Perbezaan antara Lelaki ADHD dan Wanita ADHD

Gangguan Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktiviti (ADHD) ialah satu keadaan neuro-perkembangan sepanjang hayat. Cara ADHD muncul dan memberi kesan (manifestasi) kepada individu sangat dipengaruhi oleh jantina, biologi, psikologi, budaya dan jangkaan sosial.

Faktor-faktor ini bukan sahaja menentukan bagaimana simptom ADHD dizahirkan, tetapi juga sama ada ia disedari, bagaimana ia ditafsirkan, dan sejauh mana sokongan diberikan. Walaupun asas neurobiologi ADHD adalah sama bagi semua jantina, perjalanan hidup individu dengan ADHD boleh berbeza dengan ketara antara lelaki dan wanita.

Perbezaan Manifestasi pada Zaman Kanak-Kanak

Berikut ialah perbezaan manifestasi ADHD antara kanak-kanak lelaki dan kanak-kanak perempuan pada zaman kanak-kanak.

Pada zaman kanak-kanak, budak lelaki lebih cenderung untuk menzahirkan sifat ADHD secara luaran seperti:

  1. Mempunyai tenaga yang tinggi dan sangat hiperaktif
  2. Mempunyai impulsiviti yang tinggi dalam kehendak dan pergaulan atau interaksi sosial
  3. Sukar menunggu giliran, seperti ketika beratur untuk mengambil makanan
  4. Kerap memotong percakapan, contohnya ketika cikgu sedang memberikan arahan
  5. Mempunyai tingkah laku yang mengganggu suasana kelas seperti berlari di dalam kelas atau mudah tantrum

Disebabkan tingkah laku ini sering bercanggah dengan jangkaan dalam persekitaran sosial yang berstruktur, ibubapa dan guru biasanya lebih cepat menyedari perbezaan yang ada pada anak lelaki.

Sebaliknya, bagi budak perempuan dengan ADHD, sifat ADHD selalunya dizahirkan dengan lebih halus dan mudah terlepas pandang. Antaranya:

  1. Mempunyai masalah fokus seperti sukar menumpukan perhatian yang lama ketika menulis buku nilam
  2. Kerap kelihatan seperti sedang ‘mengelamun’ di dalam kelas, terutamanya apabila topik tidak menarik minat
  3. Mempunyai masalah organisasi beg sekolah kerana sukar menentukan keutamaan, menyebabkan beg sering kelihatan berat dan tidak teratur
  4. Sukar mengikut arahan yang abstrak ketika di sekolah jadi guru perlu mengulang arahan mereka
  5. Lebih cenderung bersendirian seperti tidak menyertai aktiviti ketika hari sukan sekolah

Kerana tingkah laku ini jarang dianggap mengganggu, kanak-kanak perempuan dengan ADHD sering dilihat sebagai “tidak bermasalah”. Tambahan pula, jika prestasi akademik mereka baik dan mereka masih mematuhi struktur sosial sekeliling, perbezaan yang wujud lebih mudah terlepas daripada perhatian.

Penyelidikan awal ADHD pula hampir sepenuhnya tertumpu kepada kanak-kanak lelaki berkulit putih (white boy) yang hiperaktif. Kriteria diagnostik dibentuk berdasarkan kumpulan ini, dengan penekanan kepada simptom yang jelas secara fizikal seperti kegelisahan dan impulsiviti. Simptom seperti kesukaran fokus, kesukaran mengawal emosi dan tekanan dalaman kurang diberi perhatian, malah kadangkala diketepikan dalam proses diagnosis.

Perbezaan Manifestasi ADHD pada Zaman Remaja

Zaman remaja merupakan fasa perubahan besar dari segi fizikal, emosi dan sosial. Perubahan hormon ketika akil baligh juga boleh memburukkan simptom ADHD.

Dalam kalangan remaja lelaki ADHD, mereka lebih cenderung untuk:

  1. Sukar mengurus masa, seperti sering terlambat ke kelas tuisyen.
  2. Lebih tertumpu kepada matlamat jangka pendek berbanding matlamat jangka panjang
  3. Sukar mengawal emosi dalam pergaulan rakan sebaya, seperti mudah bergaduh apabila berlaku perbezaan minat dan pandangan
  4. Mempunyai tenaga yang banyak untuk aktiviti fizikal

Apabila memasuki alam remaja, manifestasi ADHD dalam remaja lelaki akan berubah mengikut konteks sosial. Namun tingkah laku yang bercanggah dengan struktur sosial masih kerap berlaku, menjadikan ADHD lebih jelas dilihat.

Bagi remaja perempuan ADHD pula, mereka lebih cenderung untuk:

  1. Mengalami perubahan emosi yang mendadak, terutamanya sepanjang kitaran haid
  2. Kelihatan mampu mengurus masa, seperti mengatur jadual selepas sekolah untuk ke kelas tuisyen
  3. Mempunyai matlamat yang jelas dan spesifik seperti mendapatkan 7A dalam SPM
  4. Menyalurkan tenaga kepada fokus terhadap pencapaian tertentu

Namun begitu, manifestasi ADHD dalam remaja perempuan sering menjadi lebih tersembunyi kerana mereka dijangka untuk menjadi lebih matang dan teratur. Pergelutan yang berlaku lebih banyak secara dalaman. Akibatnya, remaja perempuan ADHD lebih cenderung mengalami masalah kebimbangan dan kemurungan, terutama apabila tekanan untuk memenuhi jangkaan sosial semakin meningkat. 

Perbezaan Manifestasi pada Zaman Dewasa

Apabila meningkat dewasa, simptom hiperaktif secara fizikal mungkin berkurang terutamanya dalam kalangan lelaki. Namun, sifat asas ADHD tetap wujud dan memberi kesan dalam kehidupan harian. 

Dalam kalangan lelaki dewasa ADHD, mereka lebih cenderung untuk:

  1. Kerap bertukar kerja dalam tempoh yang singkat
  2. Sukar mengurus masa, seperti lewat menghantar tugasan di universiti atau di tempat kerja
  3. Sukar menumpukan perhatian dalam mesyuarat terutamanya mesyuarat yang panjang
  4. Sukar mengawal emosi dalam situasi tekanan tinggi
  5. Mengalami risiko penyalahgunaan bahan (*berdasarkan kajian di negara barat)

Bagi wanita dewasa ADHD pula, mereka lebih cenderung untuk:

  1. Mempunyai pencapaian akademik dan pekerjaan yang baik secara konsisten
  2. Mudah berasa terbeban dengan tugas yang mempunyai banyak langkah dan keperluan perancangan
  3. Mengalami ketidakstabilan emosi, terutama apabila cuba memenuhi tanggungjawab sosial sebagai seorang ‘wanita’
  4. Sukar menumpukan perhatian dalam perbualan mendalam yang melibatkan lebih daripada seorang individu
  5. Mengalami kesukaran memori kerja yang memberi kesan kepada pengurusan tugasan harian

Dalam kehidupan dewasa, simptom ADHD sering menjadi lebih ketara apabila tanggungjawab semakin bertambah. Peralihan besar seperti melanjutkan pelajaran, memasuki alam pekerjaan, berkahwin atau menjadi ibu bapa boleh mencabar keupayaan individu ADHD untuk menyesuaikan diri tanpa sokongan yang sesuai.

Memahami ADHD dalam kalangan lelaki dan wanita memerlukan kita melihat kedua-dua pengalaman subjektif dan prestasi objektif. Kedua-duanya berinteraksi dengan jantina dan tekanan sosial, lalu membentuk perbezaan cara ADHD dizahirkan.

Memahami ADHD dengan Lebih Inklusif

ADHD ialah keadaan neurodiversiti yang sama dari segi asasnya, namun corak tingkah laku, pengawalan emosi, pengaruh hormon, serta jangkaan sosial boleh menyebabkan ia kelihatan berbeza antara lelaki dan wanita.

Hakikat bahwa ADHD dalam lelaki lebih mudah disedari kerana manifestasi fizikal tidak bermakna wanita ADHD mempunyai pengalaman yang lebih ringan atau lebih mudah untuk dikawal. 

Pengurusan ADHD sangat bergantung kepada tahap kesedaran, sokongan dan rawatan yang diterima. Perjalanan dan pengalaman mereka setiap individu mungkin berbeza, tetapi kesukaran yang dialami tetap sah dan wajar difahami dengan empati.

Jika anda memerlukan sokongan dan panduan sebagai individu dengan ADHD, individu autistik ataupun AuDHD, Minda Inklusif sedia untuk membantu anda. Daftarkan temujanji untuk mendapatkan konsultasi bersama terapis kami di Minda Inklusif sekarang.

Rujukan:

  1.  Hartung, C.M., Lefler, E.K., Abu-Ramadan, T.M. et al. A Call to Analyze Sex, Gender, and Sexual Orientation in Psychopathology Research: An Illustration with ADHD and Internalizing Symptoms in Emerging Adults. J Psychopathol Behav Assess 47, 18 (2025). https://doi.org/10.1007/s10862-024-10188-3
  2. Biederman, J., Mick, E., Faraone, S. V., Braaten, E., Doyle, A., Spencer, T., Wilens, T. E., Frazier, E., & Johnson, M. A. (2002). Influence of gender on attention deficit hyperactivity disorder in children referred to a psychiatric clinic. The American journal of psychiatry, 159(1), 36–42. https://doi.org/10.1176/appi.ajp.159.1.36
  3. Rizzo, Anthony, “Gender differences in ADHD diagnosis” (2016). Theses and Dissertations. 1409. https://rdw.rowan.edu/etd/1409
  4. Vogley, Jillian, “Gender Differences in ADHD” (2019). Honors Theses. 3165. https://scholarworks.wmich.edu/honors_theses/3165
  5. Platania, N. M., Starreveld, D. E. J., Wynchank, D., Beekman, A. T. F., & Kooij, S. (2025). Bias by gender: exploring gender-based differences in the endorsement of ADHD symptoms and impairment among adult patients. Frontiers in global women’s health, 6, 1549028. https://doi.org/10.3389/fgwh.2025.1549028
  6. Skogli, E. W., Teicher, M. H., Andersen, P. N., Hovik, K. T., & Øie, M. (2013). ADHD in girls and boys–gender differences in co-existing symptoms and executive function measures. BMC psychiatry, 13, 298. https://doi.org/10.1186/1471-244X-13-298
  7. Stibbe, T., Huang, J., Paucke, M., Ulke, C., & Strauss, M. (2020). Gender differences in adult ADHD: Cognitive function assessed by the test of attentional performance. PloS one, 15(10), e0240810. https://doi.org/10.1371/journal.pone.0240810

Langgan Newsletter

Baca blog lain:

Client #1
Client #1@ADHDAssesment
It's very meaningful to me to finally get the proper diagnosis after struggling throughout my life. I feel validated during the session. The diagnosis, strategies and sharing did help me in navigating my life further. Thank you 🙂
Client #2
Client #2@MentalHealthConsultation
Adila makes me think that what i currently doing (by putting boundaries) is the right choice. i'm glad to hear that she said it's good i did that. since i thought what i did was wrong and constantly feeling guilty. now i feel kinda relieve. i kinda see a lil bit of light at the end of my tunnel. thanks adila.
Client #3
Client #3@MentalHealthScreening
The session went really good. Coming from a psychology major, I already am familiar with the terms and things that were being discussed, but the therapist explained in a very simple manner that's easy to understand that I feel like clients would be able to know themselves better through the session.