“Bagi saya, rasanya seperti kehilangan sebahagian daripada diri sendiri… seakan-akan kehilangan anggota badan atau sebahagian jiwa. Saya rasa orang ramai sering meremehkan betapa dalamnya kehilangan itu.”
Peserta Kajian Bunuh Diri Tweet
Bunuh diri bukanlah hanya tragedi bagi individu tersebut tetapi ia adalah masalah kesihatan awam yang serius dan menjejaskan berjuta individu di seluruh dunia (WHO, 1999). Setelah seseorang individu meninggal disebabkan bunuh diri, keluarga atau pewaris pasti akan mengalami impak kehilangan yang besar. Bukan mudah untuk berdepan dengan berita kehilangan ini. Kajian menunjukkan 6 sehingga 8 orang sekeliling akan mendapat kesan yang mendalam akibat kes bunuh diri (Bland, 1994). Bagi setiap nyawa yang hilang, puluhan individu lain akan terkesan dengan kesedihan, trauma dan juga stigma. Memahami kesejahteraan psikologi kumpulan yang terkesan dengan kehilangan akibat bunuh diri adalah penting untuk membantu pemulihan individu dan juga pencegahan bunuh diri.
Kehilangan adalah sebuah situasi dimana individu telah mengalami kehilangan selalunya melalui kematian pasangan, ahli keluarga atau rakan dan kenalan rapat. Manakala, kehilangan datang dengan kesedihan dimana ianya adalah reaksi emosi, sosial dan fizikal terhadap kehilangan. Kesedihan adalah sebuah proses berterusan dan bukanlah emosi tunggal yang akan hilang.
Tidak semua individu yang mengalami kehilangan akibat kematian atau bunuh diri akan menunjukkan kesedihan secara jelas. Kebanyakkan individu mempunyai daya tahan diri untuk menyesuaikan diri tanpa menunjukkan tekanan di mata kasar kita. Namun, kehilangan akibat bunuh diri seringkali mencetuskan bentuk kesedihan yang rumit. Sempena Bulan Pencegahan Bunuh Diri, ikuti blog Minda Inklusif untuk memahami bagaimana kehilangan akibat bunuh diri boleh memberikan impak yang besar terhadap individu serta bagaimana kita boleh menyokong mereka.
Bunuh diri adalah kematian yang mendadak, boleh disifatkan sebagai ganas dan seringkali mengejutkan. Kadangkala, bunuh diri telah dirancang namun masih bersifat mengejutkan buat individu terdekat mereka. Pewaris individu akan dihantui pelbagai persoalan yang tidak akan terjawab, trauma diatas kehilangan dan juga beban stigma sosial daripada masyarakat sekeliling. Tidak seperti kematian semula jadi, kehilangan akibat bunuh diri acapkali akan didatangi dengan perasaan malu, menyalahkan diri sendiri dan mengasingkan diri daripada masyarakat (pengasingan sosial).
Kajian mengenai bunuh diri menyatakan bahawa pewaris kehilangan akibat bunuh diri mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding individu lain untuk mengalami masalah kesihatan fizikal dan mental. Ini termasuk kemurungan, PTSD, suicidal ideation, dan peningkatan kadar kematian selepas kehilangan orang tersayang. Pewaris juga mempunyai risiko untuk menolak masyarakat, mempunyai harga diri yang rendah serta rasa bersalah atau rasa diri sebagai satu kegagalan.
Mengalami kehilangan akibat bunuh diri adalah beberza daripada jenis kehilangan lain. Berikut adalah cabaran dan reaksi pewaris dalam proses kehilangan akibat bunuh diri:
"Kalau lah aku nampak tanda-tanda dan dengar apa yang dia cuba luahkan. Kenapa aku gagal tolong dia?"
"Oh Along pergi dulu sebab tak sayang kita ke?"
Pewaris kehilangan akibat bunuh diri ialah sesiapa sahaja yang terkesan secara mendalam atas kehilangan seperti ibubapa, adik-beradik, pasangan, rakan, rakan sekerja atau sekelas, jiran atau bahkan sesiapa sahaja yang mempunyai hubungan bermakna bersama si mati. Ramai daripada kita tersilap menganggap istilah ini hanya terpakai kepada ahli keluarga. Istilah ini terpakai kepada semua yang mempunyai hubungan dan terkesan dengan kehilangan.
Keluarga adalah komuniti kecil yang paling dekat dengan si mati. Apabila dalam proses kehilangan, kebanyakkan ibubapa menghakimi diri sendiri. Selain itu, adik-beradik berkemungkinan akan rasa terpinggir kerana tumpuan diberikan terhadap kesedihan ibu bapa yang sedang mengalami kehilangan anak dan sedang berkabung. Jika sudah berkahwin dan mempunyai anak-anak, mereka juga berkemungkinan untuk mengalami perasaan ketakutan setelah ditinggal dan akan takut sekiranya perkara ini berlaku lagi kepada orang yang mereka sayang.
Pasangan yang ditinggalkan akibat bunuh diri pasti akan merasakan kehilangan yang berganda, kehilangan dan masa depan bersama. Berbanding dengan ahli keluarga terdekat lain, pasangan si mati mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk mengalami kemurungan, kebimbangan yang tinggi, gangguan mood serta gangguan tidur.
Kehilangan rakan adalah salah satu bentuk kehilangan yang paling terpinggir dan sunyi kerana mereka hanyalah kawan dalam hierarki kesedihan. Penafian dan pengabaian terhadap rasa kehilangan mereka seterusnya menafikan hak dan akses kepada proses kehilangan dan berkabung serta pengiktirafan terhadap kehilangan tersebut.
Menurut seorang peserta kajian bunuh diri, beliau menggambarkan hubungan persahabatan sebagai keluarga pilihan.
“Bagi saya, rasanya seperti kehilangan sebahagian daripada diri sendiri… seakan-akan kehilangan anggota badan atau sebahagian jiwa. Saya rasa orang ramai sering meremehkan betapa dalamnya kehilangan itu.”
Mereka juga mendapati diri mereka berkabung dalam kesunyian tanpa unit keluarga bersama untuk menumpang rasa kesedihan.
Rakan sekerja mungkin sangat terkesan tetapi sering diharap untuk kembali bekerja seperti biasa apabila melalui kehilangan akibat bunuh diri. Dalam persekitaran pekerjaan yang rapat seperti pasukan kesihatan, pewaris yang merupakan rakan sekerja mempunyai risiko yang tinggi untuk mengalami tekanan emosi dan trauma akibat kehilangan tersebut.
Di sekolah, kehilangan rakan sekelas akan memberikan kesan yang mendalam kepada rakan sebaya mereka dan remaja mempunyai risiko peningkatan penularan bunuh diri. Pihak sekolah adalah entiti yang perlu bersiap-sedia untuk sebarang tindak balas murid sekiranya berlaku kehilangan akibat bunuh diri.
Kehilangan pesakit akibat bunuh diri boleh dianggap sebagai kegagalan profesional dan peribadi. Cabaran professional kesihatan adalah unik kerana tanpa sokongan, mereka mungkin mengalami “burnout” atau meninggalkan bidang kerjaya. Menurut kajian (Castelli Dransart et al., 2017), hanya satu pertiga daripada pakar psikiatri pernah menerima latihan untuk menghadapi kehilangan disebabkan bunuh diri walaupun mereka mempunyai risiko yang tinggi untuk kehilangan pesakit akibat bunuh diri sepanjang kerjaya. Kesedihan mereka seringkali tidak diiktiraf, dirumitkan oleh perasaan takut seperti tindakan undang-undang, rasa ragu terhadap kebolehan diri sendiri dan juga keletihan akibat pekerjaan.
Proses berkabung selepas kehilangan akibat bunuh diri tidak sama dengan bentuk kehilangan lain. Semua pewaris akibat kehilangan ini akan mengalami kehilangan yang mengejut dan emosi yang kompleks untuk memproses kehilangan yang mungkin akan meninggalkan kesan yang berpanjangan.
Pewaris kehilangan memerlukan lebih daripada sekadar kata-kata cliché, mereka memerlukan pemahaman, pengiktirafan terhadap kesedihan dan kehilangan dan juga sokongan. Seperti yang dinyatakan oleh seorang peserta kajian bunuh diri,
“Mungkin kita perlu buang tanda petikan pada perkataan ‘hanya’ [dalam ‘hanya seorang kawan’] dan mengakuinya sebagaimana adanya. Ia adalah hubungan yang mendalam, ikatan emosi. Ia tidak memerlukan label selain itu.”
Jika anda memerlukan sokongan dan panduan bagi memproses kehilangan orang yang anda sayang, Minda Inklusif sedia untuk membantu anda. Psikologis klinikal dan kaunselor kami bersedia untuk beri anda ruangan yang selamat dan memberikan sokongan kepada anda melalui khidmat sesi intervensi psikoterapi atau kaunseling.
⚠️ Penafian (Disclaimer):
Maklumat yang dikongsi dalam blog ini adalah untuk tujuan pendidikan dan kesedaran sahaja. Ia tidak menggantikan nasihat, diagnosis, atau rawatan daripada pakar kesihatan mental yang bertauliah. Jika anda atau individu yang anda kenali sedang bergelut dengan pemikiran untuk mencederakan diri atau bunuh diri, sila dapatkan bantuan segera.
📞 Talian Krisis: Rujuk talian krisis di SINI.
We believe those with ADHD can thrive, lead, create, and redefine what success looks like — and we are here to walk that journey with you.