Dunia Pertindihan AuDHD: Autisme dan ADHD

Disebabkan perbezaan dalam kriteria diagnostik, ADHD dan Autisme (ASD) sering dianggap sebagai dua keadaan neuro-perkembangan yang berasingan tanpa kaitan antara satu sama lain. Namun, kajian mengenai ADHD dan Autisme menunjukkan bahawa seseorang boleh mempunyai kedua-dua keadaan ini secara serentak yang dikenali sebagai AuDHD.

Sempena dengan Bulan Kesedaran Autisme, ikuti entri Minda Inklusif untuk meneroka dengan lebih mendalam kerumitan AuDHD, terutamanya dalam kalangan dewasa serta bagaimana pertindihan simptom boleh berlaku.

Kelaziman AuDHD dalam Populasi

Dalam kajian mengenai komorbiditi neuroperkembangan dan masalah psikiatrik, kehadiran ADHD dalam kalangan individu dengan Autisme (ASD) telah banyak direkodkan. Menurut kajian, 38.5% individu dengan ASD di seluruh dunia mempunyai ADHD, dan kajian meta-analisis ini mendedahkan bahawa statistik ini adalah 6 kali ganda lebih tinggi berbanding populasi umum, yang hanya sekitar 7.2%.

  • Kanak-kanak dengan ASD pada awalnya hanya menunjukkan 4.5% simptom ADHD. Namun, mereka mempunyai risiko 30 kali ganda untuk didiagnosis dengan ASD selepas berumur 6 tahun, manakala;

  • Dalam kalangan remaja yang mempunyai ASD, lebih daripada 16% ibu bapa melaporkan kewujudan simptom ADHD pada anak mereka.

  • kadar ADHD dalam kalangan kanak-kanak ASD yang berusia 6 hingga 17 tahun meningkat kepada 47.8%, berbanding kadar yang lebih rendah dalam kalangan bayi dengan ASD.

Perbezaan kehadiran simptom ADHD dalam individu adalah kerana terdapat pengaburan diagnostik (diagnostic overshadowing) di mana ciri-ciri ASD dalam individu mampu menutup simptom ADHD atau sebaliknya. Faktor ini memainkan peranan penting dalam mengukur kekerapan kehadiran simptom ADHD dalam individu dengan ASD.

Sebagai contoh, hiperaktiviti seorang kanak-kanak mungkin dianggap sebahagian daripada ciri-ciri autisme, yang seterusnya melambatkan sokongan yang diperlukan untuk ADHD. Selain itu, apabila kanak-kanak membesar, mereka mungkin mengatasi sifat hiperaktiviti, dan simptom ADHD seperti kurang tumpuan akan menjadi lebih ketara di sekolah.

Sementara itu, bagi individu dewasa dengan ASD, sebanyak 22.4% direkodkan mempunyai ADHD. Dalam kalangan individu dewasa yang mendapatkan rawatan pesakit luar di hospital, 42.6% daripada mereka didapati mempunyai komorbiditi ADHD. Walaupun angka ini kelihatan agak tinggi, ia memberi impak yang signifikan terhadap fungsi individu dalam kehidupan seharian.

Diagnosis AuDHD: Adakah Rumit?

Mendapatkan diagnosis AuDHD dan mengenal pasti simptomnya bukanlah sesuatu yang mudah. Disebabkan terdapat pertindihan simptom antara ASD dan ADHD, ramai individu mengalami kelewatan dalam mendapatkan diagnosis yang tepat. Kajian mendapati bahawa diagnosis ASD adalah 1.8 kali lebih lambat bagi kanak-kanak yang didiagnosis ADHD terlebih dahulu, kerana sifat hiperaktif boleh menutup simptom ASD atau autisme. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan proses diagnosis AuDHD menjadi lebih mencabar, antaranya:

  1.  Masking & Salah Diagnosis – Kanak-kanak autistik (ASD) sering meniru rakan sebaya dalam interaksi sosial bagi menyesuaikan diri. Mereka juga kerap melakukan mirroring, iaitu meniru tindakan, corak pertuturan, atau tingkah laku orang di sekeliling mereka. Namun, simptom sebenar akhirnya akan muncul apabila impulsiviti ADHD “mendedahkan” ciri-ciri autisme mereka, dan mereka tidak lagi mampu menyesuaikan diri.
  2.  Bias Diagnosis Jantina – Wanita sering mengalami kelewatan dalam mendapatkan diagnosis AuDHD kerana wujudnya stereotaip jantina, di mana inattentive ADHD sering dianggap sebagai sifat pemalu.

     

Memahami Pertindihan AuDHD

ADHD dan autisme berkongsi faktor genetik, neurologi dan kognitif yang sama. Kajian terhadap pasangan kembar menunjukkan bahawa pertindihan simptom antara ASD dan ADHD disebabkan oleh faktor genetik yang serupa.

Walaupun AuDHD mempengaruhi bagaimana fungsi kognitif, kemahiran eksekutif dan interaktif sosial, ia berbeza mengkikut keadaan dan simptom individu. Ini adalah gambaran bagaimana AuDHD berinteraksi:

  1.  Fungsi Eksekutif – ADHD dicirikan oleh impulsiviti, hiperaktif, dan kesukaran untuk menumpukan perhatian (inattention), manakala bagi individu autistik mereka akan mengalami kesukaran untuk mengalihkan fokus atau menyesuaikan diri dengan maklumat atau rangsangan baru. Individu dengan ADHD pula akan mengalami kesukaran untuk mengekalkan perhatian dan mengawal impuls mereka. Namun, defisit fungsi eksekutif adalah lebih meluas dalam kalangan individu dengan ADHD dan cenderung berterusan dalam pelbagai aspek kehidupan. Inattentive

    ADHD merupakan jenis ADHD yang paling kerap berlaku dalam komorbiditi ASD. Walau bagaimanapun, simptom hiperaktif tetap dapat dilihat dalam individu dengan AuDHD.

  2. Cabaran Sosial – individu autistik mempunyai kesukaran resiprositi sosial, iaitu pemahaman terhadap norma sosial yang tidak dinyatakan (silent social cues), lantas menyebabkan cabaran dalam berkomunikasi. Bagi individu dengan ADHD pula, cabaran sosial lebih berkaitan dengan impulsiviti, seperti menyampuk perbualan atau bercakap secara berlebihan. Aspek cabaran sosial bagi AuDHD pula, mungkin menyebabkan individu mempunyai kesukaran untuk membina hubungan jangka panjang (sebagai contoh; persahabatan). Individu autistik cenderung kurang bermotivasi untuk bersosial, manakala individu ADHD mudah lupa dan bertindak secara impulsif. Individu dengan AuDHD sering mempunyai keinginan untuk mengekalkan hubungan yang stabil tetapi berdepan cabaran disebabkan sifat resah, mudah bosan, dan kesukaran mengawal impulsiviti. Kajian menunjukkan bahawa individu AuDHD lebih cenderung mengalami kesukaran sosial berbanding individu yang hanya mempunyai ASD atau ADHD sahaja.

  3. Regulasi Emosi dan Tingkah Laku – ADHD dan autisme kedua-duanya melibatkan cabaran dalam mengawal emosi. Individu dengan ADHD cenderung mengalami ketidakstabilan emosi, termasuk ledakan kemarahan yang impulsif serta kesukaran mengawal perasaan kecewa. Manakala, individu autistik akan mengalami ‘meltdown’ (tindak balas luar biasa yang disebabkan situasi tertekan), ‘shutdown’ (isolasi diri atau menghindar) dan kesukaran untuk menyatakan emosi secara lisan. Lantas, menurut kajian, individu AuDHD mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk disregulasi emosi seperti letusan tantrum, kebimbangan serta mudah marah berbanding dengan individu yang hanya mempunyai satu daripada keadaan neuro-perkembangan ini. Selain itu, bagi kanak-kanak AuDHD yang mempunyai kelewatan bahasa – mereka mempunyai kecenderungan untuk mempamerkan pola tingkah laku yang menentang dan melawan (oppositional behaviors).

  4. Perbezaan Pemprosesan Sensori – Individu autistik mempunyai kepekaan sensori yang lebih tinggi berbanding individu neurotipikal, seperti mudah terganggu oleh bunyi kuat atau cahaya terang. Sebaliknya, individu dengan ADHD cenderung mencari rangsangan sensori, seperti keperluan untuk sentiasa bergerak bagi mengekalkan fokus dan mengawal tenaga mereka. Bagi individu dengan AuDHD, mereka mempunyai kecenderungan gabungan, di mana mereka mungkin lebih sensitif terhadap rangsangan tertentu tetapi pada masa yang sama sentiasa mencari lebih banyak input sensori.

Keunikan dan Kompleksiti AuDHD yang Warna-Warni

Pengalaman neuro-perkembangan AuDHD kaya dengan keunikan dan kelebihannya yang tersendiri. Walaupun individu dengan AuDHD mungkin mengalami kekeliruan, mereka juga memiliki perspektif luar biasa yang sering terlepas pandang oleh orang lain. Meskipun terdapat cabaran dalam kehidupan harian, seperti kesukaran dalam fungsi eksekutif dan interaksi sosial, anda tidak perlu bimbang. Dengan sokongan yang tepat serta pemahaman yang lebih mendalam mengenai diri sendiri, anda boleh berkembang dan menjadi individu yang luar biasa. Individu dengan AuDHD berpotensi untuk berkembang dalam dunia neurodivergen dan menyumbang kepada masyarakat dengan cara yang unik dan bermakna!

Dunia ini lebih menarik dengan kepelbagaian pemikiran yang dimiliki oleh individu AuDHD! 🚀

Jika anda memerlukan sokongan dan panduan sebagai individu dengan AuDHD, ADHD atau ASD, Minda Inklusif sedia untuk membantu anda. Daftarkan temujanji untuk mendapatkan konsultasi bersama terapis kami di Minda Inklusif sekarang.

Rujukan:

  1. Panagiotidi, M., Overton, P.G. and Stafford, T. (2019) Co-occurrence of ASD and ADHD traits in an adult population. Journal of Attention Disorders, 23 (12). pp. 1407-1415. ISSN 1087-0547 https://doi.org/10.1177/1087054717720720
  2. Hours, C., Recasens, C., & Baleyte, J. M. (2022). ASD and ADHD Comorbidity: What Are We Talking About?. Frontiers in psychiatry, 13, 837424. https://doi.org/10.3389/fpsyt.2022.837424
  3. Groom, M. J., Kochhar, P., Hamilton, A., Liddle, E. B., Simeou, M., & Hollis, C. (2017). Atypical Processing of Gaze Cues and Faces Explains Comorbidity between Autism Spectrum Disorder (ASD) and Attention Deficit/Hyperactivity Disorder (ADHD). Journal of autism and developmental disorders, 47(5), 1496–1509. https://doi.org/10.1007/s10803-017-3078-4
  4. Antshel, K. M., & Russo, N. (2019). Autism Spectrum Disorders and ADHD: Overlapping Phenomenology, Diagnostic Issues, and Treatment Considerations. Current psychiatry reports, 21(5), 34. https://doi.org/10.1007/s11920-019-1020-5
  5. Rong, Y., Yang, C.-J., Jin, Y., & Wang, Y. (2021). Prevalence of attention-deficit/hyperactivity disorder in individuals with autism spectrum disorder: A meta-analysis. Research in Autism Spectrum Disorders, 83, Article 101759. https://doi.org/10.1016/j.rasd.2021.101759
  6. Polderman, T. J., Hoekstra, R. A., Posthuma, D., & Larsson, H. (2014). The co-occurrence of autistic and ADHD dimensions in adults: an etiological study in 17,770 twins. Translational psychiatry, 4(9), e435. https://doi.org/10.1038/tp.2014.84

Langgan Newsletter

Baca blog lain:

Client #1
Client #1@ADHDAssesment
It's very meaningful to me to finally get the proper diagnosis after struggling throughout my life. I feel validated during the session. The diagnosis, strategies and sharing did help me in navigating my life further. Thank you 🙂
Client #2
Client #2@MentalHealthConsultation
Adila makes me think that what i currently doing (by putting boundaries) is the right choice. i'm glad to hear that she said it's good i did that. since i thought what i did was wrong and constantly feeling guilty. now i feel kinda relieve. i kinda see a lil bit of light at the end of my tunnel. thanks adila.
Client #3
Client #3@MentalHealthScreening
The session went really good. Coming from a psychology major, I already am familiar with the terms and things that were being discussed, but the therapist explained in a very simple manner that's easy to understand that I feel like clients would be able to know themselves better through the session.