Menyampuk? Bagaimana untuk Tidak Menyampuk Eh?

Bagi kebanyakan individu dengan ADHD, menyampuk ketika orang lain bercakap bukanlah sesuatu yang disengajakan. Individu dengan ADHD sering mengalami aliran idea yang meluru masuk ke dalam fikiran, dan kerana takut terlupa sesuatu yang penting atau terlalu teruja dengan topik perbualan, mereka mungkin secara spontan akan menyampuk. Namun, hakikatnya, terlalu kerap menyampuk boleh membuatkan orang lain rasa tidak didengari, tidak selesa atau terganggu.

Jadi, bagaimana cara untuk mengawal tabiat ini? Ikuti entri Minda Inklusif kali ini untuk mempelajari beberapa strategi yang boleh membantu anda!

 

Terima Hakikat Anda bakal Menyampuk & Beritahu Kenalan Anda

Sebagai seorang individu dengan ADHD, anda perlu menerima hakikat bahawa menyampuk dalam perbualan adalah sebahagian daripada ciri ADHD. Jadi, anda tidak perlulah terlalu berkeras terhadap diri sendiri terutamanya apabila menyedari bahawa anda sedang menyampuk perbualan, kerana itu adalah sebahagian daripada cara otak ADHD berfungsi. Beri diri anda ruang dan peluang untuk memahami bagaimana otak anda berfungsi serta mencari cara untuk mengawal dan memperbaiki tabiat menyampuk ini tanpa menyalahkan diri sendiri.

Salah satu cara untuk memperbaiki tabiat menyampuk adalah dengan memberitahu orang di sekeliling anda, seperti rakan kerja atau kenalan rapat bahawa anda mempunyai kecenderungan untuk menyampuk dalam perbualan. Beritahu mereka secara terus terang yang anda sedang berusaha mengawal diri untuk tidak menyampuk dan sekiranya terlepas kawalan dan menyampuk secara tidak sengaja, minta mereka untuk ingatkan anda. Individu lain kebanyakannya akan lebih memahami dan sabar sekiranya mereka tahu anda sedang berusaha untuk memperbaiki kelemahan anda. 

Tips ini boleh membantu anda kerana: 

  1. Anda akan kurang rasa bersalah dan tidak berkeras terhadap diri sendiri sekiranya dengan tidak sengaja menyampuk perbualan. 
  2. Individu lain di dalam lingkungan sosial anda boleh membantu untuk mengingatkan anda sekiranya anda tidak sengaja menyampuk dalam perbualan dengan nada yang lebih lembut dan memahami, berbanding mereka yang tidak mengetahui situasi anda.

Betulkan Diri Anda Jika Terlepas Cakap

Walaupun anda telah berusaha sebaik mungkin untuk tidak menyampuk, ada kalanya anda mungkin tidak menyedari bahawa anda telah melakukannya sehingga terlajak. Bak kata orang, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Sekiranya ini berlaku, anda tidak perlulah panik, sebaliknya cuba kembali kepada situasi atau perbualan dengan segera untuk memperbetulkannya. 

🛑 Sebaik sahaja anda sedar bahawa anda sedang menyampuk, hentikan diri dan katakan:

“Maaf, saya menyampuk. Tolong teruskan apa yang awak cakap tadi.”

Dengan menghentikan diri sendiri, anda bukan sahaja dapat mengembalikan fokus kepada orang yang sedang bercakap, tetapi juga menunjukkan bahawa anda menghormati perbualan dan perbincangan tersebut. 

Tip sekiranya dalam mesyuarat atau perbincangan: Tulis apa yang anda ingin sampaikan atau idea anda di dalam buku nota/kertas/ipad dahulu supaya anda tidak tergesa-gesa untuk mencelah perbincangan tersebut. Anda boleh mengemukakan idea anda apabila isyarat diberikan seperti anda diminta untuk memberikan pandangan.

 

Apa Yang Saya Boleh Pelajari Dari Mereka?

Ketika anda berada dalam perbincangan atau perbualan, anda boleh melihat ini sebagai peluang untuk belajar. Dengan mengubah mindset daripada peluang untuk bercakap kepada peluang untuk belajar, mendengar dan memahami, anda dapat mengurangkan kecenderungan untuk menyampuk.

Bagaimana untuk menukar mindset anda dalam perbincangan atau perbualan:

  1. Sebelum perbualan, ingatkan diri anda: “Saya nak tahu lebih banyak apa yang orang ini ingin katakan dan bukan sekadar bagi pandangan saya sahaja!”
  2. Fokus untuk bertanya soalan dan mendengar jawapan dengan teliti kepada soalan yang telah ditanya.

 

Teknik ini dapat membantu anda untuk mengalihkan fokus daripada diri sendiri kepada orang lain, iaitu individu yang sedang bercakap. Ini juga menunjukkan bahawa anda benar-benar hadir dan memberi perhatian kepada perbualan dan perbincangan tersebut. Selain itu, teknik ini juga membantu anda menjadi pendengar yang lebih aktif, bukan sekadar menunggu giliran untuk bercakap atau menyampaikan pandangan.

Sabar dan Hargai Perbualan Anda

Mengawal tabiat menyampuk bukanlah sesuatu yang boleh diubah dalam sehari, tetapi ia boleh diperbaiki dengan kesedaran dan latihan yang berterusan. Apa yang paling penting, jangan terlalu keras pada diri sendiri. Sebaliknya, belajarlah untuk memberi ruang kepada diri sendiri untuk berkembang. Sedikit demi sedikit, anda akan menjadi lebih sabar dalam mendengar dan lebih menghargai setiap interaksi dengan orang lain.

🔹 Ingat, tiada siapa yang sempurna! Jika anda masih menyampuk sekali-sekala, beri diri anda peluang untuk terus belajar. Yang penting, anda sedang mencuba! 💪

🗣 Bagaimana anda mengawal tabiat menyampuk? Kongsikan pengalaman anda di ruangan komen!

Rujukan:

  1. ADHD Symptom Spotlight: Interrupting | Very Well Mind
  2. 5 Tips to Control Interrupting Others if You Live with ADHD | PsychCentral
  3. Stop interrupting, be present and enjoy connecting with others: How to manage ADHD in conversations | Dr. Sharon Saline
  4. Navigating Conversations with ADHD: Tips for Better Interactions | Psychology Today

Langgan Newsletter

Baca blog lain:

Client #1
Client #1@ADHDAssesment
It's very meaningful to me to finally get the proper diagnosis after struggling throughout my life. I feel validated during the session. The diagnosis, strategies and sharing did help me in navigating my life further. Thank you 🙂
Client #2
Client #2@MentalHealthConsultation
Adila makes me think that what i currently doing (by putting boundaries) is the right choice. i'm glad to hear that she said it's good i did that. since i thought what i did was wrong and constantly feeling guilty. now i feel kinda relieve. i kinda see a lil bit of light at the end of my tunnel. thanks adila.
Client #3
Client #3@MentalHealthScreening
The session went really good. Coming from a psychology major, I already am familiar with the terms and things that were being discussed, but the therapist explained in a very simple manner that's easy to understand that I feel like clients would be able to know themselves better through the session.