Bagi individu dengan ADHD yang mempunyai migrain, realiti kehidupan mereka adalah bagai mengimbangi obor api yang menyala dengan mata tertutup dengan pelbagai bunyi bergema di sekeliling. Ini adalah sebuah realiti bukan sekadar metafora bagi mereka. Seperti aneh bukan, bagaimana migrain atau sakit kepala ini mempunyai kaitan dengan ADHD? Anda juga mungkin sering tertanya mengapa ubat ADHD anda sering menyebabkan anda sakit kepala dan kenapa masalah migrain anda menyukarkan anda untuk kekal fokus? Dan kenapa, kadangkala, ini sering berlaku secara serentak?
Mari ikuti entri minggu ini bersama Minda Inklusif untuk memahami kaitan antara migrain dan ADHD, serta bagaimana ia mungkin boleh menjadi kunci untuk menguruskan ADHD dengan lebih baik.
Mari kita kenali apa itu migrain – migrain adalah sebuah gangguan neurologi yang boleh menyebabkan sakit yang berdenyut dengan teruk dan mual. Individu yang mengalami migrain juga akan mempunyai sensitiviti yang tinggi terhadap cahaya, bunyi dan gangguan visual. Migrain bukanlah sekadar “sakit kepala yang biasa”. Serangan migrain boleh berlanjutan selama berjam-jam dan akan menjadikan aktiviti harian individu sebagai sesuatu yang sukar dan mustahil untuk dilakukan.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), migrain adalah penyakit keenam yang paling merisaukan di dunia – dimana wanita mempunyai dua kali ganda risiko berbanding lelaki untuk mengalami masalah migrain. Kebiasaannya, migrain akan bermula ketika individu berusia remaja dan bakal memuncak pada usia 40-an. Namun, simptom ini berbeza mengikut individu.
Kajian mengenai ADHD menunjukkan individu dengan ADHD (kanak-kanak & orang dewasa) mempunyai kebarangkalian risiko yang lebih tinggi untuk mengalami migrain berbanding populasi umum. Ini diperkukuhkan dengan hasil kajian di Norway dimana terdapat hubungan yang kukuh diantar penggunaan ubat ADHD dan rawatan migrain – yang menunjukkan terdapat kemungkinan terhadap hubungan biologi ADHD dan migrain. Lebih lanjut mengenai ADHD dan migrain dalam kajian ADHD:
58% kanak-kanak dengan ADHD mempunyai kecenderungan untuk mengalami sakit kepala pada setiap bulan, dan 7.7% daripadanya mempunyai diagnosis migrain.
Individu dewasa dengan ADHD mempunyai kecenderungan risiko 1.3 kali ganda lebih tinggi untuk mengalami migrain berbanding dengan individu tanpa ADHD.
Terdapat beberapa faktor yang penyelidik ADHD percaya memainkan peranan untuk individu dengan ADHD mengalami migrain:
Beban Kognitif – simptom ADHD menyebabkan individu untuk lebih sukar menapis gangguan dan menguruskan tugas kognitif dengan cekap. Usaha mental yang menggunakan tenaga secara berterusan untuk kekal fokus boleh menyebabkan peningkatan beban kognitif dan seterusnya menyebabkan individu untuk stres. Stres adalah punca utama bagi sakit kepala dan migrain. Manakala, semasa migrain, pemprosesan maklumat di otak ADHD menjadi lebih perlahan daripada kebiasaan, menjadikan simptom ADHD lebih teruk untuk dikawal.
Ketidakseimbangan Dopamin – kedua-dua ADHD dan migrain mempunyai hubungan dengan ketidakseimbangan dopamin, yang merupakan sejenis neurotransmitter untuk menjalankan peranan penting dalam fokus, motivasi, dan regulasi rasa sakit. Penyelidikan mengenai ADHD dan migrain percaya bahawa disfungsi atau ketidakseimbangan dopamin boleh menyumbang kepada migrain dan ADHD. Bagi ADHD, dopamin yang rendah menyebabkan kesukaran untuk mengawal tumpuan dan impuls manakala bagi migrain, ia meningkatkan kepekaan terhadap rangsangan seperti cahaya dan bunyi.
Masalah Tidur – seperti di entri sebelum ini, individu dengan ADHD sering mengalami gangguan tidur. Kualiti tidur individu dengan ADHD yang buruk mempunyai kaitan dengan peningkatan risiko migrain kerana individu mudah untuk sakit kepala apabila kekurangan tidur atau rehat yang secukupnya.
Kesan Sampingan Ubat ADHD – ubat untuk mengurus ADHD seperti ubat perangsang mempunyai sakit kepala sebagai satu kesan sampingan yang biasa. Kesan sampingan ini boleh menyebabkan individu untuk mengurangkan atau menghentikan penggunaan ubat perangsang, dan seterusnya menyebabkan simptom ADHD lebih sukar untuk dikawal. Kebiasaannya, individu dengan ADHD mengalami kesan sampingan ubat ADHD (sakit kepala atau migrain) yang melampau dan kitaran simptom ADHD yang tidak terkawal kerana individu tidak konsisten dengan pengambilan ubat.
Jika anda mempunyai ADHD dan kerap mengalami sakit kepala atau migrain, terdapat beberapa cara untuk menguruskan kedua-dua keadaan seperti berikut:
Kenal Pasti Pencetus Keadaan – langkah pertama untuk mengurus migrain dan ADHD adalah untuk mengenal pasti pencetus kepada keadaan tersebut. Sebagai contoh seperti, kekurangan tidur, mengalami dehidrasi atau pengambilan makanan yang tertentu. Gunakan diari sakit kepala untuk mencatat segala pencetus untuk mengenal pasti corak (sick pattern). Dengan mengenali pencetus kepada kesakitan, anda mungkin dapat mengelakkannya di masa hadapan dan seterusnya dapat mengurangkan kekerapan sakit kepala atau migrain.
Tingkatkan Kualiti Tidur – untuk menguruskan ADHD dan migrain, tidur dan rehat yang mencukupi adalah sangat penting. Sebagai individu dengan ADHD, anda disarankan untuk mengekalkan rutin tidur dengan mengikut jadual tidur yang tetap. Selain itu, anda digalakkan untuk mengelakkan skrin sebelum tidur untuk mengurangkan gangguan cahaya biru (blue light) yang boleh mengganggu tidur.
Faktor Gaya Hidup dan Pengurusan Stres – individu digalakkan untuk mengikut rutin gaya hidup yang sihat. Pertama, menguruskan pemakanan yang seimbang dan mengelakkan mengambil fast food dan makanan atau snek yang mempunyai kandungan garam atau gula yang tinggi. Sekiranya individu mempunyai food-hyperfixation, individu digalakkan untuk menyediakan jadual makanan yang mempunyai kepelbagaian menu. Selain itu, untuk mengurangkan simptom ADHD dan kekerapan sakit kepala atau migrain, anda juga boleh melakukan senaman berkala seperti yoga dan pilates (senaman yang menggabungkan teknik mindfulness dan relaksasi). Perubahan gaya hidup dapat mengimbangi ketidakseimbangan dopamine dan dapat menguruskan stress dengan menyalurkan tenaga kepada aktiviti yang mengeluarkan peluh.
Pendekatan Rawatan Yang Seimbang – oleh kerana hubungan antara ADHD dan migrain adalah hubungan yang memerlukan konsultasi daripada doktor, anda harus bekerjasama dengan doktor anda dan berbincang untuk menyesuaikan pelan rawatan yang paling sesuai. Penting buat doktor anda untuk tahu kekerapan sakit kepala atau migrain yang jadi dengan simptom ADHD, atau ubat ADHD yang menyebabkan anda sakit kepala. Dengan mengetahui informasi ini, anda boleh berbincang dengan doktor mengenai pelarasan dos ubat ADHD atau meneroka ubat bukan perangsang.
Kehidupan dengan ADHD dan tambahan migrain atau sakit kepala bukanlah sebuah kelemahan – ia hanyalah sebuah cabaran neurologi. Dengan memahami hubungan antara dua keadaan ini, anda boleh mengadvokasi simptom anda dan boleh mendapatkan rawatan yang lebih sesuai dan spesifik untuk keperluan anda. Anda bukanlah seorang yang “sensitif” sekiranya anda sering sakit kepala dan mempunyai gangguan rangsangan. Anda hanya “sakit kepala” dan anda harus suarakan ini!
Dalam ribut yang kuat dan ganas, akhirnya ia akan berlalu pergi 🌩️
Jika anda memerlukan sokongan dan panduan sebagai individu dengan ADHD, Minda Inklusif sedia untuk membantu anda. Daftarkan temujanji untuk mendapatkan konsultasi bersama terapis kami di Minda Inklusif sekarang.
Fasmer, O. B., Halmøy, A., Oedegaard, K. J., & Haavik, J. (2011). Adult attention deficit hyperactivity disorder is associated with migraine headaches. European archives of psychiatry and clinical neuroscience, 261(8), 595–602. https://doi.org/10.1007/s00406-011-0203-9
Hansen, T. F., Hoeffding, L. K., Kogelman, L., Haspang, T. M., Ullum, H., Sørensen, E., Erikstrup, C., Pedersen, O. B., Nielsen, K. R., Hjalgrim, H., Paarup, H. M., Werge, T., & Burgdorf, K. (2018). Comorbidity of migraine with ADHD in adults. BMC neurology, 18(1), 147. https://doi.org/10.1186/s12883-018-1149-6
Arce, L. P., Correia, A. P. A. M., Ribeiro , C., Tsutumi, E. Y., Oliveira, G. dos S., Pinheiro, H. . P., Frighetto, J., Furio, K. S., Plens, L. . C., & Gasparim, V. M. (2024). The correlation between ADHD and migraine: the need for comprehensive management. Headache Medicine, 15(Supplement), 114. Retrieved from https://headachemedicine.com.br/index.php/hm/article/view/1247
De Carlo, D., de Rénoche, G., Ronchese, M. et al. P046. ADHD and headache: observational study of case series. J Headache Pain 16 (Suppl 1), A145 (2015). https://doi.org/10.1186/1129-2377-16-S1-A145
Nitzsche, Claire, “Headache and its Association with ADHD/ADD and Stimulant Medication” (2021). Honors Scholar Theses. 821. https://digitalcommons.lib.uconn.edu/srhonors_theses/821
We believe those with ADHD can thrive, lead, create, and redefine what success looks like — and we are here to walk that journey with you.