Bayangkan seorang yang sentiasa bergerak ke sana-sini dan kelihatan sibuk, tetapi telah kehilangan kunci kereta untuk kali keempat tahun ini. Mudah terganggu ketika sedang rancak berborak hingga tidak sedar bahawa 100 tab telah terbuka di Google Chrome. Di sisi lain, bayangkan seorang yang sentiasa teratur dengan planner kod berwarna (colour-coded), mempunyai pelbagai rancangan untuk melaksanakan sesuatu, dan hidupnya sangat teratur seperti Pinterest board. Begitulah ADHD dan perfectionism.
Sekilas pandang, ADHD dan perfectionism kelihatan seperti pasangan yang tidak ‘ngam’. Ini kerana ADHD berkembang dalam ketidakpastian, manakala perfectionism berusaha menguasai setiap aspek untuk kekal sempurna. Justeru, bagaimana kedua-dua sifat yang bertentangan ini boleh wujud bersama dalam diri individu? Konsep ini kelihatan hampir mustahil, namun tidak ada yang mustahil dalam dunia ini melainkan dengan kehendak-Nya.
Walaupun dinamik antara ADHD dan perfectionism kedengaran dan kelihatan lucu, pengalaman individu yang memiliki kedua-dua aspek bercanggah ini tidaklah sentiasa bersinar setiap hari. Pengalaman yang kompleks dan kadangkala membebankan ini sebenarnya mendedahkan cara otak individu berfungsi dan menangani cabaran.
Melalui entri kali ini, mari kita selami bagaimana dua aspek yang kelihatan bertentangan ini bertembung dan bahkan boleh saling melengkapi dengan pendekatan yang betul.
Sebelum kita mengenali lebih lanjut tentang perfectionism, anda juga boleh membaca entri kami yang terdahulu mengenai ADHD.
Perfectionism bukan sekadar tabiat atau perangai unik seseorang. Ia adalah suara kecil dalam kepala yang sering berbisik, “Eh, jangan buatlah kalau tidak sempurna!” Kadangkala, suara kecil ini mungkin kelihatan seperti motivasi, tetapi sebenarnya ia lebih mirip kepada sebuah kritikan. Cuba bayangkan, anda berada di dalam kereta sebagai pemandu utama, namun terdapat suara dari tempat duduk penumpang yang memberi arahan mengenai jalan dan bagaimana anda sepatutnya memandu. Anda pasti akan berasa sangat marah dan terganggu.
Perfectionism sebenarnya bukan sekadar obsesi terhadap perincian setiap tugas atau aspek kehidupan; ia lebih daripada itu. ADHD dan manusia adalah perkaitan yang kompleks. Ia melibatkan aspek intrapersonal (berkaitan dengan diri sendiri) dan interpersonal (berkaitan dengan interaksi antara individu). Menurut pengkaji Hewitt dan Flett (1991), terdapat tiga kategori perfectionism yang perlu kita ketahui dan fahami.
SOP merupakan satu kategori perfectionism yang boleh diibaratkan seperti ketua jurulatih dalam sukan berkumpulan, yang sentiasa melaung memberi arahan dengan cara yang keras dan tanpa kompromi, walaupun anda sudah tidak mampu untuk meneruskannya. SOP akan sering mendorong anda untuk mengejar matlamat yang mustahil dan menegaskan bahawa nilai diri seseorang individu bergantung kepada pencapaiannya. Tanpa pencapaian, maka anda dianggap sebagai seorang yang gagal.
Walaupun SOP boleh mendorong kejayaan, ia juga membawa beban kepada individu, seperti tekanan yang berterusan, rasa bersalah kerana tidak mencapai standard tinggi yang ditetapkan terhadap diri sendiri, serta kecenderungan untuk burnout yang lebih cepat daripada bateri komputer yang hanya tinggal 1%.
Berbeza dengan SOP, OOP pula adalah kategori perfectionism yang menilai prestasi orang lain berbanding diri sendiri. OOP akan menetapkan standard yang mustahil untuk kawan-kawan, rakan sekerja, malah orang yang tidak dikenali seperti di kedai runcit. Contohnya, “Kenapa mereka lambat sangat nak bayar? Tak tahu ke masa itu emas?” OOP menetapkan standard yang sama untuk dirinya terhadap individu lain, namun lebih berminat untuk bercakap tentang pencapaian dan kegagalan orang lain serta menghakimi mereka.
OOP kebiasaannya membawa kepada kekecewaan serta ketegangan dalam hubungan. Tiada siapa yang suka rasa dihakimi, dan apabila seseorang terlalu fokus untuk mengukur dan menilai diri sendiri (atau orang lain) berdasarkan standard tertentu, mereka akhirnya akan terasing atau terpisah dari hubungan sosial atau peranan penting dalam hidup seperti kerja berpasukan, keibubapaan, atau momen-momen sederhana seperti jamuan makan malam bersama keluarga.
Kategori perfectionism yang terakhir adalah SPP, yang boleh kita gelar sebagai people pleaser, iaitu individu yang sering berkata ‘Ya’ kepada semua orang dan sukar untuk menolak atau mengatakan ‘Tidak’, namun pada masa yang sama, mereka masih berusaha untuk kelihatan sempurna. SPP adalah pemusnah senyap yang licik. Ia adalah tekanan yang dirasakan seolah-olah diletakkan oleh orang lain ke atas anda. Ia adalah kepercayaan bahawa orang lain mengharapkan anda untuk menjadi sempurna. SPP akan membisikkan, “Semua orang sedang memerhati, jadi jangan buat salah!”
SPP menjadikan anda sangat peka terhadap setiap kekurangan yang dirasakan, memenuhi fikiran anda dengan senario “apa akan terjadi kalau…”. Inilah punca mengapa anda memeriksa e-mel anda tiga kali sebelum menghantarnya, atau menghabiskan berjam-jam mencipta kapsyen Instagram yang sempurna. Ketakutan terhadap penghakiman mencipta lingkaran kebimbangan, keraguan diri, dan berfikir secara berlebihan (overthinking).
Satu kajian pada tahun 2018 yang melibatkan pelajar universiti mendapati bahawa impulsif dan perfectionism boleh wujud bersama dalam individu yang sama. Gabungan yang kelihatan bercanggah ini menyerlahkan bagaimana ADHD dan perfectionism berinteraksi, mencipta hubungan dan perjuangan dalaman yang unik. Ciri impulsif dalam ADHD sering mendorong individu untuk bertindak tanpa berfikir dengan teliti, manakala ciri perfectionism pula menuntut pencapaian yang sempurna sebagai hasil akhir. Gabungan ini membawa kepada kitaran penangguhan kerja, hiperfokus, dan kritikan diri.
Penangguhan Kerja dan Ganjaran – Kajian oleh Strohmeier et al. (2013) mendapati bahawa perfectionism sering dikaitkan dengan ADHD dewasa, terutamanya dalam bentuk penangguhan kerja. Bagi individu yang menghidap ADHD, tugasan yang perlu diselesaikan sering ditangguhkan akibat keinginan untuk mencapai ‘keadaan ideal’, di mana standard yang tidak realistik, yang dipengaruhi oleh perfectionism, boleh menyebabkan pengelakan dan penangguhan kronik. Keadaan ini seterusnya menyumbang kepada tekanan yang meningkat.
Kajian tersebut juga mencadangkan bahawa penangguhan ganjaran bagi individu dengan ADHD selepas berjaya mencapai matlamat atau kejayaan kendiri adalah tidak wajar, malah ia menyekat perkembangan mereka. Gabungan kekurangan fungsi eksekutif dan cabaran dalam motivasi menyebabkan individu dengan ADHD sukar untuk memulakan tugas, lebih-lebih lagi apabila kebimbangan akibat perfectionism menambah tekanan untuk melakukan tugas dengan sempurna. Mereka akan tertekan dalam kitaran fikiran “lakukan dengan betul atau tidak memulakan sama sekali”.
Antara Perfectionism dan Organization (Pengurusan) – Terdapat pelbagai hujah dan perdebatan mengenai sifat yang mendorong individu untuk sentiasa berusaha mencapai kesempurnaan dan keteraturan dalam cara kerja serta struktur pemikiran. Seorang pengkaji menerangkan bahawa walaupun perfectionism sering dikaitkan dengan sifat yang sangat teratur dan teliti, pengurusan merujuk kepada tingkah laku yang menyokong sifat perfectionism itu. Justeru, tidak menghairankan bagaimana perfectionism dan ADHD boleh wujud dalam diri individu yang sama. Sebagai contoh, dari segi tingkah laku, individu dengan ADHD mungkin menunjukkan daya organisasi atau penstrukturan yang rendah, tetapi dari aspek sifat, mereka masih mempamerkan kecenderungan perfectionism, terutamanya perfectionism yang berorientasikan kendiri (SOP).
Motivasi Kendiri, Perfectionism dan ADHD – Menariknya, individu dengan ADHD yang mempunyai ciri perfectionism SOP (berorientasikan kendiri) sering menunjukkan tingkah laku yang didorong oleh matlamat. Kajian menyifatkan mereka mempunyai motivasi intrinsik (motivasi dalaman) yang tinggi untuk menyelesaikan tugas dengan sempurna. Walaupun perfectionism mendorong individu untuk bekerja tanpa henti ke arah matlamat jangka panjang, simptom ADHD pula mencipta rintangan dalaman terhadap perancangan dan struktur. Keadaan ini membawa kepada rasa kecewa dan keletihan bagi individu yang memiliki kedua-dua ciri tersebut.
Kehidupan dengan ADHD dan perfectionism mungkin tidak sempurna (pun intended), tetapi ia tidak perlu menjadi medan perang setiap masa. Dengan strategi yang tepat, sokongan yang kuat, dan sedikit percikan humor dalam mengharungi cabaran, anda boleh menemui keseimbangan yang terbaik daripada kedua-duanya.
Jadi, jika anda sedang bergelut untuk mencapai matlamat dan terganggu oleh suara kecil yang menuntut kesempurnaan, ingatlah: perjalanan hidup bukan tentang menjadi sempurna, tetapi tentang kemajuan. Kadang-kadang, “cukup baik” sudah memadai, malah lebih daripada mencukupi. Anda tidak perlu sempurna untuk menjadi luar biasa—anda hanya perlu menjadi diri sendiri 💪🎉
We believe those with ADHD can thrive, lead, create, and redefine what success looks like — and we are here to walk that journey with you.
One Response