Jatuh Cinta dengan ADHD: Chaos Tapi Comel

Apabila kita memikirkan dan menggambarkan ADHD, masyarakat dan mungkin diri kita sendiri selalunya akan terbayang seorang kanak-kanak lelaki yang hiperaktif, melompat ke sana ke mari dalam kelas. Seorang yang sering mengganggu rakan, impulsif, dan pelupa. Gambaran ini sangat tipikal dan telah membentuk pemahaman umum terhadap kondisi ADHD. Namun, seperti yang kita sedia maklum, ADHD tidak hilang begitu sahaja apabila seseorang melangkah ke alam dewasa. Jadi, apakah yang akan berlaku sekiranya budak lelaki yang hiperaktif serta impulsif tadi membesar menjadi seorang lelaki dewasa yang bergelut dengan pekerjaan, mengurus bil setiap bulan, mengimbangi tanggungjawab dan pada masa yang sama cuba menjadi seorang pasangan yang hadir secara emosi?

Hakikatnya, kerana ADHD tidak ditinggalkan di bangku sekolah rendah, ia membesar bersama individu tersebut. ADHD turut ‘matang’, tetapi dalam bentuk yang lebih tersembunyi dan kompleks. Sifat hiperaktif ketika kanak-kanak mungkin berubah menjadi kecenderungan memotong perbualan atau kesukaran menepati tarikh akhir di tempat kerja.

Menariknya, sifat ADHD yang ‘matang’ ini boleh menjadi faktor yang merosakkan atau memperkukuh hubungan peribadi, terutamanya hubungan romantik. Ini kerana hubungan yang sihat memerlukan kehadiran emosi dari kedua-dua pihak. Lelaki dewasa dengan ADHD mungkin bergelut untuk menjadi pasangan seperti yang diharapkan, dan sering berlaku salah faham dalam perhubungan. Entri blog minggu ini bersama Minda Inklusif membincangkan bagaimana ADHD memberi kesan kepada lelaki dewasa, khususnya dalam konteks stereotaip maskuliniti, hubungan peribadi, dan kawalan emosi. Semakin kita faham, semakin besarlah peluang untuk kita menyokong dan mencipta persekitaran yang lebih inklusif dan empatik.

Anda Membesar bersama ADHD

Secara ringkas, seperti yang dijelaskan dalam entri sebelum ini, ADHD ialah gangguan perkembangan neurologi yang menjejaskan fokus, impulsiviti dan kawalan diri. Kebanyakan individu ADHD menerima diagnosis ketika zaman kanak-kanak, namun ramai lelaki dewasa hanya mula menyedari simptom mereka apabila hubungan peribadi terutamanya hubungan romantik, mula mengalami masalah.

Menurut kajian, lelaki ADHD mempunyai tiga kali ganda risiko untuk bercerai atau tidak berkahwin langsung berbanding lelaki neurotipikal. Mereka juga lebih kerap melaporkan tahap kepuasan hubungan yang lebih rendah. Kesukaran ini bukanlah sesuatu yang muncul tiba-tiba, sebaliknya telah bermula sejak zaman kanak-kanak lagi.

Seperti kanak-kanak perempuan, kanak-kanak lelaki yang membesar dengan ADHD juga sering mengalami kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan rakan sebaya. Sifat ADHD yang lebih menonjol seperti impulsif, kerap menyampuk perbualan atau gagal memahami isyarat sosial menyebabkan mereka sering dilabel sebagai ‘budak nakal’. Penolakan sosial ini akan terbawa ke alam dewasa dan mempengaruhi bagaimana mereka melihat diri dalam konteks hubungan. Ramai lelaki ADHD melaporkan bahawa mereka sering rasa “terlalu berlebihan” atau “tidak cukup baik” untuk orang sekeliling.

Beban Keintiman dalam Hubungan Peribadi

Apabila mencapai usia dewasa, simptom ADHD boleh menjejaskan hubungan intim individu dengan secara mendalam. Ini kerana individu ADHD cenderung untuk pelupa, tidak teratur, dan mudah terganggu akibat disfungsi eksekutif. Seperti yang telah dibincangkan pada entri sebelum ini, disfungsi ini menyukarkan mereka untuk memberi fokus penuh dan mengawal impuls. Walaupun tingkahlaku in tidak disengajakan, pasangan individu ADHD mungkin terasa seperti tidak dihargai. Corak ini mempunyai risiko untuk mencetus konflik, rasa kecewa dan paling tidak diingini, risiko menyebabkan hubungan berakhir.

Dalam masa yang sama, lelaki dewasa ADHD seringkali bergelut dengan jangkaan sosial tradisional terhadap maskuliniti iaitu untuk menjadi pencari nafkah yang stabil, tenang secara emosi, dan mampu merancang masa depan. Sifat ADHD yang mengganggu kestabilan kerjaya dan keupayaan individu untuk mengawal emosi pastinya menyebabkan mereka merasakan diri gagal untuk memenuhi peranan yang diharapkan daripada masyarakat atau pasangan sendiri.

Bercinta dengan Lelaki ADHD – Pastinya seperti Rollercoaster!

Bagi lelaki dewasa dengan ADHD, terdapat beberapa corak yang sering muncul dalam hubungan romantik melibatkan lelaki ADHD dewasa. Antaranya:

Kesukaran mengawal emosi – kesukaran mengawal emosi boleh menyebabkan terjadinya letusan kemarahan apabila sering dipendam, disusuli dengan sikap berdiam diri terlalu lama atau kelihatan tidak terlibat secara emosi dalam hubungan. Keadaan ini sudah semestinya akan menjejaskan tahap keintiman hubungan tersebut.

Menurut kajian ADHD, individu dewasa yang mempunyai ADHD dan dalam hubungan yang intim melaporkan tahap stress, kebimbangan dan kemurungan yang lebih tinggi. Kesan emosi dalam hubungan adalah sebuah cabaran besar, kerana emosi bukan sahaja dirasai oleh mereka, malah turut memberi kesan kepada pasangan.

Salah faham dan empati – sifat empati ialah komponen penting dalam membina hubungan yang sihat. Lelaki ADHD dewasa sering bergelut dengan empati emosi dan kognitif, menyebabkan kesukaran untuk memahami perasaan pasangan. Ekspresi wajah dan nada suara yang tidak selari dengan niat sebenar sering mencetus salah faham.

Selain itu, mereka juga mungkin mengalami positive illusory bias—di mana mereka melebih-lebihkan keupayaan diri dalam hubungan, dan percaya mereka sudah mencuba sehabis baik. Jurang antara persepsi diri dan realiti pasangan ini boleh menambahkan tekanan dalam hubungan.

Kecuaian logistik si impulsiviti – disebabkan sifat impulsiviti yang tinggi, individu dewasa lelaki ADHD sering mengalami masalah logistik dalam hubungan. Sifat impulsif ini boleh menjelma dalam bentuk terlambat datang pada janji temu yang dirancang berminggu-minggu, terlupa ulang tahun, atau hilang fokus semasa berbual kerana terganggu oleh sesuatu yang lain (seperti ternampak permainan arked). Bagi lelaki ADHD, kegagalan logistik seperti ini sering muncul dalam bentuk yang sukar dijelaskan, sekali gus menyukarkan mereka mempertahankan diri.

Dunia Cinta yang Mempunyai Potensi Kucar-Kacir

Jadi, adakah bercinta atau memulakan hubungan dengan lelaki dewasa ADHD akan mengucar-kacirkan hidup anda? Kemungkinan besar, ya! Tapi jangan jadikan ini penghalang untuk anda mempunyai pasangan dan hubungan yang bermakna.

Cinta boleh berkembang walaupun fungsi eksekutif anda hanya duduk di kerusi penumpang dalam kereta kehidupan. Sama ada anda mempunyai ADHD atau anda menyayangi seseorang yang mengalaminya, ingatlah: hubungan bukanlah tentang ‘membaiki’ sesiapa. Ia tentang saling memahami dan berkembang bersama. Walaupun kadang-kadang marah bila anda ditinggalkan di restoran untuk makan malam kerana pasangan anda tersalah melihat kalendar.

Seperti ADHD, cinta tidak mempunyai skrip dan jalan cerita yang tetap. Dan mungkin kerana itulah ia begitu istimewa ❤️

Jika anda memerlukan sokongan dan panduan sebagai individu dengan ADHD, Minda Inklusif sedia untuk membantu anda. Daftarkan temujanji untuk mendapatkan konsultasi bersama terapis kami di Minda Inklusif sekarang.

Rujukan:

  1. Ersoy, M. A., & Topçu Ersoy, H. (2015). Gender-Role Attitudes Mediate the Effects of Adult ADHD on Marriage and Relationships. Journal of Attention Disorders, 23(1), 40-50. https://doi.org/10.1177/1087054715618789
  2. Tabor, L.S. (2010). Committed Romantic Relationships in Couples with ADHD: Subtypes, Conflict Resolution and Satisfaction. Unpublished master’s thesis. Appalachian State University, Boone, NC. https://libres.uncg.edu/ir/asu/listing.aspx?id=6990
  3. Anh-Luu T. Huynh-Hohnbaum & S. M. Benowitz (2022) Effects of adult ADHD on intimate partnerships, Journal of Family Social Work, 25:4-5, 169-184, https://doi.org/10.1080/10522158.2023.2165585
  4. Knauer, A. (2020). How Gender And ADHD Traits Affect Romantic Relationships. Unpublished Honors Thesis. Appalachian State University, Boone, NC. https://libres.uncg.edu/ir/asu/listing.aspx?id=32656
  5. Ginapp, C. M., Greenberg, N. R., Macdonald-Gagnon, G., Angarita, G. A., Bold, K. W., & Potenza, M. N. (2023). The experiences of adults with ADHD in interpersonal relationships and online communities: A qualitative study. SSM. Qualitative research in health, 3, 100223. https://doi.org/10.1016/j.ssmqr.2023.100223
  6. Dias, Marissa, “Exploring Love Through a Different Lens – Examining the Intersection of ADHD, Dating Violence, and Perspective-Taking” (2025). Electronic Thesis and Dissertation Repository. 10672. https://ir.lib.uwo.ca/etd/10672

Langgan Newsletter

Baca blog lain:

Client #1
Client #1@ADHDAssesment
It's very meaningful to me to finally get the proper diagnosis after struggling throughout my life. I feel validated during the session. The diagnosis, strategies and sharing did help me in navigating my life further. Thank you 🙂
Client #2
Client #2@MentalHealthConsultation
Adila makes me think that what i currently doing (by putting boundaries) is the right choice. i'm glad to hear that she said it's good i did that. since i thought what i did was wrong and constantly feeling guilty. now i feel kinda relieve. i kinda see a lil bit of light at the end of my tunnel. thanks adila.
Client #3
Client #3@MentalHealthScreening
The session went really good. Coming from a psychology major, I already am familiar with the terms and things that were being discussed, but the therapist explained in a very simple manner that's easy to understand that I feel like clients would be able to know themselves better through the session.