Kategori ADHD: Hiperaktif-Impulsif

ADHD adalah sebuah gangguan neuroperkembangan yang muncul sejak zaman kanak-kanak dan ia berterusan sehingga dewasa. Antara kategori utama ADHD ialah hiperaktif-impulsif. Kategori ini dicirikan dengan pergerakan berlebihan, impulsif iaitu kecenderungan untuk bertindak tanpa pertimbangan lanjut dan kesukaran mengawal diri. Memahami gejala-gejala untuk semua kategori ADHD amatlah penting untuk pengurusan diri individu ADHD yang efektif. Artikel ini akan fokus kepada gejala utama ADHD jenis hiperaktif-impulsif, kesan-kesannya, diagnosis dan pilih rawatan.

Gejala Utama

ADHD jenis hiperaktif-impulsif terkandung dalam 2 dimensi: hiperaktif dan impulsif. Menurut Manual Diagnostik dan Statistik Gangguan Mental (DSM-5), untuk memenuhi syarat diagnosis bagi ADHD kurang tumpuan, seseorang individu kebiasaanya menunjukkan enam atau lebih daripada gejala berikut:

Gejala Hiperaktif
  1. Sentiasa melakukan pergerakan kecil: Individu ini sentiasa mengetuk jari pada sebarang permukaan atau menggoyang badan dan tangan. Ketidakupayaan untuk duduk secara tenang ini boleh muncul dalam pelbagai bentuk dan senario sama ada di sekolah atau di tempat kerja.
  2. Tidak mampu kekal duduk: Kanak-kanak ADHD kebiasaanya gemar meninggalkan tempat duduk mereka di dalam kelas atau dalam mana-mana situasi yang memerlukan mereka untuk kekal duduk. Bagi dewasa ADHD pula kekal duduk di dalam mesyuarat atau sebarang aktiviti tanpa pergerakan yang banyak adalah sukar.
  3. Berlari atau memanjat: Bagi kanak-kanak, perkara ini muncul sebagai kecenderungan untuk berlari atau melompat dan memanjat dalam situasi yang tidak sepatutnya berbuat demikian. Bagi dewasa pula, mereka akan sentiasa ingin melakukan sebarang aktiviti yang aktif atau menarik.
  4. Kesukaran melakukan aktiviti yang tenang: Kesukaran untuk melakukan aktiviti yang perlu duduk diam atau senyap seperti membaca atau menonton filem.
    Bercakap terlalu banyak: Kecenderungan untuk bercakap melebihi orang lain dan kebiasaanya mendominasi perbualan dan kerap mencelah.

Gejala Impulsif
  1. Terlepas cakap: Kesukaran menunggu giliran untuk bercakap yang menyebabkan mereka kerap mengganggu perbualan dan menjawab soalan di dalam kelas tanpa meminta izin guru terlebih dahulu.
  2. Kesukaran menunggu: Tidak gemar menunggu dalam barisan atau menunggu giliran ketika sedang melakukan sebarang aktiviti atau permainan sehingga menyebabkan kekecewaan.
  3. Mencelah dan mengganggu: Menunjukkan ciri-ciri kesedaran rendah tentang batas sosial dengan tabiat mengganggu perbualan atau aktiviti orang lain.
  4. Membuat keputusan terburu-buru: Sifat impulsif boleh membawa kepada pembuatan keputusan yang tidak difikir masak-masak. Sifat ini boleh menyebabkan individu membuat perkara yang berisiko.
    Kebiasaannya individu ADHD mengalami gabungan kedua-dua gejala. Kombinasi ini membuatkan kehidupan harian menjadi mencabar dan memberi kesan pada prestasi akademik, kerjaya dan interaksi sosial.

Contoh-contoh kesan gejala ADHD jenis hiperaktif-impulsif

Cabaran Akademik

Pelajar dengan ADHD hiperaktif-impulsif sering mengalami cabaran yang berikut:

  1. Mengganggu: Kerana gemar berbual dan bergerak, mereka bukan sahaja mengganggu tumpuan sendiri malah mengganggu rakan sekelas yang lain sehingga boleh menjurus kepada tindakan disiplin.
  2. Prestasi yang sering turun naik: Sifat impulsif boleh menjejaskan tumpuan terhadap subjek yang berlainan dan minat untuk belajar.
  3. Gangguan tumpuan: Walaupun sedang melakukan aktiviti yang digemari, mengekalkan fokus adalah cabaran yang besar dan boleh memberi kesan kepada keupayaan untuk menyiapkan tugas atau projek.

Cabaran Di Tempat Kerja

Dewasa dengan ADHD hiperaktif-impulsif mengalami pelbagai cabaran dalam dunia profesional:

  1. Masalah pengurusan: Mereka mungkin bergelut untuk memastikan ruang kerja mereka dalam keadaan kemas atau terurus dan juga bergelut untuk mengurus masa yang boleh menyebabkan terlepas tarikh akhir untuk menyiapkan kerja.
  2. Masalah interpersonal: Sifat impulsif boleh menyebabkan salah faham terutama apabila mereka mencelah atau mendominasi perbualan.
  3. Prestasi kerja: Ketidakupayaan untuk fokus berpanjangan boleh menjejaskan produktiviti dan secara tak langsung memberi kesan pada kemajuan kerjaya.
Cabaran Sosial

Individu ADHD hiperaktif-impulsif mendapati cabaran dalam persahabatan dan hubungan sosial, seperti:

  1. Kekerapan mencelah: Kecenderungan mencelah atau mengganggu boleh menyebabkan kekecewaan bagi rakan-rakan dan keluarga.
  2. Kesukaran mengikuti isyarat sosial: Sifat impulsif boleh menyebabkan kesilapan seperti bercakap secara terlalu kuat di tempat awam.
  3. Perasaan terasing: Disebabkan sifat-sifat di atas, mereka mungkin berasa asing. Ini boleh menyebabkan perasaan rendah diri dan kerisauan melampau.
Perbezaan Jantina

Kajian mendapati ADHD hiperaktif-impulsif boleh muncul secara berlainan dalam kalangan lelaki dan perempuan. Kanak-kanak lelaki lebih cenderung menunjukkan sifat hiperaktif yang amat jelas manakala kanak-kanak perempuan menunjukkan sifat ini secara lebih tersembunyi seperti kecenderungan untuk berangan dan kuat bercakap. Oleh sebab itu, diagnosis dalam kalangan jantina perempuan adalah lebih rendah. Kajian juga mendapati jantina perempuan menghadapi cabaran emosi yang lebih besar disebabkan kesan sosial berpunca dari gejala ADHD mereka.

Diagnosis dan Penilaian

Untuk mendiagnos ADHD hiperaktif-impulsif, penilaian komprehensif amat penting dan perlu dilaksanakan oleh profesional yang berkaitan seperti psikologis klinikal atau psiakiatris. Penilaian biasanya termasuk:

  1. Temuduga klinikal: Pengumpulan maklumat lanjut dari individu yang terlibat dan ibu bapa dan guru sekiranya perlu untuk mengenalpasti sejarah sifat dan tabiat dulu dan juga sekarang.
  2. Senarai tingkah laku: Bahan yang mengandungi senarai semak seperti Skala Penialain ADHD atau Conners Edisi Ketiga boleh membantu penialaian.
  3. Pemerhatian: Pihak profesional kemungkinan akan membuat pemerhatian teliti terhadap individu terlibat (keluarga, guru) dalam pelbagai konteks (di rumah, di sekolah) untuk mengenalpasti gejala.

Diagnosis yang tepat amat penting kerana gejala ADHD hiperaktif-impulsif boleh bertindih dengan gangguan lain seperti gangguan kembimbangan dan gangguan tingkah laku.

Pilihan Rawatan

Mengurus ADHD hiperaktif-impulsif melibatkan kombinasi terapi tingkah laku, ubatan dan perubahan gaya hidup.

Terapi

Terapi kognitif-tingkah laku (CBT) kebiasaannya berguna untuk ADHD hiperaktif-impulsif. CBT fokus kepada:

  • Belajar strategi mengurus diri: CBT mengajar strategi untuk mengurus sifat impulsif dan hiperaktif, termasuk cara-cara untuk memperbaiki fokus dan mengatur diri.
  • Menambah baik kemahiran sosial: Terapi boleh membantu untuk individu mengenalpasti isyarat-isyarat sosial dan membangun kemahiran komunikasi yang lebih efektif.

Terdapat juga jenis-jenis terapi lain yang boleh membantu, rujuk golongan profesional untuk mendapatkan nasihat yang bersesuaian dengan keperluan anda.

Ubatan

Preskripsi ubatan dapat membantu pengurusan gejala di samping terapi. Ubatan stimulan seperti methylphenidate dan amphetamines telah terbukti berkesan untuk mengurangkan tingkah laku hiperaktif dan impulsif. Ubatan bukan stimulan seperti atomoxetine juga boleh membantu terutamanya bagi mereka yang mengalami kesan sampingan dari ubat stimulan.

Perubahan gaya hidup

Selain dari terapi dan ubatan, perubahan gaya juga amat penting untuk memastikan keberkesanan ubat dan terapi:

  • Aktiviti fizikal yang kerap: Rajin melakukan senaman boleh mengurangkan hiperaktif dan menambah fokus.
  • Rutin berstruktur: Penjadualan rutin harian mungkin berkesan untuk mewujudkan struktur hidup yang lebih mudah diurus.
  • Tabiat tidur yang sihat: Memastikan tidur cukup adalah penting kerana keletihan boleh menyebabkan gejala ADHD makin buruk.

Hidup dengan ADHD Tidak Mudah

Individu ADHD bukan individu yang sengaja mementingkan diri atau tidak menghiraukan orang lain. Kelainan otak ADHD sememangnya menyumbang kepada kesukaran untuk mengawal tingkah laku dan tindakan. Kebanyakan individu ADHD membesar dengan perasaan tidak sukakan diri mereka kerana merasa rendah diri dengan diri mereka yang sebenar. Selain daripada pengurusan gejala oleh individu ADHD itu sendiri, persekitaran dan orang sekeliling sangat memainkan peranan untuk membolehkan individu ADHD mencapai kualiti hidup yang baik.

Jika anda rasakan gejala-gejala ADHD ada pada anda sejak kecil atau anda kenali mana-mana individu yang menunjukkan gejala-gejala di atas, hubungi kami untuk dapatkan bantuan lanjut.

Rujukan:

  1. CHADD. (n.d.). Workplace issues. CHADD. Diperoleh dari chadd.org
  2. Mayo Clinic. (n.d.). Adult ADHD – Diagnosis and treatment. Mayo Clinic. Diperoleh dari mayoclinic.org

Langgan Newsletter

Baca blog lain:

Client #1
Client #1@ADHDAssesment
It's very meaningful to me to finally get the proper diagnosis after struggling throughout my life. I feel validated during the session. The diagnosis, strategies and sharing did help me in navigating my life further. Thank you 🙂
Client #2
Client #2@MentalHealthConsultation
Adila makes me think that what i currently doing (by putting boundaries) is the right choice. i'm glad to hear that she said it's good i did that. since i thought what i did was wrong and constantly feeling guilty. now i feel kinda relieve. i kinda see a lil bit of light at the end of my tunnel. thanks adila.
Client #3
Client #3@MentalHealthScreening
The session went really good. Coming from a psychology major, I already am familiar with the terms and things that were being discussed, but the therapist explained in a very simple manner that's easy to understand that I feel like clients would be able to know themselves better through the session.