ADHD & Freelance: Mengapa Freelancing Lebih Sesuai Bagi Individu ADHD?

Jika anda pernah mendapati diri anda sedang menulis idea baharu dan terlupa apa yang anda baru sahaja mulakan lima minit lalu, selamat datang ke dunia ADHD yang penuh warna-warni. Sekarang, tambahkan konsep freelancing ke dalam gabungan ini, dan anda akan mendapat kombinasi kebebasan, kreativiti, dan—paling penting dan tidak patut dilupakan—sedikit huru hara (chaos!).

Tetapi inilah satu realiti yang jarang diketengahkan: ADHD dan freelancing sebenarnya boleh berjalan seiring. Ciri-ciri yang mungkin membuatkan anda bergelut dalam pekerjaan tradisional dari 9 pagi hingga 5 petang, mungkin menjadi senjata rahsia anda dalam dunia freelancing. 

Mari kita selami hubungan antara ADHD dan freelancing, dan paling penting sekiranya anda memerlukan pertolongan untuk menguruskan ADHD, mari bertemu dengan terapis di Minda Inklusif.

Kenapa Freelancing Sesuai Untuk Individu ADHD?

Dunia freelancing ibarat dunia pekerjaan tanpa peraturan. Freelancing tidak mempunyai struktur, bersifat fleksibel, dan memerlukan anda untuk memainkan pelbagai peranan bagi mencapai hasil kerja yang diinginkan. Kedengaran seperti mimpi indah, bukan? Inilah sebabnya freelancing mungkin boleh menjadi laluan kerjaya yang ideal untuk individu yang mempunyai ADHD:

  • Fleksibiliti adalah Segalanya – Pekerjaan tradisional dengan jadual kerja 9-to-5 ada kalanya menjadikan individu dengan ADHD merasa seperti terperangkap di dalam kotak— dengan jadual yang tetap, tugas yang berulang, dan mesyuarat panjang yang 80% daripadanya terasa sia-sia. Bagi individu dengan ADHD, situasi ini boleh diibaratkan seperti meminta kucing untuk berenang. Berbeza dengan freelancing, ia membolehkan anda untuk bekerja ketika otak anda mencapai puncak prestasinya. Rasa kreatif di pagi hari? Boleh fokus penuh pada tengah malam? Freelancing berkata, “Teruskan!”
  • Kepelbagaian dalam Menjalankan Tugas – Otak individu dengan ADHD akan berkembang dengan perkara baru. Freelancing menawarkan projek, pelanggan, komuniti dan cabaran yang berbeza setiap hari. Hari ini, anda mereka laman web. Esok, anda menulis artikel blog. Kemudian, mungkin sedang siapkan poster pameran. Bosan? Tak pernah dengar perkataan itu sekiranya anda seorang freelancer.
  • Pantas dan Aktif – Dalam dunia freelancing, sifat hiperaktiviti boleh berfungsi dalam persekitaran yang memerlukan kepantasan dan kecekapan dalam bertindak. Freelancer sering melompat dari satu projek ke projek lain, mengejar tarikh akhir, menyiapkan tugasan dan mencari peluang untuk membentangkan idea kepada prospek atau bakal majikan. Ia seperti jackpot dopamin untuk otak ADHD kerana gerak kerja freelance yang sering pantas dan aktif, serta tidak perlu melalui banyak peringkat dalam membuat keputusan.

Perspektif Freelancing dan Nilai Keusahawanan

Terdapat banyak kajian mengenai ADHD dan nilai keusahawanan yang telah membawa beberapa pandangan menarik mengenai freelancing dan pekerja sektor gig. Walaupun kajian sering memberi tumpuan kepada keusahawanan, dinamik yang sama juga terpakai kepada freelancer—kebanyakan freelancers berjaya sebagai usahawan mikro. Berikut merupakan bagaimana ciri-ciri ADHD selari dengan nilai keusahawanan:

  • Hiperaktiviti dan Mengambil Risiko

Ciri-ciri hiperaktiviti-impulsif merupakan ciri-ciri ADHD yang berkait rapat dengan nilai kebebasan dan kerja keras yang diperlukan dalam keusahawanan. Menurut kajian, hiperaktiviti mendorong individu untuk mengambil tindakan serta keputusan yang berani dan inovatif. Bagi freelancer, ini boleh berbentuk seperti merebut peluang atau kesempatan yang tidak dipedulikan orang lain, mengemukakan idea yang tidak konvensional kepada klien/majikan, atau menceburi industri baru tanpa ragu-ragu.

Pekerja gig dan freelancer dengan ADHD berkembang maju dalam situasi yang penuh dengan ketidakpastian, di mana impulsiviti mereka berfungsi sebagai sebuah aset. Kebolehan untuk membuat keputusan yang pantas, mengambil risiko, dan bekerja dengan cekap boleh membantu mereka mendapatkan projek bernilai tinggi atau menyelesaikan masalah secara kreatif untuk klien/majikan.

  • Cabaran Mengurus Perhatian

Cabaran dalam meregulasi fokus adalah ciri ADHD yang boleh memberi kesan ketara kepada beberapa aspek freelancing. Tugas yang berutin dan berulang (admin work)— seperti mengemukakan invois, mengurus akaun, atau menghantar emel susulan kepada klien/majikan boleh menjadi tugasan yang sangat sukar untuk diselesaikan dengan sempurna. Satu kajian menyatakan, kesukaran dalam menumpukan perhatian yang dialami individu ADHD tidak semestinya akan mendorong mereka ke arah self-employment atau freelancing, tetapi ia memerlukan freelancer sendiri mencari cara untuk mengatasi halangan ini.

Disinilah dimana sistem, strategi, dan rakan kongsi freelancer ADHD memainkan peranan penting. Ramai freelancer menyerahkan tugas pentadbiran kepada pihak lain atau bergantung pada sistem perisian untuk mengendalikan proses yang berulang. Contohnya, mengautomasikan invois atau menggunakan sistem penjadualan seperti Google Calendar. Strategi dan sistem ini sedikit sebanyak dapat memberi individu ruang mental yang lebih untuk menumpukan perhatian kepada aspek kreatif dan menyalurkan tenaga kepada tugas freelancing.

  • Tenaga Kreatif dalam Dunia Freelancing

Freelancer dengan ADHD cenderung tertarik kepada industri kreatif seperti penulisan, reka bentuk, pemasaran, serta pengeluaran dan pembuatan video. Bidang ini sangat menghargai pemikiran diluar kotak dan inovasi—ciri yang selari dengan keupayaan unik ADHD untuk berfikir secara divergen. Kajian ADHD menunjukkan bahawa hiperaktiviti boleh menjadi kelebihan dalam situasi yang menuntut inovasi dan keupayaan menyesuaikan diri, yang sekali gus mendorong kejayaan. 

Dalam industri freelancing dan kerja gig, kreativiti individu dengan ADHD boleh menjadi aset yang luar biasa. Sama ada dalam mencipta idea penjenamaan, menghasilkan video interaktif yang menarik, atau merangka strategi inovatif untuk pelanggan atau majikan, kecenderungan otak ADHD untuk berfikir di luar kebiasaan memberikan kelebihan kompetitif yang unik.

  • Kebolehsuaian dalam Ekonomi Gig

Freelancer bekerja dalam persekitaran yang sangat fleksibel. Minggu ini, anda mungkin membuat tawaran kepada syarikat teknologi sementara minggu berikutnya, anda mungkin mencipta kandungan video untuk jenama fesyen. Individu dengan ADHD secara semula jadi adalah seorang yang mudah menyesuaikan diri, berkembang dalam suasana yang membolehkan mereka mengimbangi pelbagai peranan serta bertindak balas kepada keperluan yang sentiasa berubah.

Kebolehsuaian ini juga boleh menjadi kelebihan dalam menghadapi cabaran dunia pekerjaan. Apabila berdepan dengan pelanggan atau majikan yang mengabaikan anda, atau apabila sesuatu projek tidak berjalan seperti yang dirancang, daya tahan yang dibentuk daripada sifat ADHD membantu anda bangkit semula dengan cepat. Malah, ramai freelancer dengan ADHD mendapati bahawa ekosistem gig yang pantas dan dinamik lebih memotivasikan berbanding pekerjaan korporat tradisional yang lebih berstruktur dan bergerak perlahan.

  • Risiko Komitmen Berlebihan

Salah satu cabaran yang diketengahkan dalam kajian ialah kecenderungan sifat impulsif ADHD untuk mengambil terlalu banyak komitmen. Freelancer dengan ADHD cenderung untuk mengambil terlalu banyak projek dalam satu masa, didorong oleh keterujaan atau ketakutan untuk berkata tidak. Walaupun ini boleh menyebabkan keletihan, ia juga mencerminkan sifat keusahawanan: kesanggupan untuk berusaha keras tanpa mengenal penat lelah.

Kajian mengenai ADHD dan ciri keusahawanan menekankan kepentingan menyelaraskan tindakan dengan peringkat proses yang betul. Bagi freelancer, ini bermaksud mencari keseimbangan antara usaha yang dicurahkan dan hasil kerja yang dicapai. Menghasilkan idea baru memang menarik, tetapi menyusun aliran kerja dan mengetahui had anda adalah sama pentingnya untuk memastikan kejayaan jangka panjang bagi individu dengan ADHD.

Kuasa ADHDer dalam Dunia Freelancing

Freelancing bukanlah pilihan untuk semua orang, termasuk individu neurotipikal, namun bagi individu dengan ADHD, industri ini menawarkan peluang kejayaan sekiranya kerjaya disesuaikan dengan kekuatan mereka. Ya, individu akan bertemu dengan pelbagai cabaran— seperti terlepas tarikh akhir, terlupa klik send email, dan senarai tugasan yang ada kalanya terasa terlalu banyak. Tetapi dengan pemikiran dan strategi yang betul, freelancing boleh mengubah sifat ADHD menjadi aset luar biasa.

Jadi, jika anda adalah individu dengan ADHD yang sedang mempertimbangkan freelancing, ambillah peluang itu! Dukung kreativiti anda, ikuti dorongan hiperaktif anda, dan bina kerjaya yang unik, seunik diri anda. Lagipun, dunia memerlukan idea besar anda, tenaga pantas anda, dan keengganan anda untuk berpuas hati dengan perkara biasa!

Rujukan:

  1. Verheul, I., Rietdijk, W., Block, J. et al. The association between attention-deficit/hyperactivity (ADHD) symptoms and self-employment. Eur J Epidemiol 31, 793–801 (2016). https://doi.org/10.1007/s10654-016-0159-1
  2. Gordon, C.T., Fabiano, G.A. The Transition of Youth with ADHD into the Workforce: Review and Future Directions. Clin Child Fam Psychol Rev 22, 316–347 (2019). https://doi.org/10.1007/s10567-019-00274-4
  3. Adamou, M., Arif, M., Asherson, P. et al. Occupational issues of adults with ADHD. BMC Psychiatry 13, 59 (2013). https://doi.org/10.1186/1471-244X-13-59
  4. Patel, P. C., Rietveld, C. A., & Verheul, I. (2021). Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) and Earnings in Later-Life Self-Employment. Entrepreneurship Theory and Practice, 45(1), 43-63. https://doi.org/10.1177/1042258719888641

Langgan Newsletter

Baca blog lain:

Client #1
Client #1@ADHDAssesment
It's very meaningful to me to finally get the proper diagnosis after struggling throughout my life. I feel validated during the session. The diagnosis, strategies and sharing did help me in navigating my life further. Thank you 🙂
Client #2
Client #2@MentalHealthConsultation
Adila makes me think that what i currently doing (by putting boundaries) is the right choice. i'm glad to hear that she said it's good i did that. since i thought what i did was wrong and constantly feeling guilty. now i feel kinda relieve. i kinda see a lil bit of light at the end of my tunnel. thanks adila.
Client #3
Client #3@MentalHealthScreening
The session went really good. Coming from a psychology major, I already am familiar with the terms and things that were being discussed, but the therapist explained in a very simple manner that's easy to understand that I feel like clients would be able to know themselves better through the session.