ADHD dalam Individu Dewasa: Satu Individu, Pelbagai Diri

“Sebelum saya di diagnosis, saya berjaya mencapai banyak perkara yang mungkin dianggap cukup baik oleh orang lain. Namun, saya rasa hidup saya tidak setara dengan potensi diri saya…Jadi, kebanyakan orang yang melihat saya mungkin akan berkata ‘Wah, itu cukup hebat,’ tetapi ia tidak penting bagi saya.”

Apabila kita bercakap tentang ADHD dalam kalangan individu dewasa, ramai mungkin membayangkan seorang staff pejabat yang kelihatan kucar-kacir, sering terlupa dimana dia letakkan mug kopi, atau individu yang sering termenung semasa mesyuarat penting. Walaupun gambaran ini ada benarnya, hakikatnya ADHD adalah jauh lebih rumit, terutamanya apabila kita meneroka konsep ketidakselarasan diri (self-discrepancy)

Apa itu Ketidakselarasan Diri (Self-Discrepancy)

Ketidakselarasan diri (self-discrepancy) boleh diibaratkan seperti pertarungan dalaman antara diri ideal anda (diri yang bangun jam 5 pagi, bersenam, dan merancang makanan seminggu lebih awal) dengan diri sebenar anda (diri yang masih memakai baju tidur pada waktu tengah hari, tertanya-tanya “bolehkah kopi dianggap sebagai makanan tengah hari?”). Untuk orang dewasa dengan ADHD, jurang ini boleh terasa seperti jurang yang sukar untuk dirapatkan.

Mari mengenali apa itu ketidakselarasan diri melalui Teori Ketidakselarasan Diri oleh pengkaji bernama Higgins yang menerangkan bagaimana ketidaksesuaian ini boleh menyebabkan tekanan emosi kepada individu. Teori ini menyatakan bahawa kualiti dan jenis tekanan yang dialami seseorang bergantung kepada jenis ketidakselarasan yang mereka hadapi antara “diri-diri” (diri ideal, diri sebenar dan diri seharusnya) mereka. Higgins mentakrifkan tiga domain utama diri:

  • Diri Sebenar: Sifat-sifat yang anda percaya anda miliki sekarang.
  • Diri Ideal: Sifat-sifat yang anda (atau orang lain) ingin anda miliki secara ideal.
  • Diri Seharusnya: Sifat-sifat yang anda (atau orang lain) percaya anda patut miliki.


Aspek diri yang ditakrifkan oleh Higgins berinteraksi dengan dua perspektif: 

  1. Sudut pandangan diri sendiri; dan
  2. Sudut pandangan orang yang penting dalam hidup individu.


Hasil interaksi daripada dua perspektif berbeza tersebut, maka terjadilah pembentukan konsep diri individu, yang juga mempengaruhi cara mereka melakukan interaksi sosial. Ketidakselarasan antara “diri-diri” di atas, contohnya, antara “diri sebenar” dan “diri seharusnya” akan menentukan jenis tekanan yang bakal dialami individu.

Salah satu jenis ketidakselarasan diri yang berlaku ialah ketidakselarasan pandangan antara diri sebenar dan diri seharusnya — perkara amat biasa dalam naratif seorang dewasa yang mempunyai ADHD. Interaksi antara kedua-dua diri ini merujuk kepada konflik dalam bagaimana individu melihat diri mereka (diri sebenar) dan piawaian yang mereka rasa perlu capai menurut konteks sosial dan komuniti (diri seharusnya).

Setelah memahami konsep ketidakselarasan diri, mari kita lihat bagaimana ia berkait rapat dengan pengalaman individu dewasa yang hidup dengan ADHD.

ADHD dan Tekanan Mematuhi Piawaian: Diri Sebenar vs Diri Seharusnya

Individu dewasa dengan ADHD akan mengalami banyak tekanan yang tidak hanya terhad kepada perkara yang jelas berlaku disebabkan simptom dan tindakan ADHD, tetapi juga tentang hidup dalam masyarakat yang memuja produktiviti dan konsistensi. Jelas di sini, ianya bukanlahsepenuhnya disebabkan oleh ADHD. Terdapat beberapa perbualan yang berkemungkinan didengar oleh individu dewasa dengan ADHD daripada masyarakat, yang mencetuskan interaksi tegang antara diri sebenar dan diri seharusnya:

  • “Weh kau bijaklah, bayangkan apa yang boleh dicapai kalau kau berusaha lebih keras!”
  • “Semua orang bergelut untuk jadi orang yang teratur; cuba kau pakai Trello ke, letak dalam Google Calendar ke.”

 

Jangkaan kumpulan masyarakat seperti ini mencipta apa yang dipanggil “perangkap ketidakselarasan diri.” Individu dewasa dengan ADHD mungkin kerap membandingkan diri mereka dengan rakan sebaya yang neurotipikal. Perbuatan membandingkan diri sendiri dengan rakan sebaya akan menyebabkan individu merasakan dirinya tidak mencukupi dan malu, seperti yang telah diterangkan di blog sebelum ini. 

Dari sudut perspektif perubatan, seperti yang dibincangkan oleh pengkaji yang telah menyentuh konsep ketidakselarasan diri, terdapat pendapat bahawa individu akan mengalami kegagalan untuk memenuhi potensi diri. Kegagalan ini menyebabkan “diri sebenar” sering bergelut untuk memenuhi jangkaan “diri seharusnya” dalam usaha mencapai diri yang ideal.

Perspektif perubatan ini juga menyumbang kepada hakikat bahawa ramai individu dewasa dengan ADHD tidak dapat menerima rawatan yang sewajarnya, yang sebenarnya boleh membantu mereka mengembangkan potensi diri. Selain itu, kajian mendapati bahawa ketidakselarasan diri sukar untuk dikenalpasti, terutamanya dalam kalangan individu dewasa dengan ADHD.

 

Bagaimana Manifestasi Ketidakselarasan Diri dalam Kehidupan Sebenar Individu dengan ADHD?

Seorang peserta kajian ADHD menggambarkan ketidakselarasan diri dalam kehidupannya dan bagaimana beliau berjaya menghindari terperangkap dalam perangkap ketidakselarasan diri, seperti yang berikut:

"Sebelum saya di diagnosis, saya berjaya mencapai banyak perkara yang mungkin dianggap cukup baik oleh orang lain. Namun, saya rasa hidup saya tidak setara dengan potensi diri saya…Jadi, kebanyakan orang yang melihat saya mungkin akan berkata ‘Wah, itu cukup hebat,’ tetapi ia tidak penting bagi saya. Tiada apa yang penting. Semua itu sebenarnya bergantung kepada apa yang anda rasa…Tiada cabaran yang lebih besar daripada mempunyai potensi diri yang tinggi, seperti mempelajari bagaimana memanfaatkan potensi itu untuk meningkatkan kelebihan diri sendiri. Saya rasa saya lebih keras terhadap diri saya sepanjang hidup saya berbanding kebanyakan orang."

Pengalaman peserta kajian ADHD ini memberi gambaran bahawa individu dewasa dengan ADHD sering mempunyai ekspektasi diri yang ideal dan tinggi, namun kadangkala gagal mengenal pasti kekuatan diri mereka. Keadaan ini menyebabkan pelbagai aspek dalam diri mereka bergelut untuk menghasilkan output yang selaras dengan ekspektasi tersebut.

Perjuangan dalaman yang dialami oleh individu dewasa dengan ADHD, seperti perasaan ‘tidak cukup baik’ walaupun pencapaian luaran menunjukkan sebaliknya, adalah sama seperti yang digambarkan oleh peserta kajian ini. Kisahnya menonjolkan bagaimana persepsi diri, dan bukannya pengesahan luaran, sering menjadi sumber tekanan utama bagi individu dengan ADHD yang bergelut dengan konflik dalaman.

Menulis Semula Naratif Ketidakselarasan Diri dalam Kehidupan Individu ADHD

Masalah ketidakselarasan diri bagi individu dewasa dengan ADHD bukan sekadar sebuah jurang, tetapi lebih merupakan rasa malu yang menyelubungi mereka. Masyarakat sering menggambarkan bahawa menjadi berbeza daripada orang lain adalah satu masalah. Namun, bagaimana jika kita menukar naratif tersebut? Sebagai seorang individu dewasa dengan ADHD, apakah langkah yang boleh anda ambil?

  • Menerima Kehuru-haraan Diri: Daripada memaksa diri untuk mengekalkan dan mengikuti rutin yang ketat, anda perlu membina sistem fleksibel yang sesuai dengan cara otak ADHD anda berfungsi. Sistem ini harus menyokong anda, bukannya membebankan anda
  • Raikan Kemenangan Kecil: Anda ingat untuk menyiram pokok hari ini? Itu adalah satu kemenangan!
  • Takrifkan Semula Produktiviti: Produktiviti bukan sekadar menandakan kotak pada senarai tugasan. Ia juga memberitahu kita bahawa kita sudah menyiapkan sesuatu tugasan. Lebih daripada itu, ia memberitahu bagaimana kita dapat menjalani kehidupan seharian yang bermakna. Dan tidak dilupakan, kerja anda semua sudah selesai!

 

Selain itu, anda juga boleh mengurangkan jurang ketidakselarasan diri yang berlaku dalam otak ADHD anda dengan berlaku baik terhadap diri sendiri.

Beritahu diri anda hari ini: ‘Saya telah lakukan yang terbaik, dan itu adalah satu pencapaian yang sangat bagus untuk hari ini.

 

Kehidupan yang Huru-Hara tetapi Bermakna

Kehidupan dengan ADHD sebagai individu dewasa ibarat melayari hidup dengan meriam glitter di tangan anda; terasa kacau bilau dan penuh cabaran, tetapi penuh warna.

Jadi, jika anda mendapati diri anda sedang merenung jurang antara siapa anda dan siapa anda rasa anda ‘sepatutnya’ jadi, ingat ini: Dunia memerlukan orang yang berfikir secara berbeza, yang melihat keindahan dalam kekacauan, dan yang menjadikan hidup lebih menarik. Terimalah otak ADHD anda—seperti biasa, otak anda tidak rosak; ia hanya berfungsi sedikit berbeza.

Lagipun, siapa yang mahu menjadi “normal” apabila anda boleh menjadi luar biasa? Mari mulakan temujanji bersama Minda Inklusif untuk lebih memahami tentang diri anda dan bagaimana anda boleh menggunakan aspek ADHD untuk mempunyai kehidupan yang lebih bermakna.

Rujukan:

  1. Terchek, J. J. (2013). ADHD and Self-Discrepancy: The Social Construction of ADHD in Adulthood [Doctoral dissertation, Case Western Reserve University]. OhioLINK Electronic Theses and Dissertations Center. http://rave.ohiolink.edu/etdc/view?acc_num=case1363604180
  2. Pedersen, A. B., Edvardsen, B. V., Messina, S. M., Volden, M. R., Weyandt, L. L., & Lundervold, A. J. (2024). Self-Esteem in Adults With ADHD Using the Rosenberg Self-Esteem Scale: A Systematic Review. Journal of attention disorders, 28(7), 1124–1138. https://doi.org/10.1177/10870547241237245
  3. “Has ADHD Warped Your Sense of Self? It’s Time to Reclaim Your Story — and Power.” | ADDITUDE
  4. Faraone, S. V., Kunwar, A., Adamson, J., & Biederman, J. (2009). Personality traits among ADHD adults: implications of late-onset and subthreshold diagnoses. Psychological medicine, 39(4), 685–693. https://doi.org/10.1017/S0033291708003917
  5. Beaton, D.M., Sirois, F. & Milne, E. Self-compassion and Perceived Criticism in Adults with Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD). Mindfulness 11, 2506–2518 (2020). https://doi.org/10.1007/s12671-020-01464-w
  6. An ADHD diagnosis in adulthood comes with challenges and benefits | American Psychological Association

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Langgan Newsletter

Baca blog lain:

Client #1
Client #1@ADHDAssesment
Read More
It's very meaningful to me to finally get the proper diagnosis after struggling throughout my life. I feel validated during the session. The diagnosis, strategies and sharing did help me in navigating my life further. Thank you 🙂
Client #2
Client #2@MentalHealthConsultation
Read More
Adila makes me think that what i currently doing (by putting boundaries) is the right choice. i'm glad to hear that she said it's good i did that. since i thought what i did was wrong and constantly feeling guilty. now i feel kinda relieve. i kinda see a lil bit of light at the end of my tunnel. thanks adila.
Client #3
Client #3@MentalHealthScreening
Read More
The session went really good. Coming from a psychology major, I already am familiar with the terms and things that were being discussed, but the therapist explained in a very simple manner that's easy to understand that I feel like clients would be able to know themselves better through the session.
Previous
Next
× Available on SundayMondayTuesdayWednesdayThursdayFridaySaturday