““Saya mempunyai masalah untuk mengawal kemarahan saya, emosi saya juga sering tidak stabil!"
Peserta Kajian ADHD dan Seorang Ibu Tweet
Cuba bayangkan anda sedang berdiri di dapur, namun anda langsung tidak ingat mengapa anda berada di situ. Peti sejuk terbuka, ada pisang separuh dimakan di atas meja, anak anda sedang menyanyi lagu tentang dinosaur dengan suara yang kuat, dan—oh! Bukan ke ada baju dalam mesin basuh? Telefon anda berdering, tetapi di mana telefon anda?
Selamat datang ke dunia keibuan. Bayangkan anda menambah ADHD dalam perjalanan keibuan ini, dunia anda akan tiba-tiba bertukar menjadi pertandingan gimnastik mental tahap Olimpik yang bakal berlangsung setiap hari, bahkan setiap saat!
Apabila anda hamil, segala yang anda tahu tentang ADHD boleh berubah. Kenapa? Hormon, tekanan, dan kehilangan ubat yang selama ini membantu anda berfungsi, semuanya akan berubah. Cara anda melihat dan merasi situasi anda juga akan terus berubah, terutamanya apabila anda terkejar-kejar untuk menyiapkan anak ke sekolah dan pada masa yang sama perlu menyediakan sarapan buat mereka.
Bersiaplah, kerana entri Minda Inklusif minggu ini akan membawa anda menyelami realiti kehidupan apabila ADHD bertemu dengan keibuan; sebuah perjalanan yang pastinya penuh dengan cabaran, tetapi juga dihiasi dengan keindahan.
Fasa kehamilan bagi wanita dengan ADHD boleh menggoyangkan dunia mereka yang selama ini sudah biasa mengurus ADHD dan mengambil ubat untuk mengawalnya. Ketika hamil, kebanyakan wanita dengan ADHD disarankan oleh doktor untuk menghentikan pengambilan ubat ADHD buat sementara waktu. Ini menyebabkan mereka terpaksa menjadi pemandu utama otak mereka sendiri, yang sudah tentunya sukar untuk mengawal fungsi eksekutif tanpa bantuan, dan kini, mereka juga harus melalui simptom kehamilan seperti emosi yang tidak stabil dan masalah ingatan bagi membesarkan seorang manusia kecil di dalam perut.
Hormon utama iaitu hormon estrogen, yang meningkat secara mendadak semasa kehamilan memainkan peranan penting dalam mengawal fungsi otak. Sebuah fakta menarik menurut kajian, wanita yang tidak hamil memerlukan sekurang-kurangnya 150 tahun untuk menghasilkan jumlah estrogen yang sama seperti wanita yang sedang hamil dalam tempoh 9 bulan! Ini menunjukkan betapa mencabarnya pengalaman seorang wanita ketika mereka sedang hamil.
Seperti yang dinyatakan di atas, wanita yang sedang hamil akan mengalami simptom seperti masalah ingatan dan kesukaran untuk kekal fokus. Paras hormon estrogen yang tinggi boleh menjejaskan kekuatan kognitif. Bagi wanita dengan ADHD, ini seperti berada di dalam kabus tebal tanpa jalan pintas untuk keluar.
Salah satu cabaran utama sebagai seorang ibu dengan ADHD adalah mempunyai emosi yang berlebihan. Anda mungkin merasakan lonjakan emosi dari 0 ke 100 apabila anda melihat anak anda menumpahkan susu di lantai. Jangan risau, anda tidak berseorangan dalam menghadapi cabaran ini.
Bagi individu dewasa dengan ADHD, pengawalan emosi merupakan salah satu cabaran utama. Bagi ibu dengan ADHD pula, lonjakan emosi, perubahan mood dan kehilangan kawalan terhadap emosi boleh menjadi pengalaman yang menakutkan.
Seorang peserta kajian ADHD yang juga seorang ibu berkongsi:
“Saya mempunyai masalah untuk mengawal kemarahan saya, emosi saya juga sering tidak stabil!”
Apabila anda telah masuk ke alam keibuan, tekanan pastinya akan meningkat. Sedangkan kehidupan seharian yang biasa juga mempunyai tekanan, apatah lagi setelah melangkah ke alam keibuan, pasti tekanan menjadi semakin bertambah. Ibu dengan ADHD mempunyai kecenderungan untuk berasa cepat marah dengan keadaan sekeliling dan mengeluarkan kata-kata atau pendapat tanpa berfikir dan akhirnya menyesali perbuatan tersebut.
Jangan sedih! Jangan risau, anda sudah pastinya tidak berseorangan dalam hal ini. Langkah pertama adalah untuk memahami perubahan diri anda dan emosi yang datang dengannya. Seterusnya, barulah anda boleh fokus kepada pengurusan emosi, supaya anda boleh menjadi ibu yang lebih bahagia!
Anda mungkin pernah mendengar istilah ‘mom brain’ di mana seorang ibu merasa keliru, pelupa, dan sukar untuk fokus ketika menguruskan hal-hal rumah tangga. Kajian menunjukkan bahawa ibu yang telah bersalin dan wanita hamil mempunyai skor ingatan yang lebih rendah serta kelajuan memproses maklumat yang lebih perlahan berbanding wanita yang tidak hamil.
Selain masalah ingatan, wanita dengan mom brain dan ADHD juga sering mengalami masalah kebimbangan dan kemurungan akibat perasaan yang sering berbolak dan tidak menentu dalam kehidupan seharian. Bagi sesetengah ibu dengan ADHD, mereka mempunyai pemikiran yang bercelaru dan sering berasa takut untuk melanggar norma sosial yang telah ditetapkan ke atas wanita. Ini menyebabkan mereka merasa lebih tertekan dan dalam sesetengah kes, ia boleh mengganggu perkara-perkara penting seperti pemakanan, yang amat diperlukan oleh ibu yang sedang hamil.
Seorang ibu dengan ADHD menyatakan:
“Saya rasa orang akan melihat saya sebagai ibu yang tidak bertanggungjawab. Saya bimbang jika saya mempunyai anak, orang akan berkata, ‘Dia sendiri tak dapat uruskan diri, bagaimana dia nak jaga anak?”Menjalani kehidupan sebagai seorang ibu yang mempunyai ADHD mungkin penuh dengan kekeliruan dan kekacauan. Ada hari-hari di mana anda mungkin rasa seperti seorang supermom yang mampu menyelesaikan masalah, menyiapkan anak-anak, dan menguruskan rumah tangga tanpa sebarang masalah, semuanya dalam sekelip mata. Namun, ada juga hari di mana anda rasa lemah dan tidak dapat menghindari taufan yang sedang datang, kerana kerja-kerja yang tak pernah habis.
Tetapi inilah hakikatnya kalau anda adalah seorang ibu dengan ADHD: ANDA MENCUKUPI DAN ANDA MAMPU.
Keluarga dan anak anda tidak memerlukan seorang ibu yang sempurna. Mereka memerlukan anda – seorang manusia yang unik, tabah, yang memiliki kekuatan dan kelemahan tersendiri.
Dunia mungkin melihatnya sebagai kekacauan, tetapi bagi keluarga anda? Anda adalah keajaiban.
Jika anda memerlukan sokongan dan panduan sebagai wanita dengan ADHD, Minda Inklusif sedia untuk membantu anda. Daftarkan temujanji untuk mendapatkan konsultasi bersama terapis kami di Minda Inklusif sekarang.
We believe those with ADHD can thrive, lead, create, and redefine what success looks like — and we are here to walk that journey with you.