Apabila Minda Tidak Diam: ADHD dan Perangkap Ruminasi

Individu dengan ADHD pastinya sudah biasa dengan aliran pemikiran yang tidak berhenti di dalam otak. Aliran ini melompat dari satu topik ke topik lain dan kadangkala hilang dalam lamunan. Bagaimana jika aliran pemikiran ini bukan sahaja berselerak, tetapi turut membawa anda kepada kebimbangan, penyesalan, atau kekecewaan?

Kitaran berulang yang dipenuhi pemikiran negatif seperti ini dikenali sebagai ruminasi. Kajian menunjukkan terdapat kaitan yang kuat antara ADHD dan ruminasi, iaitu corak pemikiran negatif yang berulang, yang biasanya dikaitkan dengan kebimbangan dan kemurungan. Ruminasi boleh memerangkap individu dalam kitaran pemikiran yang negatif.

Ikuti blog entri Minda Inklusif pada minggu ini untuk meneroka bagaimana ruminasi berlaku, dan bagaimana ia berkait rapat dengan ADHD.

Apa Itu Ruminasi?

Cuba bayangkan otak anda seperti pelayar web – kebanyakan individu boleh menutup tab yang tidak lagi digunakan. Tetapi bagi individu yang mengalami ruminasi, ia seperti tetingkap pop-up yang muncul berulang kali dan tidak boleh ditutup. Akhirnya, ia membuatkan anda tertekan. Anda mungkin tertanya-tanya, apakah perbezaan antara ruminasi dan mind-wandering?

  • Mind-wandering: Proses otak yang berkeliaran secara bebas disebabkan sifat ingin tahu dan kecenderungan membawa idea baru. Dalam konteks ADHD, ia boleh menjadi excessive mind-wandering (EMW) di mana idea dan proses pemikiran sering bertukar dengan cepat, namun tidak semestinya negatif.
  • Ruminasi: Fokus yang berulang dan berterusan terhadap pemikiran atau idea negatif, terutamanya tentang masa lalu atau kegagalan diri.

Jenis-Jenis Ruminasi

Kajian ADHD menjelaskan bahawa individu dengan ADHD cenderung mengalami EMW dan ruminasi. Namun, ruminasi memberikan kesan yang lebih mendalam.

Ruminasi terbahagi kepada dua jenis:

  • Ruminasi Reflektif – pemikiran yang lebih bersifat analitik dan bertujuan untuk memahami emosi serta menyelesaikan masalah.

Contoh: “Apa yang saya boleh lakukan dengan lebih bagus esok?”
  • Ruminasi Brooding (Pasif) – Pemikiran yang membawa kepada perasaan tidak berdaya, kemurungan dan kebimbangan kerana individu memikirkan masalah tanpa tindakan.

Contoh: “Gagal lagi?

Bagi individu dengan ADHD, ruminasi brooding merupakan yang paling sukar untuk dikawal kerana sifat ADHD itu sendiri yang menyukarkan individu untuk memulakan sesuatu tugas, terutamanya apabila tugas tersebut dirasakan mempunyai terlalu banyak langkah. Walaupun kedua-dua jenis ruminasi boleh bersifat reflektif dalam situasi tertentu, individu dengan ADHD cenderung lebih mudah terperangkap dalam ruminasi brooding berbanding ruminasi reflektif.

Apakah Hubungan ADHD dan Ruminasi?

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, ruminasi merupakan gangguan penumpuan yang berlebihan terhadap pemikiran atau idea yang negatif. Kajian mengenai ADHD menunjukkan bahawa individu dengan ADHD mempunyai kecenderungan yang lebih tinggi untuk mengalami ruminasi, terutamanya ketika menghadapi tekanan.

Selain itu, individu yang mempunyai simptom ADHD juga berdepan kesukaran dalam mengawal tumpuan dalaman (pemikiran), yang menyebabkan mereka sukar untuk melepaskan diri daripada pemikiran atau idea yang negatif.

Faktor-faktor yang menyumbang:

  • Disfungsi Eksekutif – Individu dengan ADHD sering bergelut untuk mengalihkan perhatian kepada sesuatu yang baharu kerana kecenderungan untuk hiperfokus. Apabila otak mereka terperangkap dalam pemikiran negatif, amat sukar untuk mereka keluar daripada kitaran tersebut.
  • Disregulasi Emosi – Kesukaran dalam mengurus emosi menjadikan ruminasi lebih berbahaya. Ia boleh meningkatkan dan memburukkan perasaan marah, sedih, atau kecewa, sekali gus menyukarkan kawalan terhadap mood dan kestabilan emosi.
  • Sensitiviti Terhadap Penolakan (RSD) – Ramai individu dengan ADHD mengalami Rejection Sensitivity Dysphoria (RSD), iaitu kepekaan melampau terhadap kritikan atau kegagalan. Situasi ini sering dirasakan seolah-olah dunia mereka runtuh. Proses ruminasi pula membuatkan luka emosi ini berlarutan lebih lama dan mendalam.

Ruminasi > Kebimbangan > Kemurungan: Sebuah Kitaran Yang Bahaya

Sifat ADHD sering dikaitkan dengan masalah disregulasi emosi dan sensitiviti terhadap penolakan. Kajian mengenai kebimbangan dan kemurungan menunjukkan bahawa ruminasi yang berlebihan adalah salah satu faktor risiko utama bagi individu untuk mengalami kebimbangan dan kemurungan. Dalam masa yang sama, kajian tentang ADHD juga mendapati bahawa ruminasi adalah faktor risiko kepada peningkatan pemikiran bunuh diri (suicidal ideation), terutamanya apabila individu berada dalam situasi tekanan yang tinggi. Oleh itu, adalah sangat penting untuk individu mencari cara untuk memecahkan kitaran ruminasi, kerana ia boleh mengganggu kehidupan harian dan seterusnya menyebabkan gangguan seperti:

  1. Sukar menumpukan perhatian dan menyiapkan kerja
  2. Gangguan tidur – kerap memikirkan perkara sama berulang kali pada waktu malam
  3. Pengasingan sosial kerana rasa malu atau kegelisahan yang melampau

Refleksi boleh membantu individu dengan ADHD jika ia datang daripada rasa ingin tahu, bukannya kritikan terhadap diri sendiri. Ini penting kerana dalam konteks ADHD, ruminasi adalah sesuatu yang kompleks. Sebagai contoh:

  • Wanita dengan ADHD cenderung mengalami ruminasi yang boleh memburukkan kemurungan. Namun begitu, ruminasi dalam bentuk refleksi kendiri yang berfokus kepada penyelesaian (solution-focused) boleh menjadi faktor pelindung (protective factor).
  • Golongan muda (young adults) dengan ADHD boleh mendapatkan manfaat daripada ruminasi yang bersifat reflektif dan positif. Sebaliknya, golongan dewasa lebih berusia (older adults) dengan ADHD lebih berisiko untuk terperangkap dalam ruminasi brooding, seperti yang telah dijelaskan sebelum ini.

Anda Bukan Pemikiran Anda

Sekiranya anda bergelut dengan ruminasi sebagai individu dengan ADHD, jangan risau dan jangan takut, kerana anda tidak bersendirian. Ramai individu melalui pengalaman yang sama, dan terdapat beberapa strategi yang boleh dijadikan rutin harian untuk membantu anda mengawal ruminasi.

  1. Kenali Pola Pemikiran Anda – Apabila ruminasi berlaku, anda harus kenali ia sebagai satu corak pemikiran yang tidak membantu kepada anda. Dengan tegas, tanyakan kepada diri sendiri, “Adakah pemikiran ini dapat membantu saya atau akan memerangkap saya?”
  2. Teknik Menghentikan Pemikiran – Apabila anda sedar anda sedang mengalami ruminasi, cuba ganggu coraknya dengan mengatakan “berhenti” kepada diri anda atau bayangkan papan tanda berhenti. Seterusnya, alihkan tumpuan anda kepada aktiviti lain. Dalam masa yang sama, praktikkan belas kasihan terhadap diri sendiri. Ingat, tidak mengapa untuk mengeluarkan pemikiran negatif daripada otak ADHD anda.
  3. Tetapkan “Waktu Bimbang” – Kedengaran seperti pelik kerana mana mungkin individu dapat mengawal berapa lama individu perlu berasa bimbang. Namun rutin ini membantu untuk mengeluarkan anda daripada kitaran ruminasi. Hadkan masa untuk memikirkan perkara yang membimbangkan anda sebagai contoh, 10 minit sehari dah kemudian fokus kepada aktiviti lain.

Ruminasi adalah cabaran tersembunyi yang boleh memburukkan simptom ADHD dan mengganggu kehidupan seharian. Namun, dengan kesedaran, strategi yang betul, serta sokongan, anda boleh mengawal semula pemikiran anda dan mengurangkan kesan negatif terhadap kesejahteraan psikologi anda. Paling penting, ketahuilah bahawa anda tidak bersendirian dalam perjuangan ini. Bantuan sentiasa tersedia, asalkan anda sudi menghulurkan tangan dan mencari sokongan.

Jika anda memerlukan sokongan dan panduan sebagai individu dengan ADHD, Minda Inklusif sedia untuk membantu anda. Daftarkan temujanji untuk mendapatkan konsultasi bersama terapis kami di Minda Inklusif sekarang.

Rujukan:

  1. Kandeğer, A., Odabaş Ünal, Ş., Ergün, M. T., & Yavuz Ataşlar, E. (2023). Excessive mind wandering, rumination, and mindfulness mediate the relationship between ADHD symptoms and anxiety and depression in adults with ADHD. Clinical psychology & psychotherapy, 10.1002/cpp.2940. Advance online publication. https://doi.org/10.1002/cpp.2940
  2. Toda, S., Tsushima, S., Takashio, O., Kikuchi, M., Ohta, H., Nagasawa, T., Iwanami, A., & Ohashi, Y. (2024). The repressed life of adult female patients with mild ADHD. Frontiers in psychiatry, 15, 1418698. https://doi.org/10.3389/fpsyt.2024.1418698
  3. Tamura, T., Takagi, S., Takahashi, H. et al. The role of self-rumination and self-reflection in depressive symptoms among individuals with attention-deficit/hyperactivity disorder traits. Sci Rep 15, 3920 (2025). https://doi.org/10.1038/s41598-025-88303-x
  4. Fredrick, J. W., Kofler, M. J., Jarrett, M. A., Burns, G. L., Luebbe, A. M., Garner, A. A., Harmon, S. L., & Becker, S. P. (2020). Sluggish cognitive tempo and ADHD symptoms in relation to task-unrelated thought: Examining unique links with mind-wandering and rumination. Journal of psychiatric research, 123, 95–101. https://doi.org/10.1016/j.jpsychires.2020.01.016
  5. Becker, S. P., & Barkley, R. A. (2021). Field of daydreams? Integrating mind wandering in the study of sluggish cognitive tempo and ADHD. JCPP advances, 1(1), e12002. https://doi.org/10.1111/jcv2.12002

Langgan Newsletter

Baca blog lain:

Client #1
Client #1@ADHDAssesment
It's very meaningful to me to finally get the proper diagnosis after struggling throughout my life. I feel validated during the session. The diagnosis, strategies and sharing did help me in navigating my life further. Thank you 🙂
Client #2
Client #2@MentalHealthConsultation
Adila makes me think that what i currently doing (by putting boundaries) is the right choice. i'm glad to hear that she said it's good i did that. since i thought what i did was wrong and constantly feeling guilty. now i feel kinda relieve. i kinda see a lil bit of light at the end of my tunnel. thanks adila.
Client #3
Client #3@MentalHealthScreening
The session went really good. Coming from a psychology major, I already am familiar with the terms and things that were being discussed, but the therapist explained in a very simple manner that's easy to understand that I feel like clients would be able to know themselves better through the session.