerap teralih ke serata tempat.
Keindahan ADHD mengimbang berbilang tugas terletak pada kemampuan untuk beralih dari satu tugasan ke tugasan lain tanpa merasa bosan atau terganggu. Ia seperti otak anda sentiasa mencuba perkara baru, mengumpul idea dan tenaga dari pelbagai aspek kehidupan. Satu minit anda sedang menyelidik hobi baru; minit berikutnya, anda terjun ke dalam projek kerja anda, kemudian anda berfikir tentang idea untuk sebuah buku. Adakah ia tidak teratur? Ya. Tetapi ia juga merupakan pertunjukan luar biasa berkenaan keupayaan dan tenaga kreatif yang serba boleh.
Keistimewaan ADHD: Berfikir di luar lotak (Betul-betul literal)
Jika anda mempunyai ADHD, anda mungkin tahu bahawa anda tidak terikat dengan peraturan produktiviti yang biasa. Kaedah konvensional tidak berfungsi dengan baik untuk anda, dan anda sering perlu mencari rentak anda sendiri. Tetapi apabila anda memeluk erat hakikat ini, anda akan sedar bahawa ia sebenarnya adalah kelebihan besar. Anda adalah orang yang boleh menemui penyelesaian kreatif apabila orang lain tidak mampu atau orang yang menyelesaikan masalah dari sudut yang tidak dijangka.
Pemikiran yang tidak konvensional ini adalah kelebihan ADHD—sementara orang lain terperangkap dengan rutin dan struktur, otak ADHD bebas untuk meneroka, bereksperimen, dan mencari jalan baru menuju kejayaan. Anda mungkin tidak selalu menyelesaikan segala yang anda mulakan, tetapi perkara yang anda selesaikan boleh jadi lebih kreatif, inovatif, dan menarik berbanding yang lain.
Menerima huru-hara
ADHD bukanlah satu kecacatan; ia adalah cara hidup yang membawa kegembiraan, kreativiti, dan ketidaktentuan dalam kehidupan seharian. Terimalah! Memang, otak anda mungkin melompat dari satu perkara ke perkara lain, dan memang, anda mungkin terlupa di mana cermin mata anda atau kehilangan kunci untuk kali ketiga hari ini—tetapi dunia memerlukan kreativiti, sifat spontan, dan kebolehan anda untuk berfikir di luar kotak. Lagipun, sementara orang lain terperangkap dalam dunia yang penuh peraturan, anda sedang hidup dalam dunia yang penuh dengan kemungkinan tanpa had.
Jadi, apabila seseorang memberitahu anda bahawa anda tidak teratur atau mudah terganggu, senyum sahaja dan kata, “Saya sedang imbang pelbagai tugas dalam 10 dimensi yang berbeza.” Kerana apabila ia berkaitan dengan ADHD, huru-hara hanyalah perkataan lain untuk pengembaraan.
We believe those with ADHD can thrive, lead, create, and redefine what success looks like — and we are here to walk that journey with you.