ADHD dan Advokasi: Macam Mana Untuk Bagi Diri Anda Di Tempat Kerja Sebagai Individu dengan ADHD

Berikutan peningkatan kesedaran mengenai ADHD di Malaysia, semakin banyak tempat kerja mula memahami kepentingan mewujudkan persekitaran kerja yang inklusif untuk pekerja dengan ADHD. Individu dengan ADHD membawa kekuatan yang unik kepada persekitaran organisasi seperti kreativiti, kemahiran menyelesaikan masalah dan kemampuan memberikan tumpuan yang penuh kepada tugas yang mereka minati. Namun begitu, mereka juga mungkin menghadapi cabaran termasuk kesukaran dalam pengurusan masa. Sebagai contoh, mereka mungkin berdepan kesukaran untuk menyelesaikan tugas menepati tarikh akhir (deadlines), kekal teratur dan menangani gangguan (distraction).

Bagi individu yang mempunyai ADHD dan sedang bekerja, ketahuilah bahawa ia bukanlah kelemahan, mahupun halangan untuk berjaya dalam pekerjaan. Sebaliknya, anda memiliki kekuatan yang tersendiri dan unik yang membezakan anda daripada individu lain. Seperti yang pernah dikongsi sebelum ini, ramai dewasa dengan ADHD menunjukkan kebolehan yang kompleks, termasuk keupayaan untuk hiperfokus ketika melaksanakan tugas. Kekuatan ini menjadikan mereka pekerja yang inovatif dan cekap, terutamanya apabila mendapat sokongan dan fahaman yang betul dari majikan dan rakan sekerja.

Menyokong diri anda sebagai individu dengan ADHD melalui advokasi kendiri (self-advocacy) adalah salah satu cara yang efektif bagi merapatkan jurang antara kekuatan dan potensi halangan yang berkemungkinan dihadapi di tempat kerja. Dengan memahami keperluan anda, anda bukan sahaja dapat meningkatkan keupayaan dan prestasi kerja, tetapi juga membantu memupuk budaya organisasi yang lebih inklusif kepada individu kurang upaya.

Baca entri blog ini hingga akhir untuk mengetahui cara untuk meningkatkan kemahiran advokasi diri di tempat kerja sekiranya anda mempunyai ADHD.

AI generated image

Fahami ADHD Anda – Membina Kesedaran Kendiri (Self-awareness)

Sebelum anda melakukan advokasi kendiri (self-advocacy) di tempat kerja, penting untuk memahami ADHD anda terlebih dahulu. Advokasi kendiri (self-advocacy) bermula dari kesedaran kendiri (self-awareness), iaitu memahami simptom anda dan bagaimana simptom ini mempengaruhi prestasi kerja dan keadaan anda dalam persekitaran kerja yang berstruktur. Dengan meluangkan masa untuk mengenali dan memahami diri dan simptom ADHD, anda dapat mengenalpasti keperluan serta sokongan yang diperlukan di tempat kerja.

Sebagai contoh, anda boleh mula bertanya diri soalan berikut:

  • Adakah persekitaran yang sibuk dan bising membuatkan saya merasa terganggu atau tertekan di tempat kerja?
  • Adakah saya sukar untuk beralih daripada satu tugas atau projek ke projek yang berikutnya?
  • Adakah simptom impulsif dan hiperaktiviti menyebabkan saya sukar mengekalkan sikap profesional dalam situasi tertentu di tempat kerja?

 

Tip Untuk Anda di Tempat Kerja: Terima Maklum Balas dengan Hati yang Terbuka

Kadangkala, maklum balas daripada rakan sekerja atau penyelia boleh membuka mata anda tentang bagaimana ADHD mempengaruhi cara anda bekerja. Walaupun maklum balas tersebut mungkin sukar diterima, maklum balas yang membina boleh membantu anda melakukan penambahbaikan dari segi cara kerja serta memberi peluang untuk mengajar rakan sekerja tentang bagaimana cara individu dewasa dengan ADHD bekerja.

Tahu Hak Anda Sebagai Pekerja di Malaysia

Di Malaysia, pengiktirafan ADHD sebagai suatu kekurangan upaya di tempat kerja masih dalam peringkat perkembangan dan banyak organisasi di sini belum memahami sepenuhnya akan keperluan pekerja yang mempunyai ADHD. Walau bagaimanapun, isu ini sedang dalam proses kemajuan. Pekerja yang mempunyai ADHD semakin sedar akan hak mereka dan sumber yang mereka miliki untuk memperjuangkan kesedaran mengenai ADHD di tempat kerja dengan lebih efektif.

Berdasarkan Akta Orang Kurang Upaya 2008, perundangan di Malaysia menyokong individu yang mempunyai ketidakupayaan di tempat kerja. Walaupun akta ini masih tertumpu kepada kecacatan secara fizikal, visual dan pendengaran, akta ini boleh ditafsirkan atau diperluaskan kepada definisi yang lebih menyeluruh, merangkumi sokongan untuk individu dengan masalah perkembangan seperti gangguan pembelajaran (learning disorder), dan ADHD. Dengan adanya akta ini, individu dapat dilindungi dan diberikan bantuan untuk mendapatkan akses pekerjaan dan sokongan di tempat kerja sama seperti individu lain.

Komunikasi Secara Jelas dan Positif

Dalam konteks dunia pekerjaan di Malaysia, komunikasi secara terbuka adalah kunci kepada komunikasi yang efektif. Namun, hal ini harus disertai dengan sikap menghormati budaya lain (sensitiviti budaya). Sebagai contoh, dalam satu kajian, pengkaji mendapati sekiranya anda mampu berkomunikasi dengan jelas mengenai ADHD anda, individu lain akan lebih mudah memahami anda dan memberi tindak balas yang positif, diikuti dengan rasa ingin tahu serta empati yang lebih mendalam.

Berikut adalah cara yang anda boleh gunakan untuk berkomunikasi mengenai keadaan anda dengan lebih jelas di tempat kerja:

  • Fokus kepada solusi dan bukannya masalah: Tunjukkan kepada rakan sekerja dan penyelia anda bagaimana anda dapat memberikan sumbangan secara efektif dan meningkatkan produktiviti gerak kerja anda.
  • Komunikasi yang jelas: Gunakan contoh yang khusus untuk menerangkan bagaimana perubahan cara kerja dapat membantu anda.
  • Berkongsi secara 60% tetapi authentic: Anda tidak perlu membincangkan diagnosis anda sepenuhnya (secara 100%) sekiranya anda tidak selesa, tetapi apa yang anda boleh lakukan adalah untuk berkongsi dengan cara yang non-confrontational (tidak menyebabkan konflik atau ketegangan)
  • Sokongan Rakan Sebaya (Rakan Sekerja): Anda perlu membina kemahiran dalam bersosial di tempat kerja serta mendapatkan sokongan daripada rakan sekerja yang boleh dipercayai. Ini akan menggalakkan semangat kekitaan dan membantu anda tidak merasa terpinggir di tempat kerja.

Memupuk Komunikasi Secara Terbuka dengan Penyelia Anda

Mempunyai penyelia yang sentiasa terbuka, memberi sokongan dan mengambil peduli mengenai pekerjanya adalah salah satu cara yang efektif bagi individu dewasa dengan ADHD untuk advocate atau memperjuangkan hak dirinya. Namun, memulakan perbualan atau perbincangan mengenai ADHD dengan penyelia anda mungkin boleh menjadi hal yang menakutkan, terutamanya apabila wujud rasa takut akan penilaian (judgment) dan kritikan yang mungkin timbul melalui perbualan atau perbincangan tersebut. 

Perasaan takut ini bukanlah perasaan yang tidak berasas kerana sebilangan individu dewasa dengan ADHD melaporkan bahawa mereka sering disalah anggap atau dilabel oleh rakan sekerja dan keluarga. Perkara ini sering menjadi halangan untuk mereka memupuk budaya berkomunikasi terbuka disebabkan rasa takut.

Berikut adalah bagaimana anda boleh memulakan komunikasi secara terbuka bersama penyelia anda:

  • Pilih masa dan tempat yang sesuai: Masa yang sesuai amat penting sekiranya perbualan memerlukan perhatian yang lebih teliti. Anda juga boleh memilih untuk memulakan perbualan melalui emel dimana anda boleh merancang dan menyusun idea dengan lebih mudah dan teratur.
  • Berterus terang ketika disalah anggap (misjudgments): Sekiranya simptom ADHD anda di tempat kerja telah disalah anggap, ini adalah masa yang sesuai untuk berbincang mengenainya. Paling penting, anda harus memberikan konteks yang betul kepada penyelia anda agar mereka lebih mudah untuk memahami keadaan anda.
  • Cadangkan perubahan secara berperingkat: Elakkan membebankan penyelia anda dengan permintaan yang banyak sekali gus. Sebaiknya, mulakan dengan beberapa perubahan yang boleh mendatangkan impak yang besar kepada cara kerja dan hasil kerja anda.
  • Sering melakukan follow-up & evaluasi: Setelah penyelia atau tempat kerja anda bersetuju untuk melakukan beberapa perubahan mengenai cara kerja yang boleh membantu mengetengahkan kekuatan ADHD, anda harus sentiasa melakukan follow-up.  Ini menunjukkan anda komited untuk melakukan perubahan kepada hasil kerja anda dan terbuka kepada penyelesaian yang mungkin boleh dilakukan mengikut keperluan.

Memperkasa Diri Anda dan Melakukan Perubahan

Advocating, atau membela hak anda sebagai individu dewasa dengan ADHD di Malaysia mungkin merupakan cabaran, namun ia juga membuka peluang kepada komuniti ADHD Dewasa untuk mengambil alih atau mengawal perjalanan profesional anda di dunia pekerjaan. Harus diingat, advocacy bukanlah dilakukan semata-mata untuk mendapatkan accommodation atau menuntut penyesuaian di tempat kerja. Sebaliknya, ia bertujuan bagi mengetengahkan diri anda sebagai individu yang unik dan bernilai kepada organisasi. Setiap perbualan dan langkah yang anda ambil untuk mendorong perubahan di tempat kerja boleh menyumbang kepada pembentukan budaya kerja yang lebih inklusif bagi individu dengan ADHD.

ADHD-ers, ini adalah peluang untuk anda untuk memimpin melalui teladan dan menunjukkan bahawa neurodiversity adalah satu aset di tempat kerja!

Rujukan:

  1. Beaton, D. M., Sirois, F., & Milne, E. (2022). Experiences of criticism in adults with ADHD: A qualitative study. PloS one, 17(2), e0263366. https://doi.org/10.1371/journal.pone.0263366
  2. Brown, A. (2023). The Univocity of Attention: ADHD and the Case for a Renewed Self-Advocacy.
  3. Ginapp, C. M., Greenberg, N. R., Macdonald-Gagnon, G., Angarita, G. A., Bold, K. W., & Potenza, M. N. (2023). The experiences of adults with ADHD in interpersonal relationships and online communities: A qualitative study. SSM – Qualitative Research in Health, 3, 100223. https://doi.org/10.1016/j.ssmqr.2023.100223
  4. International Labour Organization | Persons with Disabilities Act 2008 (Act 685)
  5. Malaysia Public Service Delivery and Local Government | Persons with Disabilities
  6. Pfeifer, M. A., Reiter, E. M., Cordero, J. J., & Stanton, J. D. (2021). Inside and Out: Factors That Support and Hinder the Self-Advocacy of Undergraduates with ADHD and/or Specific Learning Disabilities in STEM. CBE life sciences education, 20(2), ar17. https://doi.org/10.1187/cbe.20-06-0107
  7. Pfeifer, M. A., Cordero, J. J., & Stanton, J. D. (2023). What I Wish My Instructor Knew: How Active Learning Influences the Classroom Experiences and Self-Advocacy of STEM Majors with ADHD and Specific Learning Disabilities. CBE—Life Sciences Education, 22(1), ar2. https://doi.org/10.1187/cbe.21-12-0329
  8. Stamp, L., Banerjee, M., & Brown, F. C. (2014). Self-Advocacy and Perceptions of College Readiness among Students with ADHD. Journal of Postsecondary Education and Disability, 27(2), 139-160.
  9. “The Experience of Adults with Attention-Deficit/Hyperactivity Disorder in the Workplace” (2020). Walden Dissertations and Doctoral Studies. 8052.
    https://scholarworks.waldenu.edu/dissertations/8052

Langgan Newsletter

Baca blog lain: