“Counting Sheep” Tidaklah Mudah

Kita semua tahu betapa nikmatnya rasa selepas mendapat tidur malam yang lena. Bila bangun pagi, terasa seolah-olah tiada apa yang kita tak boleh capai. Sekurang-kurangnya, kita tidak perlu lagi bergantung kepada secawan kopi seawal 8 pagi sambil menahan mata yang masih sembab. Namun, bagi ramai individu autistik, kenikmatan dari tidur yang cukup itu mungkin hadir satu dalam seratus malam? Sangat misteri bukan?

Mari dalami mengapa tidur boleh menjadi cabaran yang besar kepada individu autistik bersama Minda Inklusif minggu ini!

Tidur bukan Sekadar Tidur: Apa Yang Boleh Menjadikan Tidur Mencabar?

Tidur merupakan proses yang penting. Ia ibarat butang ‘reset’ untuk otak manusia. Bayangkan otak kita seperti telefon bimbit. Tanpa tidur yang cukup, kita akan cepat kehabisan ‘bateri’. Hasilnya, badan terasa lemau dan perlahan. Tidur yang berkualiti penting untuk semua orang kerana ia:

  1. Membantu mengawal emosi
  2. Meningkatkan fokus dan daya ingatan
  3. Menyokong kawalan impuls
  4. Meningkatkan keupayaan merancang dan membuat keputusan

Namun bagi individu autistik, tidur boleh menjadi sebuah cabaran yang berterusan. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan tidur mereka bukan sekadar sukar, malah terasa seperti mengharungi taufan setiap malam:

Kekeliruan Melatonin & Ritma Sirkadian (Circadian Rhythm)

  • Melatonin adalah hormon yang dihasilkan oleh otak apabila ia menerima isyarat bahawa keadaan sudah gelap, petanda bahawa tiba masanya untuk tidur. Bagi individu autistik, melatonin tidak terhasil pada waktu yang ‘normal’ dan kadangkala hormon ini juga tidak dihasilkan dalam jumlah yang mencukupi untuk membantu mereka tidur dengan lena.
  • Individu autistik juga mengalami perubahan ritma sirkadian (circadian rhythm) yang tidak seiring dengan siang dan malam. Seperti anda berada di Malaysia tetapi badan bekerja di zon waktu Eropah.

Sensitiviti Deria

  • Ramai individu autistik mempunyai tahap sensitiviti deria yang tinggi terhadap rangsangan seperti cahaya, bunyi, tekstur dan bau. Rangsangan ini boleh mengganggu mereka untuk mendapatkan tidur yang cukup dan lena.
  • Ketika hendak tidur, bunyi kipas, bunyi jam berdetik atau kain cadar yang gatal boleh menyebabkan individu autistik berasa gelisah sepanjang malam dan menyukarkan mereka untuk tidur.

Resah dan Sukar untuk Bersantai

  • Ramai individu autistik mengalami tahap keresahan yang tinggi. Otak mereka tidak mempunyai suis ‘OFF’, menyebabkan mereka sukar untuk berasa tenang dan tidur.
  • Individu autistik yang cenderung kepada rutin dan persekitaran yang boleh diramal akan merasa cemas dan tidak dapat tidur, walaupun sangat penat, apabila berlaku perubahan tempat tidur. Contohnya, tidur di rumah nenek ketika pulang beraya di kampung.

Gangguan Tidur

  • Individu autistik sering mengalami gangguan tidur seperti berjalan dalam tidur, mimpi ngeri atau bercakap dalam tidur (lebih dikenali sebagai mengigau di Malaysia).
  • Selain itu, mereka juga mungkin mengalami gangguan lain seperti sindrom kaki resah, yang menyebabkan kaki terasa seolah-olah bergerak dengan sendirinya ketika tidur. Lebih daripada itu, gangguan fasa tidur REM, iaitu fasa yang sangat penting bagi meningkatkan daya ingatan, juga boleh berlaku dan menyukarkan mereka untuk mendapatkan tidur yang berkualiti.

Fahami Individu dan Jangan Menilai Mereka

Penting untuk kita faham bahawa tidur berkualiti bukanlah satu kemewahan bagi individu autistik tetapi ia adalah keperluan asas untuk memastikan fungsi harian mereka berjalan lancar. Proses ‘recharge’ setiap malam bagi mereka mungkin lebih sukar dan mereka memerlukan sokongan, serta pemahaman yang lebih inklusif.

Sebagai komuniti inklusif, kita haruslah memainkan peranan dalam menyokong dan menghormati rutin yang telah dibentuk oleh individu autistik dan mengelakkan daripada melabel mereka hanya disebabkan kesukaran dalammendapatkan tidur yang berkualiti. Tidur yang cukup dan berkualiti adalah langkah pertama menuju hari yang lebih baik, untuk semua – termasuk mereka yang hidup dengan autisme.

🌙 Kita bukan saja mengira kambing, tapi juga keperluan dan empati yang kita boleh tawarkan kepada komuniti autistik.

Rujukan:

  1. Richdale AL, Morris EMJ, Lawson LP. Suicidality in Autistic Adolescents and Adults: Sleep the Unexplored Connection? Autism Res. 2025 Mar;18(3):468-475. doi: 10.1002/aur.3306. Epub 2025 Feb 3. PMID: 39901435.
  2. Devnani PA, Hegde AU. Autism and sleep disorders. J Pediatr Neurosci. 2015 Oct-Dec;10(4):304-7. https://doi.org/10.4103/1817-1745.174438. PMID: 26962332; PMCID: PMC4770638.
  3. Sidhu, N., Wong, Z., Bennett, A. E., & Souders, M. C. (2024). Sleep Problems in Autism Spectrum Disorder. Pediatric Clinics, 71(2), 253–268. https://doi.org/10.1016/j.pcl.2024.01.006
  4. Sleep and Autism | National Autistic Society UK
  5. Autism and Sleep | Neurodivergent Insights
  6. Autism and Sleep | Sleep Foundation
  7. Sleep Issues in Autistic Adults | Autism Awareness Australia

Langgan Newsletter

Baca blog lain:

Client #1
Client #1@ADHDAssesment
It's very meaningful to me to finally get the proper diagnosis after struggling throughout my life. I feel validated during the session. The diagnosis, strategies and sharing did help me in navigating my life further. Thank you 🙂
Client #2
Client #2@MentalHealthConsultation
Adila makes me think that what i currently doing (by putting boundaries) is the right choice. i'm glad to hear that she said it's good i did that. since i thought what i did was wrong and constantly feeling guilty. now i feel kinda relieve. i kinda see a lil bit of light at the end of my tunnel. thanks adila.
Client #3
Client #3@MentalHealthScreening
The session went really good. Coming from a psychology major, I already am familiar with the terms and things that were being discussed, but the therapist explained in a very simple manner that's easy to understand that I feel like clients would be able to know themselves better through the session.