ADHD dan Niat Hostile #1: Kadang Anda Rasa Seperti Diserang Walaupun Sebaliknya

Cuba bayangkan anda sedang berbual dengan bos, kawan atau pasangan anda. Tiba-tiba mereka menyatakan satu komen atau pandangan. Nada mereka kedengaran sedikit pelik., mungkin seperti gurauan, tapi bila anda dengar betul-betul, ada unsur sinis. Otak ADHD anda segera menyalakan siren kecemasan. Dada terasa sesak.

“Dia ni cuba malukan aku ke?”

Sebelum sempat anda berfikir panjang, anda sudah pun memberikan reaksi, mungkin anda menyampuk, suara anda naik, atau anda terus senyap dan tarik diri dari perbualan. Bila emosi reda, anda mula rasa serba salah, mungkin juga malu.

Entri blog minggu ini mengupas tentang Hostile Intent Attribution (HIA) iaitu satu jalan pintas dalam otak ADHD yang sering berlaku tanpa disedari. Ia menjelaskan kenapa salah faham biasa boleh terasa seperti serangan peribadi, dan kenapa sesetengah individu lebih cepat rasa seperti dihina atau tidak dihormati. 

Apa Itu HIA dan Kenapa Ia Penting?

HIA adalah satu bias kognitif yang membuatkan individu mudah menganggap orang lain berniat jahat atau berniat menyakitkan, walaupun tiada bukti begitu. Radar HIA tidak dapat mengesan ancaman sebenar lalu tersilap membaca situasi, dan memberi input bahawa kita sedang diserang yang menyebabkan tubuh kita memberi reaksi untuk “pertahankan diri”.

Mari fahami bagaimana proses HIA ini berlaku, berdasarkan Model Pemprosesan Maklumat Sosial:

  1. Anda perasan tindakan yang ambiguous; contohnya, mesej tidak dibalas, atau nada suara yang kedengaran pelik.
  2. Otak anda terus mentafsir situasi tersebut menggunakan HIA – input daripada otak secara automatik menyatakan situasi tersebut adalah sebuah ancaman atau penghinaan kepada diri anda.
  3. Emosi terus mencanak naik – anda mula rasa marah atau bersifat defensif.
  4. Anda bertindak – mungkin anda telah menaikkan suara kepada mereka atau membalas dengan sindiran.
  5. Reaksi ini mengukuhkan kepercayaan awal yang telah dikaburi oleh HIA seperti “Sah! Dia saja je nak sindir aku hari ini.”

Bila Salah Faham Jadi Ancaman

Kajian mengenai HIA menunjukkan individu yang cenderung kepada agresi relasional (tindak balas agresif yang bersifat sosial seperti menyebar gossip atau mengecualikan diri daripada aktiviti berkumpulan) lebih mudah tersinggung dengan situasi sosial yang ambiguous, seperti tidak dijemput untuk makan tengahari bersama atau lupa membalas mesej dalam group WhatsApp.

Apabila individu rasa seperti dipinggirkan, otak mula membuat andaian negatif. Tindak balas pasif-agresif boleh berlaku tanpa kita sedar. Kajian juga dapati individu dengan HIA yang tinggi mempunyai kecenderungan untuk berasa lebih tertekan dan lebih reaktif apabila berhadapan dengan situasi yang tidak jelas.

Model Pemprosesan Maklumat Sosial menunjukkan bahawa HIA bukan saja muncul selepas berlaku konflik, malah ia juga boleh menjangkakan konflik. Secara ringkas, bila niat orang lain disalah tafsir sebagai jahat, ia akan mencetuskan respon pertahanan. Bila kitaran ini berulang, ia membentuk satu radar ancaman sosial dalam diri. 

ADHD, HIA dan ketidakstabilan Emosi

Regulasi emosi bermaksud keupayaan mengawal bagaimana, sekuat mana, dan berapa lama emosi dirasai. Bagi individu ADHD, seperti yang semua sudah maklum sistem emosi ini boleh diibaratkan seperti mempunyai termostat yang stabil tapi sensornya rosak.

Tanpa sebarang amaran, emosi individu boleh berubah dengan cepat dan drastik. Ini dinamakan emotional lability iaitu perubahan emosi yang cepat dan kadangkala berlebihan, dimana emosi kuat seperti ketawa atau menangis yang sukar dikawal, atau cepat marah boleh berlaku secara tiba-tiba. Ia datang mendadak, kuat dan kemudian hilang semula dengan pantas.

Walaupun menurut kajian, ketidakstabilan emosi bukanlah penyebab utama kepada agresi, tetapi ia juga memainkan peranan penting dalam interaksi sosial. Yang penting bukan emosi itu sendiri, tetapi apa yang berlaku selepas emosi itu muncul.

Mari kita pecahkan mengapa situasi sosial bagi individu dengan ADHD yang juga struggle dengan HIA boleh meletup secara tiba-tiba.

  • Faktor Intrapersonal – individu mempunyai tekanan dalaman yang tinggi, mood tidak stabil atau mengalami keletihan.
  • Faktor Interpersonal – interaksi sosial seperti salah faham boleh mencetuskan respon yang agresif.

Apabila kedua faktor ini bergabung, otak ADHD boleh menafsir situasi yang neutral sebagai provokasi. Kajian ADHD menunjukkan bahawa individu dengan ADHD lebih cenderung untuk tersalah tafsir tingkah laku orang lain seperti mentafsir situasi sebagai sebuah ancaman walaupun ianya tidak begitu. Faktor sosial menjadi trigger utama kepada kitaran HIA.

Inersia Provokasi – Agresi

Adakah anda pernah rasa terganggu secara emosi pada jangka waktu yang lama walaupun konflik yang terjadi sebenarnya kecil dan sudah selesai?  Ini dipanggil sebagai aggression inertia – dimana emosi anda terus ‘berpusing’ di otak walaupun situasi sebenar telah tamat.

Bagi individu dengan ADHD, proses ini boleh berlaku seperti berikut:

  1. Sering mengalami provokasi dan selalu menjangka provokasi seterusnya. Ini seiring dengan perasaan agresif.
  2. Perasaan agresif akan menyebabkan individu lebih mudah ‘nampak’ provokasi yang sebenarnya tidak wujud.
  3. Individu mempunyai kecenderungan agresif kerana mentafsir provokasi menggunakan tafsiran top-down. Otak sudah “set” untuk cari salah orang.

Bila emosi anda belum reda, otak terus membuka radar untuk mencari ancaman dan memberikan signal bahaya walaupun tiada ancaman di sekeliling anda. Simpton ADHD seperti impulsif atau sukar tenang juga boleh menyebabkan reaksi emosi berlarutan lebih lama. Akhirnya, ia memperpanjangkan kitaran aggression inertia.

Individu dewasa dengan ADHD bukan lebih agresif berbanding orang lain. Tetapi kerana mereka lebih lama  ‘terperangkap’ dalam kitaran emosional dan cepat menangkap isyarat sebagai ancaman, mereka kelihatan lebih reaktif.

HIA bukan bermaksud anda seorang yang cepat melenting. Ia cuma bermaksud otak ADHD anda mungkin terlalu peka, dan sentiasa dalam mod ‘berjaga-jaga’. Entri minggu ini adalah tentang kesedaran. Bila kita faham kenapa reaksi itu berlaku, barulah kita boleh ubah bagaimana kita respon.

Tak perlu jadi sempurna. Yang penting, lebih sedar dan lebih bijak guna alat yang betul. Nantikan bahagian kedua mengenai HIA minggu hadapan.

Jika anda memerlukan sokongan dan panduan sebagai individu dengan ADHD, Minda Inklusif sedia untuk membantu anda. Daftarkan temujanji untuk mendapatkan konsultasi bersama terapis kami di Minda Inklusif sekarang.

Rujukan:

  1. Verhoef, R. E. J., Alsem, S. C., Verhulp, E. E., & De Castro, B. O. (2019). Hostile Intent Attribution and Aggressive Behavior in Children Revisited: A Meta-Analysis. Child development, 90(5), e525–e547. https://doi.org/10.1111/cdev.13255
  2. Landrieu, Laurie Claire, “Implicit Bias Toward Students with Attention-Deficit/Hyperactivity Disorder and the Influential Role of Teacher Self-Efficacy” (2024). Dissertations. 1094. https://digscholarship.unco.edu/dissertations/1094
  3. Brown, R. H., Speyer, L. G., Eisner, M. P., Ribeaud, D., & Murray, A. (2023). Exploring the effect of ADHD traits on the moment-to-moment interplay between provocation and aggression: Evidence from dynamic structural equation modeling. Aggressive behavior, 49(5), 469–479. https://doi.org/10.1002/ab.22081

Langgan Newsletter

Baca blog lain:

Client #1
Client #1@ADHDAssesment
It's very meaningful to me to finally get the proper diagnosis after struggling throughout my life. I feel validated during the session. The diagnosis, strategies and sharing did help me in navigating my life further. Thank you 🙂
Client #2
Client #2@MentalHealthConsultation
Adila makes me think that what i currently doing (by putting boundaries) is the right choice. i'm glad to hear that she said it's good i did that. since i thought what i did was wrong and constantly feeling guilty. now i feel kinda relieve. i kinda see a lil bit of light at the end of my tunnel. thanks adila.
Client #3
Client #3@MentalHealthScreening
The session went really good. Coming from a psychology major, I already am familiar with the terms and things that were being discussed, but the therapist explained in a very simple manner that's easy to understand that I feel like clients would be able to know themselves better through the session.