Memahami Neurobiologi ADHD: Apa Sebenarnya yang Berlaku di dalam Otak?

Kajian kembar dan kajian keluarga menganggarkan bahawa sekitar 70–80% variasi ciri ADHD dipengaruhi oleh faktor genetik.

Apabila kita mendengar tentang “ADHD,” kita sering terfikir tentang tingkah laku seperti: mudah terganggu, resah, impulsif, dan pelupa. Namun di sebalik tingkah laku tersebut, terdapat sesuatu yang jauh lebih kompleks dan menarik untuk difahami, iaitu biologi otak ADHD.

Seperti yang sering kami tekankan dalam blog sebelum ini, ADHD bukan berpunca daripada sikap malas, didikan ibu bapa yang buruk, atau kurang disiplin. Ia juga bukan sekadar akibat “terlalu banyak melihat skrin”.

ADHD ialah satu keadaan perkembangan saraf yang melibatkan perubahan pada tahap sistem. Ia merangkumi struktur dan kesinambungan rangkaian otak, sistem kimia otak, corak tidur, pemakanan, serta kesihatan vaskular. ADHD bukan seperti satu wayar otak yang “putus”; sebaliknya ia adalah otak yang berkembang mengikut pelan tindakan (blueprint) yang berbeza daripada kebanyakan individu lain.

Blog Minda Inklusif pada minggu ini adalah mengenai biologi otak ADHD. Mari kita selami bersama.

Pelan Tindakan Otak ADHD (Blueprint): Genetik dan Persekitaran

ADHD muncul daripada gabungan kompleks antara kerentanan genetik dan pengaruh persekitaran.

  • ADHD Boleh Diwarisi: Kajian kembar dan kajian keluarga menganggarkan bahawa sekitar 70–80% variasi ciri ADHD dipengaruhi oleh faktor genetik. Ini bermakna seseorang individu mempunyai kemungkinan lebih tinggi untuk mempunyai ADHD jika terdapat ahli keluarga yang mempunyai ciri-ciri ADHD.
  • Poligenik: Melalui kajian neurobiologi, kita tidak menemukan satu gen tunggal yang boleh dipanggil sebagai “gen ADHD”. Sebaliknya, terdapat ratusan atau ribuan variasi genetik kecil yang, apabila bergabung, boleh meningkatkan kemungkinan seseorang individu menunjukkan ciri-ciri ADHD.
  • Persekitaran sebagai Pencetus: Genetik mungkin menetapkan julat kemungkinan, tetapi persekitaran membantu membentuk bagaimana ADHD berkembang. Faktor seperti merokok atau pengambilan alkohol semasa kehamilan, kelahiran pramatang, serta pendedahan kepada toksin seperti plumbum atau racun perosak tertentu boleh berinteraksi dengan risiko genetik.

Secara mudah, genetik boleh diibaratkan seperti pistol yang telah diisi peluru, manakala persekitaran bertindak sebagai picu. Kedua-duanya tidak berfungsi secara bersendirian, tetapi saling berinteraksi.

Struktur Otak: Bagaimana Otak Berkembang Secara Berbeza

Kajian neuroimaging menunjukkan bahawa ADHD sering dikaitkan dengan kelewatan kematangan kortikal. Ini termasuk perkembangan ketebalan korteks yang lebih perlahan, kelewatan proses pemangkasan sinaptik (synaptic pruning — proses membuang sambungan saraf yang tidak diperlukan), serta perubahan dalam perkembangan jirim putih (white matter), iaitu sistem “pendawaian” otak.

Perbezaan garis masa perkembangan ini sering melibatkan beberapa bahagian otak tertentu:

  • Korteks Prefrontal (PFC): Bahagian ini sering digelar sebagai “CEO” otak kerana peranannya dalam memori kerja, perancangan, membuat keputusan, dan menahan impuls. Dalam ADHD, kelewatan perkembangan di kawasan ini boleh menyebabkan kesukaran menahan gangguan atau menyusun tingkah laku ke arah matlamat jangka panjang.
  • Ganglia Basal (Basal Ganglia): Kawasan ini terlibat dalam kawalan pergerakan, pembentukan tabiat, dan pemprosesan ganjaran. Perubahan dalam isipadu kawasan ini serta isyarat dopamin membantu menjelaskan hiperaktif fizikal dan kesukaran mengekalkan usaha apabila ganjaran tidak datang dengan segera.
  • Serebelum (Cerebellum): Selain menyokong koordinasi pergerakan, serebelum juga memainkan peranan dalam menjangka masa (timing) dan jangkaan kesilapan. Perkembangan yang kurang matang di kawasan ini boleh menyumbang kepada kesukaran menganggarkan masa dan mengurus kelajuan tugasan. Ini juga membantu menjelaskan mengapa fenomena “buta masa” (time blindness) sering dialami oleh individu ADHD.

Pendawaian otak juga mempengaruhi keupayaan seseorang untuk memberi tumpuan. Salah satu penemuan penting dalam kajian neuroimaging ADHD melibatkan komunikasi antara dua rangkaian otak utama dimana, Rangkaian Positif-Tugasan (Task-Positive Network) aktif apabila individu memberi tumpuan kepada sesuatu tugas dan Rangkaian Mod Lalai (Default Mode Network – DMN) pula aktif apabila individu berehat, mengelamun, atau berfikir secara bebas.

Dalam otak ADHD, DMN sering gagal “dimatikan” sepenuhnya ketika individu sedang melakukan tugasan. Akibatnya, mod rehat otak masih separuh aktif dan bersaing dengan rangkaian fokus. Inilah sebabnya individu dengan ADHD kadangkala kehilangan tumpuan secara tiba-tiba atau mengalami fikiran yang melayang. Ini bukan kerana mereka memilih untuk berkhayal, tetapi kerana otak mereka sedang bergelut untuk menukar mod sepenuhnya.

Kimia Otak: Rangkaian Neurotransmiter ADHD

ADHD bukan sekadar “kekurangan dopamin”. Ia melibatkan ketidakseimbangan yang kompleks dalam beberapa sistem neurotransmiter di dalam otak.

  • Dopamin: Dopamin penting untuk motivasi, fungsi eksekutif, dan keupayaan menunggu ganjaran tertunda. Aktiviti dopamin yang lebih rendah di kawasan seperti PFC dan ganglia basal boleh menjadikan usaha tanpa ganjaran segera terasa sangat mencabar.
  • Norepinefrin: Neurotransmiter ini membantu mengawal tahap rangsangan, kewaspadaan, dan keupayaan menahan tindak balas impulsif. Gangguan dalam sistem ini boleh mempengaruhi bagaimana individu mengawal perhatian dan emosi.
  • Serotonin, Glutamat, & GABA: Bahan kimia ini terlibat dalam pengawalan emosi, tidur, tahap rangsangan, dan perencatan tingkah laku dan semuanya memainkan peranan sokongan dalam pengalaman individu dengan ADHD.

Melangkaui Otak: Pengaruh Sistem Badan dan Persekitaran

ADHD ialah keadaan neuroperkembangan yang melibatkan banyak sistem dalam tubuh, bukan hanya otak semata-mata.

  • Tidur dan Ritma Sirkadian (Circadian Dysregulation): Masalah tidur seperti lewat tidur, tidur yang terganggu, atau ketidaksejajaran ritma sirkadian adalah sangat biasa dalam ADHD. Tidur yang tidak berkualiti boleh melemahkan lagi fungsi eksekutif dan kawalan emosi, lalu mewujudkan kitaran yang menyukarkan individu.
  • Pemakanan dan Metabolisme: Kimia otak bergantung kepada nutrien yang diterima oleh tubuh. Zat besi, misalnya, penting dalam penghasilan dopamin, dan kekurangannya boleh memburukkan lagi masalah tumpuan. 
  • Paksi Usus-Otak (Gut-Brain Axis) & Keradangan: Kajian terkini juga melihat kemungkinan peranan keradangan sistemik, perubahan aliran darah serebrum, dan fungsi endotelium dalam ADHD. Komposisi bakteria usus mungkin mempengaruhi penghasilan neurotransmiter, sekali gus memberi kesan kepada rangkaian kimia otak.

Menggantikan Rasa Malu dengan Sains 

Secara ringkasnya, ADHD ialah keadaan yang kompleks. Ia melibatkan perubahan pada struktur otak, dinamik neurokimia, pengaruh genetik, serta faktor persekitaran.

Apabila kita memahami realiti biologi ADHD, cara kita melihatnya juga akan berubah. Daripada bertanya, “Mengapa awak tidak cuba lebih gigih?”, kita mula bertanya, “Bagaimana kita boleh menyokong pendawaian, kimia, dan persekitaran unik otak ini?

ADHD bukan kegagalan moral. Ia adalah variasi dalam perkembangan otak manusia yang datang dengan cabaran tersendiri, tetapi juga sering dikaitkan dengan ciri kognitif seperti kreativiti, sifat ingin tahu, dan pemikiran yang fleksibel.

Memahami ADHD dari sudut biologi tidak menghapuskan tanggungjawab seseorang untuk menguruskan keadaannya. Namun, ia membantu menggantikan rasa malu dengan pemahaman yang lebih berasaskan sains.

Ingin tahu lebih lanjut mengenai ADHD secara neurobiologi? Nantikan ADHD Summit yang dibawakan oleh Minda Inklusif pada julung kalinya pada bulan May ini. Anda boleh sertai waiting-list kami di – ADHD Summit 2026.

Jika anda memerlukan sokongan dan panduan sebagai individu dengan ADHD, individu autistik ataupun AuDHD, Minda Inklusif sedia untuk membantu anda. Daftarkan temujanji untuk mendapatkan konsultasi bersama terapis kami di Minda Inklusif sekarang.

Rujukan:

  1. Curatolo, P., D’Agati, E., & Moavero, R. (2010). The neurobiological basis of ADHD. Italian journal of pediatrics, 36(1), 79. https://doi.org/10.1186/1824-7288-36-79
  2. da Silva, B. S., Grevet, E. H., Silva, L. C. F., Ramos, J. K. N., Rovaris, D. L., & Bau, C. H. D. (2023). An overview on neurobiology and therapeutics of attention-deficit/hyperactivity disorder. Discover mental health, 3(1), 2. https://doi.org/10.1007/s44192-022-00030-1
  3. Cortese S. (2012). The neurobiology and genetics of Attention-Deficit/Hyperactivity Disorder (ADHD): what every clinician should know. European journal of paediatric neurology : EJPN : official journal of the European Paediatric Neurology Society, 16(5), 422–433. https://doi.org/10.1016/j.ejpn.2012.01.009
  4. Alsoqih, N. S., Elmorsy, E. A., Abu-Khudir, R., Saber, S., Keshk, N., Elnaghy, F., Hamad, R. S., El-Kott, A. F., Negm, S., AlShehri, M. A., Ali, M. A. M., Abdel-Reheim, M. A., Farrag, A. A., Eissa, H., Gaafar, A., & Youssef, M. E. (2025). A Systems Biology Perspective on Childhood ADHD: Neurochemical Dysregulation, Brain-Behavior Interactions, and Emerging Therapeutics. FASEB journal : official publication of the Federation of American Societies for Experimental Biology, 39(17), e70981. https://doi.org/10.1096/fj.202501829RR
  5. Arnsten A. F. (2009). The Emerging Neurobiology of Attention Deficit Hyperactivity Disorder: The Key Role of the Prefrontal Association Cortex. The Journal of pediatrics, 154(5), I–S43. https://doi.org/10.1016/j.jpeds.2009.01.018
  6. A cognitive neuroscience review of the aetiology of ADHD | The Association for Child and Adolescent Mental Health

Langgan Newsletter

Baca blog lain:

Client #1
Client #1@ADHDAssesment
It's very meaningful to me to finally get the proper diagnosis after struggling throughout my life. I feel validated during the session. The diagnosis, strategies and sharing did help me in navigating my life further. Thank you 🙂
Client #2
Client #2@MentalHealthConsultation
Adila makes me think that what i currently doing (by putting boundaries) is the right choice. i'm glad to hear that she said it's good i did that. since i thought what i did was wrong and constantly feeling guilty. now i feel kinda relieve. i kinda see a lil bit of light at the end of my tunnel. thanks adila.
Client #3
Client #3@MentalHealthScreening
The session went really good. Coming from a psychology major, I already am familiar with the terms and things that were being discussed, but the therapist explained in a very simple manner that's easy to understand that I feel like clients would be able to know themselves better through the session.