“Saya tidak akan berterus terang tentang apa yang saya mahu sampaikan… dan saya tidak memproses maklumat (input) serta merta. Saya juga tidak meneruskan perbualan… lalu bergerak pergi.”
Peserta Kajian ADHD Tweet
ADHD bukan sekadar diagnosis, tetapi juga melibatkan dinamik hubungan, pusaran emosi dan kadang-kadang ketidaktentuan yang menguji kesabaran. Apabila ADHD menjadi sebahagian daripada hubungan perkahwinan, ia boleh terasa seperti menaiki roller coaster; mengujakan namun memeningkan. Dengan memahami cabaran ini, pasangan dapat mengubah cabaran menjadi peluang untuk menjadi lebih rapat.
Mari ikuti blog ini untuk mengetahui bagaimana ADHD memberi impak kepada individu yang sudah berkahwin.
ADHD tidak akan hilang apabila individu menginjak dewasa. Ia akan terus wujud dan muncul dalam kehidupan seharian, dengan gejala seperti pelupa, tindakan dan pemikiran yang impulsif, serta kesukaran dalam pengurusan diri dan hal-hal sekeliling. Bagi pasangan individu dengan ADHD, cabaran ini sering mencetuskan perbualan dan perasaan yang mengecewakan, seperti “Kenapa awak tak beritahu saya tentang perkara ini?” atau “Awak kata awak akan buang sampah… semalam!”
Kajian menunjukkan bahawa hubungan perkahwinan bersama pasangan yang mempunyai ADHD sering kali menghadapi tahap konflik dan ketidakpuasan yang lebih tinggi. Hubungan ini sering dicirikan sebagai salah faham dan jangkaan yang tidak dipenuhi. Kajian juga mendapati bahawa individu dengan ADHD cenderung mempunyai persepsi yang lebih negatif tentang hubungan mereka berbanding pasangan mereka. Hal ini boleh dijelaskan sebagai ketidakselarasan kognitif (cognitive dissonance), yang seterusnya boleh menyebabkan peningkatan ketegangan dalam hubungan tersebut.
Konflik dalam perkahwinan antara pasangan dan individu dengan ADHD sering timbul akibat perbezaan tahap kefungsian masing-masing. Individu dengan ADHD sering bergantung kepada pasangan mereka untuk membuat keputusan, seperti keputusan kewangan, demi mengekalkan keharmonian keluarga. Keadaan ini menyebabkan pasangan yang tidak mempunyai ADHD merasa wujudnya ketidakseimbangan dalam pembahagian tanggungjawab, yang akhirnya mencetuskan konflik dalam hubungan mereka.
Jika ADHD mempunyai slogan, mungkin ia adalah, “Rasakan semua perasaan dan rasakan dengan mendalam”. Emosi yang diperbesarkan boleh menjadikan hidup penuh dengan keterujaan, namun pada masa yang sama, ia juga boleh menjadi sangat meletihkan. Satu saat, ada tawa dari kesilapan yang lucu. Saat berikutnya, ada air mata yang mengalir disebabkan komen dan tingkah laku yang disalah tafsir. Ia seperti membintangi drama dimana anda adalah watak utama. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna hubungan tersebut akan gagal. Dengan mengakui peranan ADHD, individu dengan ADHD dan pasangan boleh mencipta sistem dan strategi untuk mengurus cabaran bersama, mengubah apa yang mungkin kelihatan seperti halangan kepada peluang untuk mewujudkan hubungan yang lebih mendalam.
Daripada menentang perubahan emosi ini, pasangan boleh belajar untuk mengalir bersama arus. Mengakui bahawa intensiti emosi tersebut adalah sebahagian daripada pakej ADHD dapat membantu mengalihkan fokus daripada saling menyalahkan kepada usaha bersama, menjadikannya satu perjuangan bersama, bukan perjuangan individu semata-mata. Ini membuka ruang bagi pasangan untuk memberikan tindak balas yang penuh empati.
Tip: Fokus kepada kekuatan anda sebagai seorang individu dengan ADHD. Beritahu secara verbal kepada pasangan anda akan tugas yang anda rasa yakin dan mampu untuk anda lakukan. Begitu juga dengan emosi, sekiranya anda mempunyai perasaan tidak selesa, sedih atau gembira, anda harus zahirkan dan luahkan perasaan tersebut. Individu lain tidak dapat memahami emosi anda sekiranya anda tidak berusaha untuk mengekspresikan emosi anda.
Melalui sebuah kajian mengenai cabaran yang dihadapi oleh pasangan yang mempunyai ADHD adalah:
“Saya tidak akan berterus terang tentang apa yang saya mahu sampaikan… dan saya tidak memproses maklumat (input) serta merta. Saya juga tidak meneruskan perbualan… lalu bergerak pergi.”
Komunikasi yang jelas adalah talian hayat dalam mana-mana perkahwinan, tetapi apabila ADHD menjadi sebahagian daripada kerangka perkahwinan anda, komunikasi menjadi gabungan seni dan sains. Ketidaksefahaman dalam berkomunikasi sering berlaku apabila salah seorang pasangan menghadapi masalah pelupa atau mudah terganggu. Namun, jangan berputus asa! Sistem seperti berkongsi kalendar, aplikasi, atau menggunakan nota lekat yang penuh di peti sejuk boleh menjadi penyelamat hubungan.
Kuncinya bermula dengan menyedari adanya salah faham dalam komunikasi dan berani bersemuka untuk membincangkannya secara terbuka. Jangan berselindung demi menjaga hati pasangan, kerana mereka perlu tahu agar kerjasama dapat dipermudah dan perselisihan faham dapat dielakkan. Menghadapi masalah dengan cara terbuka adalah salah satu teknik untuk membina hubungan yang lebih sihat
Berdasarkan sebuah kajian, contoh salah faham dalam komunikasi bagi individu dengan pasangan ADHD adalah seperti berikut;
“Saya rasa kalau dia bercakap menggunakan 5 perkataan, mungkin saya tidak akan rasa keliru? Dia selalu bercakap terlalu panjang dan saya selalu akan salah faham akan maksud disebaliknya!”
Tip: Sekiranya anda mempunyai kesukaran untuk berkomunikasi secara verbal, tinggalkan sticky notes kepada pasangan anda di tempat yang pasti dia akan lihat. Jadikan sebagai satu kebiasaan, ia mungkin boleh menjadi love letter kepada pasangan anda.
Menjalani kehidupan dengan simptom ADHD adalah sesuatu yang tidak boleh diramal dan sejujurnya, ianya kadang-kadang lucu. Mungkin individu akan memakai kasut yang tidak sepadan ke tempat kerja, atau terpaksa menyantap bijirin sarapan sebagai makan malam kerana tiada siapa yang ingat untuk membeli barangan dapur. Momen-momen ini mungkin membuatkan anda menggelengkan kepala, tetapi mereka juga boleh mengundang ketawa jika anda menghadapi momen-momen ini dengan hati yang terbuka.
Dalam situasi yang selalunya tidak dirancang dan sering kali aneh kepada anda dan pasangan anda, humor adalah ramuan rahsia perkahwinan bagi anda yang mempunyai ADHD. Berkongsi gelak tawa bersama bukan sahaja meredakan ketegangan tetapi juga dapat memupuk hubungan yang lebih intim sebagai pasangan. Apabila anda ketawa bersama, anda menghantar mesej: “Kita bersama-sama dalam perkara ini, tidak kira betapa kucar-kacir keadaannya.”
Humor juga dapat mengurangkan tekanan seperti yang dinyatakan dalam sebuah kajian, yang mendapati bahawa pasangan yang ketawa bersama lebih bersedia untuk menguruskan tekanan dalam hubungan. Kajian lanjut menunjukkan bahawa humor merangsang pembebasan endorfin, iaitu bahan kimia semula jadi yang memberikan kesan positif kepada tubuh, sekali gus membantu pasangan merasa lebih dekat walaupun berdepan cabaran.
Jadi, apabila kekacauan ADHD berlaku lagi, tarik nafas panjang dan cari sisi lucu. Hubungan anda akan berterima kasih kepada anda!
Mengemudi simptom dan tingkah laku ADHD dalam perkahwinan bukanlah tentang mengejar kesempurnaan, tetapi tentang perkongsian yang memerlukan kesedaran serta usaha bersama sebagai pasangan. Ia melibatkan proses belajar bersama, ketawa bersama, dan mencari strategi yang sesuai untuk dinamik hubungan yang unik antara anda dan pasangan. Selain itu, adalah penting untuk menghargai setiap pencapaian, tidak kira sekecil manapun, serta sentiasa memberi sokongan antara satu sama lain, terutama dalam menghadapi hari-hari yang penuh cabaran.
Jadi jalanilah kehidupan anda seperti sedang menikmati konsert rock yang tidak berakhir—penuh dengan getaran, kejutan, walau sesekali perlu untuk pakai penyumbat telinga. Perkahwinan adalah pentas di mana setiap cabaran adalah peluang untuk mempersembahkan duet yang lebih harmoni. Ingat, setiap kekacauan ada kelucuan, dan setiap konflik adalah peluang untuk saling memahami. Jadi, apabila kehidupan dengan ADHD mula menjadi siri komedi romantik spontan, gelak lah dengan sepenuh hati.
Adakah anda dan pasangan sedang mencari jalan untuk menyempurnakan ‘konsert’ perkahwinan anda? Biar Minda Inklusif membantu! Dengan perkhidmatan kami, anda akan belajar teknik komunikasi yang berkesan, strategi pengurusan simptom ADHD, dan cara mengekalkan keseimbangan dalam hubungan. Jangan tunggu lagi—jadikan perkahwinan anda lebih inklusif dan penuh kasih sayang dengan Minda Inklusif! ✨🎸📝
Let’s start this journey together. Jumpa kami di Minda Inklusif dan lihat bagaimana kami boleh membantu anda menari bersama irama ADHD dalam perkahwinan!
We believe those with ADHD can thrive, lead, create, and redefine what success looks like — and we are here to walk that journey with you.